backup og meta

Demam Diabetes? Ada 3 Sebab Orang Kencing Manis Selalu Alami Demam!

Demam Diabetes? Ada 3 Sebab Orang Kencing Manis Selalu Alami Demam!

Benarkah bahawa penyakit diabetes boleh menjadi punca demam? Adakah demam yang berlaku itu merupakan komplikasi jangka panjang diabetes? Ketahui fakta sebenar mengenainya di bawah ini. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

Diabetes boleh jadi punca demam?

Ada yang bertanya, adakah wujud demam yang disebut sebagai demam diabetes? Jawapan sebenarnya ialah tidak ada.

Secara perubatannya, diabetes tidak boleh menyebabkan demam kepada penghidap diabetes.

Walau bagaimanapun, keadaan atau pun simptom yang terhasil daripada diabetes mungkin boleh menyebabkan peningkatan suhu badan.

Berikut adalah beberapa keadaan atau simptom yang boleh menyebabkan suhu badan naik. 

Punca demam 1: Ketoasidosis

punca demam

Ketoasidosis adalah komplikasi serius diabetes yang boleh berlaku apabila badan anda tidak mempunyai insulin yang mencukupi untuk menguraikan paras gula darah yang tinggi.

Memandangkan tubuh tidak boleh menguraikan gula, badan akan menggunakan lemak yang kemudiannya menyebabkan tahap keton yang tinggi.

Untuk pengetahuan anda, keton adalah hasil sampingan metabolisme lemak.

Laporan menunjukkan bahawa demam adalah antara simptom yang boleh berlaku disebabkan ketoasidosis. Selain itu, muntah, kerap kencing, lemah badan, sakit perut, dan sesak nafas juga boleh berlaku.

Memandangkan ketoasidosis dikaitkan dengan peningkatan paras gula melebihi 300 mg/dl, ia adalah satu kes kecemasan dan perlu diberikan rawatan dengan segera. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa maut.

Ketoasidosis kebanyakannya berlaku dalam kalangan pesakit diabetes jenis 1.

Namun, ia juga boleh berlaku pada mereka yang menghidap diabetes jenis 2 semasa berlakunya tekanan fisiologi yang luar biasa.

Punca 2: Jangkitan

Jangkitan adalah antara punca demam yang paling biasa berlaku pada penghidap diabetes.

Ini kerana, paras gula darah yang tidak terkawal boleh menjadikan anda lebih mudah terdedah kepada jangkitan bakteria, virus dan kulat.

punca demam

Jika anda menghidap diabetes, berhati-hati dengan perkara berikut. Ia merupakan antara jenis jangkitan yang biasa berlaku kepada penghidap diabetes:

  • Jangkitan telinga, hidung dan tekak. Jika anda mengalami demam berserta sakit telinga dan selesema, sila berjumpa doktor anda dengan segera
  • Jangkitan saluran kencing (UTI). Pakar perubatan mengatakan bahawa diabetes yang tidak terkawal adalah punca biasa UTI. Kadangkala, ia juga membawa kepada jangkitan pundi kencing dan buah pinggang
  • Jangkitan kulit dan tisu lembut. Sebagai contoh, ulser kaki diabetik adalah sumber jangkitan biasa pada penghidap diabetes yang tidak dikawal dengan baik

Jika anda mengesyaki diri anda telah dijangkiti, segeralah berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang sepatutnya. 

Punca 3: Dehidrasi atau kekurangan air dalam badan

punca demam

Dehidrasi berlaku apabila badan anda kehilangan lebih banyak cecair daripada yang diperlukan.

Menurut pakar perubatan, penghidap diabetes lebih cenderung untuk mengalami dehidrasi, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kekerapan membuang air kencing.

Jika anda tidak menggantikan cecair yang hilang, ia boleh menjadi punca demam dan berkembang kepada komplikasi jangka panjang diabetes yang lain.

Tanda-tanda dehidrasi termasuklah:

  • Mulut yang kering
  • Berasa dahaga
  • Air kencing berwarna kuning gelap dengan bau yang kuat

Jika anda mengalami tanda-tanda ini, berjumpalah doktor anda dengan segera.

Doktor boleh memberitahu jika anda memerlukan rawatan perubatan untuk dehidrasi atau jika tanda-tandanya disebabkan oleh sesuatu yang lain.

Dehidrasi selalunya dirawat dengan meminum banyak cecair.

Doktor mungkin akan menyuruh anda untuk minum lebih banyak air, mengambil minuman elektrolit, atau mengambil ubat rehidrasi oral.

Kesimpulan

Punca demam yang paling biasa dalam kalangan penghidap kencing manis ialah jangkitan.

Kajian menyatakan, masalah UTI, jangkitan telinga, tekak dan hidung; serta kulit adalah antara jangkitan yang paling kerap berlaku kepada penghidap diabetes.

Selain itu, demam pesakit diabetes juga mungkin berpunca daripada masalah dehidrasi dan juga ketoasidosis diabetes.

Oleh sebab itu, jika anda menghidap diabetes dan dalam masa yang sama mengalami demam, anda perlu berjumpa dengan doktor dalam kadar segera.

Ini bertujuan untuk mengesan punca sebenar seterusnya memberikan rawatan yang sewajarnya kepada keadaan yang anda alami.

Perlu diketahui, ada sesetengah ubat antibiotik tidak boleh dibeli di kaunter farmasi melainkan hanya dengan preskripsi doktor. 

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Diabetes, infections, and you. https://apic.org/monthly_alerts/diabetes-infections-and-you/. Accessed on October 23, 2022. 

Behind Thirst; Signs You’re Dehydrated. https://www.southwesthealth.org/my-healthy-life/some-unusual-signs-youre-dehydrated/. Accessed on October 23, 2022.

Diabetes symptoms: When diabetes symptoms are a concern. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/diabetes/in-depth/diabetes-symptoms/art-20044248. Accessed on October 23, 2022.

Bamanikar, A., & Dhobale, S. (2014). Fever with abdominal pain and diabetes – Is it Emphysematous Pyelonephritis?. The Malaysian journal of medical sciences : MJMS, 21(3), 85–88. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4163564/. Accessed on October 23, 2022.

Mahesh, M. G., Shivaswamy, R. P., Chandra, B. S., & Syed, S. (2017). The Study of Different Clinical Pattern of Diabetic Ketoacidosis and Common Precipitating Events and Independent Mortality Factors. Journal of clinical and diagnostic research : JCDR, 11(4), OC42–OC46. https://doi.org/10.7860/JCDR/2017/25347.9760. Accessed on October 23, 2022.

Versi Terbaru

29/11/2022

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: [email protected]


Artikel Berkaitan

Gula Darah Mencanak Naik Selepas Bangun Tidur? Ini Disebut Dawn Phenomenon!

6 Gaya Pemakanan Sihat Ini Sangat Ideal Untuk Penghidap Diabetes Jenis 1!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 29/11/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan