backup og meta

13 Tip Penjagaan Kaki Untuk Pesakit Kencing Manis, Elak Kaki Dipotong!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/05/2022

    13 Tip Penjagaan Kaki Untuk Pesakit Kencing Manis, Elak Kaki Dipotong!

    Penjagaan pesakit diabetes bukan hanya melibatkan pemantauan paras gula darah atau pengambilan ubat-ubatan, tetapi juga berkaitan dengan kaki mereka.

    Lebih tepat lagi, ada penjagaan khusus untuk kes-kes ulser kaki bagi pesakit diabetes. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Mengapa penjagaan pesakit diabetes perlu libatkan kaki?

    penjagaan pesakit diabetes

    Tahukah anda, ulser kaki sebenarnya adalah salah satu komplikasi yang paling kerap berlaku dalam kalangan pesakit diabetes yang tidak dijaga dengan baik.

    Ulser kaki tersebut berlaku apabila tisu kulit menjadi pecah atau koyak lalu mendedahkan bahagian lapisan kulit dalam.

    Ulser kaki diabetes biasanya disebabkan oleh beberapa perkara iaitu:

    #1. Peredaran darah yang tidak baik 

    Aliran darah yang tidak baik sebenarnya adalah salah satu daripada penyakit vaskular, di mana darah tidak mengalir ke kaki anda dengan baik.

    Apabila darah tidak mengalir dengan baik, maka ulser pada kaki juga lambat untuk kembali sembuh.

    #2. Paras gula darah tinggi atau hiperglisemia 

    Paras gula darah yang tinggi juga sebenarnya boleh memperlahankan proses penyembuhan ulser pada kaki yang dijangkiti.

    Mereka yang menghidap diabetes jenis 2 adalah golongan yang seringkali menghadapi masalah luka lambat sembuh.

    Oleh sebab itu, kawalan kadar pengambilan gula adalah amat penting.

    #3. Kerosakan pada saraf sukarkan penjagaan pesakit diabetes

    Saraf yang rosak adalah keadaan kesihatan yang boleh menimbulkan kesan dalam jangka masa panjang.

    Ia boleh menyebabkan hilangnya rasa atau sensasi pada kaki anda.

    Pada awalnya, anda mungkin akan berasa kaki seperti mengalami kesemutan atau sakit.

    Namun, lama kelamaan rasa sensitiviti tersebut akan hilang sehingga menyebabkan anda tidak berasa sebarang kesakitan walaupun kaki anda mengalami luka. 

    #4. Kaki yang tercedera atau mengalami iritasi

    Ulser boleh dikenal pasti melalui pengeluaran sebarang cairan daripada kawasan yang terjejas.

    Adakalanya, anda akan perasan kemunculan benjolan yang tidak menyebabkan rasa sakit. 

    Bagaimana untuk elakkan kaki daripada mendapat ulser? Ini penjagaan pesakit diabetes yang perlu dibuat

    ulser kaki

    Apabila anda telah mula mendapat ulser pada bahagian kaki, rasa sensitiviti pada bahagian tersebut akan mula hilang.

    Selain itu, aliran darah juga akan mula berkurangan pada bahagian itu sehingga menyebabkan penyembuhan kaki menjadi lambat.

    Jika ia menjadi semakin teruk, akan berlakunya jangkitan sehingga tidak mampu dirawat lagi.

    Adakah anda mahu kehilangan jari atau kaki anda disebabkan oleh diabetes? Sudah pasti tidak.

    Oleh itu, lakukan perkara ini untuk elakkan sebarang komplikasi pada kaki yang lebih teruk.

    #1. Periksa kaki setiap hari

    Periksa sekiranya terdapat sebarang luka, potongan, pembengkakan, kemerahan atau masalah pada kuku kaki anda. Gunakan kanta pembesar jika anda mempunyai kesukaran untuk melihat dengan baik. 

    #2. Basuh kaki

    Basuh kaki anda dengan menggunakan air yang suam sahaja, dan elakkan penggunaan air panas.

    #3. Kena hati-hati semasa basuh kaki

    Untuk mencuci kaki anda, gunakan span atau loofah sahaja. Jangan sesekali memberus kaki anda dengan menggunakan berus lantai yang kasar.

    #4. Lembapkan kaki 

    Lembapkan kaki anda dengan menggunakan krim pelembap setiap hari untuk elakkan kulit merekah. Dinasihatkan untuk tidak meletakkan krim pada bahagian antara jari kaki bagi mengelakkan jangkitan kulat.

    #5. Potong kuku berhati-hati

    Potong kuku secara berhati-hati dengan mengelakkan sebarang luka atau potongan pada kulit. Jangan potong kuku kaki anda terlalu pendek.

    #6. Pakai stoking yang bersih

    Untuk elakkan sebarang jangkitan, pakai stoking bersih dan kering serta tukarkannya setiap hari.

    #7. Gunakan stoking khas untuk pesakit diabetes

    Stoking untuk pesakit diabetes mempunyai kusyen yang lebih tebal dan tidak mempunyai cerutan yang kuat.

    Ia juga diperbuat daripada serat yang mempercepatkan pengeringan kaki daripada sebarang kelembapan.

    #8. Periksa kasut dan selipar sebelum digunakan

    Kaki anda mungkin tidak lagi sensitif jika telah mendapat ulser. Oleh itu, periksa terlebih dahulu kasut dan selipar anda sebelum memakainya untuk mengelakkan sebarang bahaya.

    Mungkin terdapat batu yang boleh mencederakan kulit. 

    #9. Pastikan kulit kekal panas dan kering

    Maksud panas dan kering di sini ialah pastikan kulit anda berada pada suhu tubuh dan tidak basah. Jika basah, keringkan dengan mengelapnya menggunakan kain.

    #10. Gunakan semburan antiperspirant

    Ubat antiperspirant berfungsi mengurangkan pengeluaran peluh yang boleh melembapkan kaki anda terutamanya ketika memakai kasut.

    #11. Elakkan berkaki ayam

    Elakkan berkaki ayam walaupun di dalam rumah. Gunakan selipar khas di dalam rumah untuk elakkan luka atau perlanggaran objek yang boleh merosakkan kulit kaki.

    #12. Jangan merokok

    Tahukah anda, merokok sebenarnya boleh menyekat aliran darah ke bahagian kaki anda? Jadi, elakkannya!

    #13. Lakukan pemeriksaan kaki secara berkala

    Berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kaki secara berkala dengan lebih tepat. 

    Kesimpulan

    Ingat, jika anda merupakan pesakit diabetes, anda bukan hanya perlu menjaga paras gula darah, tetapi juga kaki anda.

    Penjagaan kaki buat pesakit kencing manis penting agar tidak berlaku sebarang komplikasi yang boleh menyebabkan anda kehilangan kaki pada masa hadapan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan