backup og meta

Ada Kasut Khas Untuk Pesakit Diabetes, Perlu Ke Pakai? Ini Penjelasannya...

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/03/2022

    Ada Kasut Khas Untuk Pesakit Diabetes, Perlu Ke Pakai? Ini Penjelasannya...

    Selain menjaga pemakanan, pesakit kencing manis juga harus menitikberatkan penjagaan kaki. Tetapi adakah perlu untuk memakai kasut diabetes? Ikuti penjelasannya dalam artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    Kasut khas untuk pesakit diabetes 

    Individu yang menghidap diabetes boleh mengalami masalah dengan peredaran darah, saraf, imun dan kecacatan. Biasanya mereka akan alami lebih daripada satu keadaan dalam masa yang sama.

    • Peredaran: Individu dengan keadaan ini tidak mempunyai bekalan darah beroksigen ke kaki, menyebabkan wujud kesukaran untuk menyembuhkan sebarang luka  
    • Saraf: Masalah saraf boleh menyebabkan lepuh dan selalunya pesakit tidak mengetahui mengenainya sehingga menanggalkan kasut
    • Keimunan: Sesetengah pesakit diabetes kurang tindak balas terhadap sistem imun. Kesannya mereka mudah mendapat jangkitan daripada luka atau lepuh dan lebih sukar merawatnya
    • Kecacatan bentuk: Pesakit diabetes boleh mengalami kecacatan pada bentuk kaki yang menjadikan ia sukar dimasukkan ke dalam kasut kerana risiko lepuh berkembang di kawasan tekanan tinggi

    kasut diabetes

    Oleh itu, memakai kasut khas untuk pesakit kencing manis adalah sangat penting. 

    Pakar ortopedik kaki dan buku lali boleh membantu memilih kasut diabetes yang bersesuaian dan mengesyorkan pengubahsuaian kasut bagi melindungi kaki.

    Bagaimana kasut diabetes berfungsi?

    Biasanya kasut akan diubahsuai oleh sekumpulan profesional yang dikenali sebagai pedorthotist.

    Rekaan bentuk kasut akan mempunyai tapak kaki yang stabil dan dapat meratakan pengagihan berat pada kaki. Ia juga direka tanpa mempunyai sebarang jahitan di dalam kasut untuk mengelakkan daripada bergesel dengan kaki.

    Terdapat beberapa faedah memakai kasut khas untuk pesakit kencing manis:

    kasut diabetes

    • Melegakan bahagian dengan tekanan tinggi pada kaki yang boleh menyebabkan kerosakan kaki. Kasut sepatutnya membantu melegakan tekanan ini dan mengurangkan risiko mengembangkan masalah lain yang berkaitan
    • Dapat menurunkan tekanan menegak atau kejutan pada bahagian bawah kaki serta mengurangkan pergerakan mendatar kaki dalam kasut
    • Boleh menampung, menstabilkan dan menyokong kecacatan – perubahan bentuk kaki, kehilangan tisu lemak, jari kaki tukul (hammer toe) dan amputasi. Ia perlu bagi melegakan kesakitan dan mengurangkan risiko perkembangan kecacatan
    • Mengehadkan pergerakan sendi tertentu di kaki selalunya boleh mengurangkan keradangan, melegakan kesakitan dan menghasilkan kaki yang lebih stabil serta berfungsi

    Tanda anda perlukan kasut diabetes

    Jika bentuk kaki mula berubah atau anda melihat berlaku kerosakan kulit, kemerahan atau bengkak, lakukan pemeriksaan dengan pakar ortopedik kaki dan buku lali untuk penilaian.

    Walau bagaimanapun, pemakaian kasut khas untuk pesakit kencing manis ini hanyalah sebagai salah satu kaedah yang mungkin dapat membantu selepas mengambil kira masalah perubatan yang lain dan pilihan rawatan tersedia. 

    Apabila wujud kebimbangan untuk ulser dan jangkitan, pakar ortopedik kaki dan buku lali mungkin akan mengesyorkan rawatan lain terlebih dahulu termasuklah penjagaan kulit dan pembedahan.

    Baca juga:

    Pilihan kasut diabetes 

    Antara preskripsi kasut khas untuk pesakit kencing manis yang biasanya diberikan oleh doktor adalah:

    • Kasut penyembuhan. Selepas pembedahan atau sebagai sebahagian rawatan ulser, beberapa jenis kasut mungkin diperlukan sebelum kembali memakai kasut biasa. Ini termasuklah kasut terbuka bahagian jari (open toe), heat-moldable healing shoes dan post-operative shoes
    • In-depth shoes. Biasanya merupakan kasut jenis oxford atau sukan dengan kedalaman tambahan ¼ hingga ½ inci pada seluruh bahagian kasut – bagi memudahkan pemakaian kasut. Ia juga cenderung ringan, tapak kaki menyerap hentakan dan hadir dalam pelbagai bentuk serta saiz
    • Pengubahsuaian kasut luaran: Melibatkan pengubahsuaian bahagian luar kasut diabetes dalam beberapa cara seperti mengubahsuai bentuk tapak atau menambah bahan penyerap kejutan atau penstabilan
    • Orthoses (tunggal – orthosis): Melibatkan insole atau bahagian tapak yang boleh ditanggalkan berfungsi sebagai penyerap tekanan dan kejutan ketika berjalan
    • Kasut ditempah khas: Jika kecacatan teruk berlaku, kasut custom-made boleh dihasilkan daripada cast atau model kaki pesakit

    kasut diabetes

    Tempoh ketahanan kasut 

    Ketahanan bagi sepasang kasut ini tiada jauh bezanya dengan kasut harian biasa. Ia juga banyak bergantung kepada jenis kulit yang digunakan.

    Jika bahagian atas kasut menggunakan kulit rusa – kerana lebih lembut – ia boleh meregang semasa anda memakainya dan menyesuaikan dengan bentuk kaki. 

    Tetapi kasut khas pesakit kencing manis daripada jenis kulit ini memerlukan lebih banyak kos kerana ia tidak tahan lama.

    Sekiranya kasut mula rosak, ia perlu dinilai semula oleh pakar pedorthotist atau pakar ortopedik kaki dan buku lali.

    Pemakaian kasut khas

    Secara amnya kasut diabetes ini direka untuk dipakai setiap hari apabila anda perlu berjalan atau berada di atas kaki.

    Namun jika kaki tidak mengalami sebarang kecacatan atau kehilangan sensasi yang ketara, anda masih boleh memakai kasut biasa.

    Walau apa pun, cara terbaik adalah untuk berunding dengan pakar ortopedik kaki dan buku lali bagi mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 01/03/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan