Pasti ramai yang tahu akan diabetes jenis 1 dan 2. Kebanyakan rakyat Malaysia didiagnosis dengan diabetes kedua. Terbaru, kajian mendedahkan gejala diabetes ke-3 yang berkait rapat dengan penyakit Alzheimer.
Sejauh manakah kebenaran jenis diabetes ketiga ini dalam memudaratkan daya ingatan anda?
Usah risau, artikel ini akan menjawab segala persoalan anda!
Pengenalan
Sebenarnya, diabetes mempunyai banyak jenis, tetapi yang utama ialah yang pertama dan kedua. Jenis-jenis diabetes yang ada termasuklah:
- Diabetes Jenis 1 (T1DM)
- Insulin langsung tidak dibuat oleh badan anda. Hal ini kerana sistem imun badan anda sendiri menyerang dan merosakkan sel-sel di pankreas yang bertanggungjawab untuk membuat insulin.
- Banyak didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda.
- Memerlukan insulin setiap hari untuk terus hidup.
- Diabetes Jenis 2 (T2DM)
- Jenis diabetes yang paling kerap dijumpai dalam masyarakat.
- Dalam kes ini, badan anda tidak membuat atau menggunakan insulin dengan elok.
- Boleh mempengaruhi pelbagai peringkat umur, tetapi kerap didiagnosis dalam kalangan pertengahan umur dan warga tua.
- Diabetes Gestasi
- Perubahan hormon menyebabkan sesetengah wanita hamil mengalami diabetes semasa hamil.
- Selalunya, keadaan ini akan beransur pulih selepas kelahiran anak.
- Maturity Onset Diabetes of the Young (MODY)
- MODY ialah penyakit keturunan yang jarang berlaku dan tidak berkait dengan jenis 1 atau 2.
- Berpunca daripada mutasi gen daripada ibu bapa, dan akan didiagnosis sebelum umur 25 tahun.
Apakah diabetes jenis 3?
Beberapa kajian mengemukakan bahawa penyakit Alzheimer seharusnya diklasifikasikan sebagai diabetes jenis 3.
Kajian mendedahkan bahawa pesakit Alzheimer mempunyai kerintangan insulin dalam otak.
Otak kita memerlukan tenaga daripada glukosa untuk sel-sel terus berfungsi.
Jika terdapat kerintangan insulin, sel-sel otak tidak akan mendapat bekalan glukosa yang mencukupi.
Ini akan menjurus kepada hipoglisemia di dalam otak, menyebabkan sel-sel otak rosak dan dalam jangka masa panjang mengakibatkan penyakit Alzheimer.
Ini bukan istilah perubatan yang rasmi, tetapi semakin ramai saintis mula memperakui dan menggunakan istilah ini dalam kajian yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer.
Hubungkait antara penyakit Alzheimer dan diabetes jenis 3
Terdapat banyak penyelidikan dari negara barat yang membuktikan kaitan antara diabetes dan penyakit Alzheimer sehingga mereka mula memanggil ia sebagai diabetes otak.
Antaranya, satu kajian membuktikan pesakit diabetes jenis 2 yang tidak menerima rawatan berpotensi untuk mendapat penyakit Alzheimer suatu masa nanti.
Oleh itu, mereka yang mempunyai diabetes jenis 2 tetapi tidak didiagnosis atau menerima rawatan akan berisiko mempunyai kerosakan saluran darah yang lebih tinggi.
Selain itu, penyakit ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan kimia pada otak anda dan mengakibatkan penyakit Alzheimer.
Punca dan faktor risiko diabetes jenis 3
Suatu kajian dijalankan pada tahun 2016 mendedahkan pesakit diabetes jenis 2, terutama sekali wanita, mempunyai kecenderungan lebih 60% untuk mendapat penyakit Alzheimer atau demensia.
Faktor risiko diabetes jenis 2 termasuklah:
- Tekanan darah tinggi
- Sejarah ahli keluarga yang lain menghidap diabetes
- Berat badan berlebihan atau obesiti
- Masalah kesihatan lain seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) dan kemurungan
Tanda dan gejala diabetes otak
Tanda dan gejala diabetes otak serupa dengan demensia, seperti yang dilihat pada penyakit Alzheimer peringkat awal.
Mengikut Persatuan Alzheimer, ia termasuklah:
- Hilang ingatan sehingga mempengaruhi kehidupan seharian dan hubungan sosial
- Kesukaran menyelesaikan tugas seperti biasa
- Sering salah letak barang-barang
- Ketidakupayaan membuat penilaian berdasarkan maklumat yang diberikan
- Perubahan tingkah laku dan keperibadian yang mendadak
- Kekeliruan dengan masa dan tempat
- Mempunyai masalah dalam percakapan dan penulisan
Saya takut! Bagaimana nak mencegahnya?
Jika anda sudah didiagnosis dengan diabetes jenis 2, risiko anda lebih tinggi berbanding dengan orang lain. Namun, usah risau ya!
Saintis yang mengkaji diabetes otak menyatakan seandainya keadaan anda dapat dikawal dengan diet, senaman dan ubat-ubatan, anda boleh melambatkan perkembangan penyakit Alzheimer.
Walau bagaimanapun, perkara tersebut masih tiada bukti sehingga kini.
Berikut merupakan langkah-langkah untuk menguruskan diabetes jenis 2:
- Bersenam 4 kali seminggu, sebanyak 30 minit satu sesi.
- Mengamalkan pemakanan yang sihat: rendah dengan lemak tepu, kaya dengan protein dan serat tinggi.
- Peka dan pantau tahap gula dalam darah anda mengikut cadangan doktor.
- Ambil ubat yang ditetapkan mengikut jadual.
- Pantau tahap kolesterol anda.
- Kekalkan berat badan dalam lingkungan yang sihat.
Seandainya anda masih khuatir, sila berjumpa dengan doktor anda untuk rundingan lebih lanjut.
[embed-health-tool-bmi]