backup og meta

Penyakit Kencing Manis: Jenis dan Simptomnya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/10/2020

    Penyakit Kencing Manis: Jenis dan Simptomnya

    Penyakit kencing manis atau diabetes bukanlah sejenis penyakit yang jarang didengar, malah ia telah menjadi satu penyakit yang kerap terjadi dalam kalangan penduduk Malaysia. Penyakit ini kebanyakannya terjadi akibat daripada pengamalan gaya hidup yang kurang sihat dan ia seiring dengan fakta bahawa negara Malaysia memiliki peratusan penduduk obes paling tinggi di Asia.

    Selain daripada itu, tahukah anda bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar penghidap diabetes tertinggi di benua Asia dan antara yang tertinggi di dunia? Sehingga Mac 2019, terdapat seramai 3.6 juta penghidap penyakit kencing manis di Malaysia sahaja. Anda ingin mengetahui fakta-fakta berkenaan penyakit kencing manis secara lebih terperinci? Ikuti penulisan artikel dibawah.

    Apakah penyakit kencing manis?

    Penyakit kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa darah atau juga dikenali sebagai gula darah. Tanpa pengurusan yang berterusan dan berhati-hati, diabetes boleh menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang boleh meningkatkan risiko komplikasi berbahaya, termasuk strok dan penyakit jantung. Terdapat pelbagai jenis diabetes yang boleh berlaku dan pengurusannya bergantung kepada jenis diabetes yang berlaku. Tidak semua jenis kencing manis berlaku disebabkan oleh seseorang individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau disebabkan oleh cara hidup yang tidak aktif. Terdapat juga penyakit kencing manis yang berlaku kepada sesetengah individu sejak mereka masih kecil.

    Simptom-simptom penyakit kencing manis

    penyakit kencing manis

    Terdapat pelbagai jenis simptom diabetes yang berlaku bergantung kepada seberapa banyak tahap gula darah anda meningkat. Bagi sesetengah individu terutamanya bagi mereka yang mempunyai pradiabetes atau diabetes jenis 2, mereka mungkin tidak mengalami gejala pada peringkat awal. Bagi diabetis jenis 1 pula, simptom-simptom sering berlaku dengan cepat dan lebih teruk. Antara tanda-tanda dan simptom diabetes jenis 1 dan jenis 2 ialah:

    • Cepat berasa dahaga
    • Kerap kencing
    • Kelaparan yang melampau
    • Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
    • Kehadiran keton dalam air kencing (keton adalah hasil sampingan daripada otot dan lemak yang terjadi apabila insulin dalam tubuh tidak mencukupi)
    • Keletihan
    • Penglihatan yang kabur
    • Luka yang lambat sembuh
    • Jangkitan yang kerap berlaku seperti jangkitan gusi atau jangkitan kulit selain jangkitan vagina

    Diabetes jenis 1 boleh terjadi di mana-mana peringkat umur walaupun ia sering terjadi semasa zaman kanak-kanak atau remaja. Diabetes jenis 2 juga boleh terjadi di mana-mana peringkat umur walaupun ia lebih biasa terjadi dalam kalangan individu yang berusia lebih daripada 40 tahun.

    Jenis-jenis penyakit kencing manis

    Jenis 1

    Diabetes jenis 1 juga dipanggil sebagai diabetes yang bergantung kepada penggunaan insulin. Ia biasa dipanggil sebagai diabetes kanak-kanak (juvenile-onset diabetes) kerana penyakit kencing manis jenis ini sering kali bermula pada zaman kanak-kanak.

    Diabetes jenis 1 adalah satu keadaan autoimun. Ia disebabkan oleh badan yang menyerang pankreasnya sendiri dengan antibodi. Bagi pesakit diabetes jenis 1, pankreas yang rosak tidak boleh menghasilkan insulin. Jenis kencing manis ini mungkin disebabkan oleh kecenderungan genetik. Ia juga boleh disebabkan oleh sel-sel beta yang rosak di bahagian pankreas yang biasanya menghasilkan insulin.

    Terdapat beberapa risiko perubatan yang dikaitkan dengan diabetes jenis 1. Kebanyakan daripada penyakit-penyakit tersebut berpunca daripada kerosakan pada saluran darah kecil di mata anda (dipanggil retinopati diabetes), saraf (neuropati diabetes), dan buah pinggang (nefropati diabetik). Ia menjadi semakin serius apabila ia meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

    Rawatan untuk diabetes jenis 1 melibatkan pengambilan insulin, yang perlu disuntikkan melalui kulit ke dalam tisu lemak di bahagian bawah kulit. Kaedah menyuntik insulin termasuklah:

    • Picagari 
    • Pen insulin yang menggunakan katrij dan jarum halus
    • Penyuntik jet yang menggunakan udara bertekanan tinggi untuk menghasilkan semburan insulin melalui kulit
    • Pam insulin yang mengeluarkan insulin melalui tiub fleksibel kepada kateter di bawah kulit perut

    Ujian berkala yang dikenali sebagai ujian darah A1C akan menganggarkan kadar glukosa dalam darah anda selama tiga bulan sebelumnya. Ia digunakan untuk membantu mengenal pasti kawalan tahap glukosa keseluruhan dan risiko komplikasi daripada diabetes, termasuklah kerosakan organ. Pesakit yang mengalami diabetes jenis 1 memerlukan perubahan gaya hidup yang penting termasuklah:

    • Ujian paras gula darah secara kerap
    • Perancangan makan secara lebih berhati-hati
    • Senaman yang dilakukan setiap hari
    • Mengambil insulin dan ubat-ubatan lain yang diperlukan

    Pesakit yang menderita diabetes jenis 1 boleh menjalani kehidupan yang aktif sekiranya mereka memantau glukosa mereka dengan teliti, membuat perubahan gaya hidup yang diperlukan, dan mematuhi pelan rawatan yang telah dirangka untuk mereka.

    Jenis 2

    penyakit kencing manis

    Jenis kencing manis yang paling biasa adalah diabetes jenis 2, yang menyumbang kepada sebanyak 95% kes diabetes dalam kalangan orang dewasa. Diabetes jenis 2 juga dipanggil dengan nama diabetes orang dewasa (adult-onset diabetes). Walau bagaimanapun, dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan kenaikan peratusan kanak-kanak yang gemuk dan berlebihan berat badan, lebih ramai remaja kini sedang mengalami diabetes jenis 2. Diabetes jenis 2 juga dipanggil sebagai diabetes yang tidak bergantung kepada insulin.

    Diabetes jenis 2 merupakan bentuk diabetes yang lebih ringan berbanding daripada diabetes jenis 1. Namun begitu, diabetes jenis 2 masih boleh menyebabkan komplikasi kesihatan utama, terutamanya di dalam saluran darah terkecil dalam badan yang berkaitan dengan fungsi buah pinggang, saraf, dan mata. Diabetes jenis 2 juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

    Bagi diabetes jenis 2 pula, pankreas biasanya menghasilkan beberapa insulin. Walau bagaimanapun, sama ada jumlah insulin yang dihasilkan tidak mencukupi untuk keperluan tubuh, atau sifat sel-sel tubuh yang rintang terhadapnya. Rintangan terhadap insulin, atau kekurangan sensitiviti terhadap insulin, berlaku terutamanya dalam sel lemak, hati, dan sel otot tubuh badan.

    Individu yang obes adalah individu yang mempunyai lebih daripada 20% daripada berat badan mereka yang ideal dengan ketinggian mereka. Mereka ini berisiko tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2 dan masalah perubatan yang berkaitan. Individu yang obes mempunyai kerintangan terhadap insulin, dan disebabkan oleh hal ini, pankreas perlu bekerja dengan keras untuk menghasilkan lebih banyak insulin. Walau bagaimanapun, tidak terdapat insulin yang mencukupi untuk memastikan tahap gula berada pada tahap yang normal dalam darah.

    Tiada ubat untuk diabetes jenis ini. Diabetes jenis 2 boleh dikawal dengan pengurusan berat badan, pemakanan, dan senaman. Malangnya, diabetes jenis 2 cenderung berkembang, dan ubat diabetes sering diperlukan.

    Ujian A1C adalah ujian darah yang menganggarkan kadar glukosa purata dalam darah anda selama tiga bulan sebelumnya. Ujian A1C secara berkala boleh diaplikasikan untuk melihat bagaimana pelan diet, aktiviti senaman, dan ubat-ubatan berfungsi untuk mengawal gula darah dan mencegah kerosakan organ. Ujian A1C biasanya dilakukan beberapa kali dalam setahun.

    Penyakit kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes)

    Diabetes yang disebabkan oleh kehamilan dipanggil sebagai diabetes gestasi. Ia sering didiagnosis semasa pertengahan atau lewat kehamilan. Disebabkan oleh tahap gula darah yang tinggi melalui peredaran melalui plasenta kepada bayi, diabetes jenis ini harus dikawal untuk melindungi pertumbuhan dan perkembangan bayi. Diabetes kehamilan biasanya akan selesai selepas tamat tempoh kehamilan. Walau bagaimanapun, dengan mengalami diabetes kehamilan, juga akan meletakkan ibu yang berisiko untuk mendapat diabetes jenis 2 pada masa akan datang. Peratusannya boleh mencapai sehingga 10% bagi wanita yang mempunyai diabetes kehamilan untuk mempunyai diabetes jenis 2. 

    Sekiranya seseorang ibu mengandung mempunyai diabetes kehamilan, risikonya terhadap bayi yang belum lahir adalah lebih tinggi berbanding risikonya terhadap ibu mengandung. Risiko yang mungkin berlaku kepada bayi termasuklah berat badan yang tidak normal sebelum kelahiran, masalah pernafasan semasa kelahiran, dan obesiti serta risiko diabetes yang lebih tinggi di kemudian hari. Risiko kepada ibu mengandung pula termasuklah memerlukan pembedahan cesarean memandangkan saiz bayi yang terlalu besar, dan juga kerosakan pada jantung, buah pinggang, saraf dan juga mata.

    Bagi ibu mengandung, berbincanglah dengan doktor bagi mendapatkan nasihat rawatan yang bersesuaian dengan keadaan tubuh. Rawatan yang diperlukan semasa mengandung bagi ibu mengandung termasuklah:

    • Rancangan pemakanan yang perlu dipantau untuk memastikan nutrien kehamilan yang mencukupi tanpa lemak dan kalori yang berlebihan
    • Senaman harian
    • Mengawal kenaikan berat badan akibat kehamilan
    • Mengambil insulin diabetes untuk mengawal tahap gula darah jika diperlukan

    Jenis penyakit kencing manis yang lain

    Terdapat beberapa jenis diabetes yang jarang berlaku yang terjadi akibat daripada masalah kesihatan tertentu. Sebagai contoh, penyakit penkreas, sesetengah pembedahan dan ubatan atau jangkitan boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Walau bagaimanapun, jenis-jenis penyakit kencing manis ini hanya berlaku dengan peratusan yang sangat rendah iaitu sekitar 1% hingga 5% bagi keseluruhan kes diabetes yang berlaku.

    Bagaimanakah masalah insulin boleh terjadi?

    penyakit kencing manis

    Doktor tidak mengetahui punca-punca sebenar yang menyebabkan diabetes jenis 1 terjadi. Bagi diabetes jenis 2 yang juga dikenali sebagai rintangan insulin mempunyai sebab yang lebih jelas. Insulin membolehkan glukosa daripada sumber makanan seseorang untuk mengakses sel-sel dalam badan mereka bagi tujuan membekalkan tenaga. Rintangan insulin biasanya disebabkan oleh kitaran berikut:

    • Seseorang individu mempunyai gen atau persekitaran yang membuatnya lebih berkemungkinan untuk tidak dapat membuat insulin yang mencukupi untuk menampung jumlah glukosa yang telah mereka ambil atau makan.
    • Tubuh cuba untuk membuat insulin tambahan untuk memproses glukosa darah yang berlebihan.
    • Pankreas tidak dapat memenuhi tuntutan yang meningkat, dan gula yang berlebihan mula beredar dalam aliran darah yang akhirnya menyebabkan kerosakan.
    • Dari masa ke masa, insulin menjadi kurang berkesan untuk memberikan akses glukosa ke dalam sel. Pada tahap ini, tahap gula darah terus meningkat.

    Dalam kes diabetes jenis 2, rintangan insulin berlaku secara beransur-ansur. Hal ini menjadi sebab mengapa doktor sering mencadangkan perubahan gaya hidup dalam percubaan untuk memperlahankan atau membalikkan kitaran ini.

    Apakah pradiabetes?

    Individu yang ditentukan mempunyai pradiabetes adalah apabila gula dalam darahnya pada kebiasaannya berada dalam lingkungan 6.1 – 6.9 mmol / l semasa berpuasa (impaired fasting glucose) dan 7.8 – 11.0 semasa 2 jam postprandial (impaired glucose tolerance), manakala bagi seseorang individu yang menghidap diabetes akan mempunyai paras gula darah yang lebih tinggi daripada 7 mmol / l semasa berpuasa dan / atau 11.1mmol / l 2 jam selepas tamat.

    Tahap pradiabetes bermaksud bahawa tahap glukosa darah lebih tinggi daripada biasa tetapi ia tidaklah terlalu tinggi sehingga boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Walau bagaimanapun, individu yang mempunyai pradiabetes berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2, walaupun pada kebiasaannya mereka tidak mengalami simptom diabetes secara keseluruhan.

    Faktor risiko untuk mengalami pradiabetes dan diabetes jenis 2 adalah sama. Ini termasuklah:

    • Berat badan yang berlebihan
    • Mempunyai sejarah penyakit kencing manis dalam keluarga
    • Lempunyai tahap kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) lebih rendah daripada 1.2mmol / l pada wanita dan 1.0mmol / l pada lelaki dewasa
    • Mempunyai sejarah tekanan darah tinggi
    • Mempunyai diabetes kehamilan atau melahirkan anak dengan berat yang mencapai lebih daripada 4 kilogram
    • Mempunyai sejarah sindrom ovarium polikistik (PCOS)
    • Berketurunan Afrika-Amerika, Orang Asli Amerika, Amerika Latin, atau keturunan kepulauan Asia-Pasifik
    • Berumur lebih daripada 45 tahun
    • Mempunyai gaya hidup yang tidak aktif

    Sekiranya doktor mengenal pasti bahawa seseorang individu mempunyai pradiabetes, mereka akan mengesyorkan bahawa individu terbabit untuk membuat perubahan yang sihat yang boleh menghentikan perkembangan diabetes jenis 2. Kehilangan berat badan dan mempunyai diet yang lebih sihat boleh membantu mencegah penyakit ini.

    Tip diet dan senaman untuk penghidap penyakit kencing manis

    penyakit kencing manis

    Bagi seseorang individu yang dikesan mempunyai diabetes jenis 2, doktor pada kebiasannya akan mencadangkan untuk seseorang individu melakukan perubahan gaya hidup untuk menyokong penurunan berat badan dan meningkatkan kesihatan secara umum. Bagi cadangan pemakanan yang baik, pakar pemakanan akan mencadangkan beberapa tip perubahan gaya hidup yang mendorong kepada kualiti kehidupan yang lebih aktif dan pemakanan yang baik, sihat dan seimbang. Berikut merupakan antara tip yang boleh digunapakai oleh penghidap kencing manis untuk mewujudkan gaya hidup aktif dalam kehidupan mereka.

    • Makan diet yang tinggi dengan sumber makanan yang segar, berkhasiat, termasuklah bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak, tenusu rendah lemak, dan sumber lemak yang sihat, seperti kacang.
    • Mengelakkan makanan dengan kandungan gula yang tinggi tanpa kandungan kalori, atau kalori yang tidak mempunyai manfaat pemakanan lain, seperti soda, makanan bergoreng, dan pencuci mulut yang tinggi gula.
    • Menjauhkan diri daripada meminum alkohol secara berlebihan atau dengan mengambil kurang daripada satu minuman sehari untuk wanita atau dua minuman sehari untuk lelaki.
    • Melakukan aktiviti senaman sekurang-kurangnya selama 30 minit dalam sehari, 5 hari dalam seminggu. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti berjalan kaki, aerobik, menunggang basikal, atau berenang.
    • Mengenalpasti tanda-tanda gula darah rendah semasa bersenam, termasuklah pening, kekeliruan, berasa lemah, dan perpeluhan yang berlebihan.

    Setiap individu juga boleh mengambil langkah untuk mengurangkan indeks jisim badan mereka (BMI), yang mana ia sememangnya dapat membantu sesetengah individu yang mempunyai diabetes jenis 2.

    Diabetes adalah masalah kesihatan yang memerlukan pengurusan gula darah yang cermat dan gaya hidup yang sihat bagi seseorang untuk dapat mengurusnya dengan betul. Diabetes jenis I berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan insulin. Jenis 2 pula berlaku apabila berlakunya pengambilan berlebihan bagi makanan yang tinggi kandungan gula. Hal ini kemudiannya menyebabkan aliran darah tinggi dengan kandungan glukosa seterusnya mengurangkan pengeluaran dan keberkesanan insulin. Individu yang terkesan dengan diabetes boleh mengambil insulin tambahan untuk menguruskan keadaan diabetes tersebut bagi meningkatkan penyerapan glukosa. Sekiranya seseorang mempunyai pradiabetes, mereka boleh mengurangkan risiko diabetes sepenuhnya melalui senaman secara kerap dan pelan pemakanan yang seimbang dan rendah kandungan gula.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan