backup og meta

Suka Aktiviti Berlari? Pesakit Diabetes Jenis 1, Sebelum Buat, Ambil Tahu 3 Perkara Mustahak Ini Dulu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/05/2022

    Suka Aktiviti Berlari? Pesakit Diabetes Jenis 1, Sebelum Buat, Ambil Tahu 3 Perkara Mustahak Ini Dulu!

    Bagaimana jika pesakit diabetes jenis 1 ingin terlibat dalam aktiviti larian? Adakah terdapat cara berlari dengan betul? Adakah cara berlari yang betul ini sesuai dengan keadaan kencing manis mereka?

    Pesakit kencing manis jenis 1 dan aktiviti larian

    Pesakit kencing manis jenis 1 perlu mengawal tingkah laku mereka sepanjang masa agar tidak menjejaskan paras gula darah.

    Ini termasuklah dalam sebarang aktiviti larian yang ingin disertai.

    Tidak dinafikan bahawa, aktiviti kecergasan seperti larian ini sememangnya mampu membuatkan tubuh anda cergas.

    Namun, perlu diketahui bahawa aktiviti larian juga boleh memberikan kesan kepada gula darah anda.

    Biasanya, aktiviti senaman membantu menurunkan paras gula darah dengan meningkatkan sensitiviti insulin untuk membakar glukosa.

    Namun, ada sesetengah daripada penghidap diabetes jenis 1 mengalami hal yang sebaliknya, di mana paras gula darah mereka akan meningkat.

    Oleh itu, untuk mengawal paras gula darah ketika berlari, kami kongsikan kepada anda tip atau cara berlari yang betul.

    Cara berlari dengan betul 1: Ambil snek sebelum berlari

    cara berlari dengan betul

    Sekiranya paras gula darah kurang daripada 90 mg/dL, adalah lebih baik untuk anda mengambil snek yang tinggi karbohidrat dan protein sebelum memulakan larian.

    Ini untuk mengelakkan paras gula darah anda jatuh mendadak sewaktu berlari.

    Jumlah pengambilan karbohidrat dan juga protein ini bergantung kepada paras gula sebelum larian, tindak balas tubuh serta tempoh dan intensiti larian anda.

    Biasanya, bagi paras gula darah kurang daripada 125 mg/dL, anda mungkin perlu mengambil sekitar 15 gram karbohidrat

    Cara berlari dengan betul 2: Kawal paras gula darah

    Pemeriksaan paras gula darah ini perlu dilakukan pada tiga waktu iaitu sebelum, semasa dan selepas larian.

    Ini bertujuan untuk memahami bagaimana tubuh badan anda bertindak balas dengan senaman atau larian yang dilakukan itu.

    Ini juga boleh membantu anda untuk menyesuaikan diri dengan pengambilan karbohidrat dan juga insulin.

    Bagi mereka yang menghidap diabetes jenis 1, adalah sangat penting untuk memastikan paras gula darah berada dalam lingkungan 100 hingga 200 mg/dL.

    cara berlari dengan betul

    Jika berkurangan daripada paras tersebut, ambillah snek karbohidrat untuk menaikkan kembali paras gula darah.

    Ini untuk mengelakkan kejadian hipoglisemia atau gula darah terlalu rendah.

    Cara berlari yang betul 3: Penyesuaian insulin yang diambil

    Jika anda penghidap diabetes jenis 1, semestinya pengambilan insulin adalah salah satu komponen penting dalam pengurusan diabetes.

    Apabila anda melibatkan diri dengan aktiviti senaman atau larian, maka anda perlu mengubah suai pengambilan insulin agar ia sesuai dengan tindak balas semasa tubuh anda.

    Penyesuaian pengambilan insulin ini bergantung kepada jenis insulin yang anda ambil.

    Selain itu, penyesuaian insulin juga perlu melihat kepada bagaimana tubuh badan anda bertindak balas selepas larian.

    Jika anda tidak pasti bagaimana untuk melakukannya, dapatkanlah nasihat doktor agar penyesuaian tersebut sesuai dengan tubuh badan anda. 

    Wajib tahu tiga perkara sebelum memulakan larian

    cara berlari yang betul

    Secara kesimpulannya, anda perlu mengambil tahu tiga perkara penting ini sebelum melakukan larian iaitu:

  • Paras gula darah 
  • Suntikan insulin
  • Jenis snek sebelum larian
  • Ketiga-tiga perkara ini perlu diperhatikan sebelum, semasa dan selepas melakukan aktiviti larian.

    Ini penting agar anda tidak mengalami paras gula darah terlalu rendah (hipoglisemia) atau paras gula darah terlalu tinggi (hiperglisemia) sewaktu berlari.

    Tip ini juga boleh digunakan apabila anda melakukan sebarang aktiviti atau rutin baharu yang mungkin boleh memberikan kesan terhadap paras gula darah anda.

    Kini, anda sudah tahu tip atau cara berlari dengan betul sebagai penghidap diabetes jenis 1. Ternyatalah diabetes bukan penghalang untuk anda menjalani gaya hidup sihat. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 27/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan