backup og meta

3 Cara Bagaimana Penjaga Boleh Membantu Pesakit Diabetes Menguruskan Obesiti Dengan Efektif

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    3 Cara Bagaimana Penjaga Boleh Membantu Pesakit Diabetes Menguruskan Obesiti Dengan Efektif

    Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira 1 daripada 5 rakyat Malaysia didapati menghidap diabetes1. Malah, hampir separuh daripada populasi penduduk di Malaysia (50.1%) turut mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti1.

    Individu dengan berat badan berlebihan atau obesiti berisiko untuk menghidap diabetes kerana indeks jisim badan (BMI) yang tinggi boleh merencatkan sel beta di dalam pankreas, dan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi untuk mengatasi kerintangan insulin, lalu mengurangkan kawalan terhadap gula dalam darah2.

    Oleh sebab itu, persekitaran harian dan keluarga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit diabetes yang obes menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik. Ia dapat dilakukan melalui galakan pengambilan makanan yang sihat dan pengambilan ubat tepat pada masanya.

    Diabetes yang tidak diuruskan dengan efektif juga boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan lebih kronik seperti strok atau amputasi anggota badan. Peranan penjaga adalah penting untuk membantu memudahkan cabaran harian yang terpaksa dilalui pesakit diabetes di dalam proses pemulihan ini.

    Bantuan Untuk Pesakit Diabetes Menurunkan Berat Badan Mereka Dengan Lebih Berkesan

    Salah satu langkah penting untuk penjaga membantu pesakit diabetes yang juga menghidapi  penyakit obesiti adalah dengan memastikan pesakit tersebut mengamalkan pemakanan yang sihat seperti makanan yang berkalori rendah dan mengelak makanan tinggi indeks glisemik (GI). Pemakanan yang sihat boleh mengawal kadar gula dalam darah, malah membantu penurunan berat badan.

    Penjaga juga boleh menggalakkan pesakit diabetes untuk bersenam secara berkala bagi membakar kalori yang terkumpul. Jika galakan untuk menaikkan semangat pesakit sahaja tidak mencukupi, penjaga juga boleh melibatkan diri dalam senaman berpasangan atau berkumpulan dengan pesakit di bawah jagaan mereka3.

    Sebenarnya, penurunan berat badan yang dilaksanakan pada tahap yang awal lagi dapat mencegah individu daripada menghidap diabetes. Penurunan setiap 5% lemak dalam badan dapat mengurangkan risiko diabetes individu sebanyak 25%4. Ia juga dapat mencegah dan mengawal penyakit kronik seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, dan kegagalan jantung dan paru-paru5 dengan efektif.

    Inovasi Terbaharu Ubat GLP-1 RA Dalam Mengurus Diabetes dan Obesiti

    Penjaga juga perlu memastikan pesakit mematuhi pengambilan ubat diabetes (yang disarankan oleh doktor bertauliah) dengan betul. Pesakit diabetes mungkin mengalami kesukaran untuk mematuhi pengambilan ubat, kerana proses ini melibatkan suntikan ubat beberapa kali dalam masa sehari.

    Berita baiknya, sejak beberapa dekad lalu, terapi baharu yang bukan sahaja dapat mengawal kadar indeks glisemik (GI) secara optimum sedang giat dibangunkan. Ubat antidiabetik baharu ini dikenali sebagai glucagon-like-peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RA), dan ia tidak seperti terapi konvensional lain.

    Suntikan GLP-1 RA boleh diambil sekali sehari atau seminggu sekali, dan memberi perlindungan terhadap risiko penyakit kardiovaskular, malah membantu penurunan berat badan secara sihat. Didatangi dalam bentuk alat suntikan pen, setiap suntikan GLP-1 RA yang diambil berfungsi meniru aktiviti dan fungsi hormon semulajadi GLP-1 di dalam badan.

    Hormon GLP-1 dihasilkan ketika individu makan, dan berfungsi untuk memberikan isyarat kepada pankreas untuk meningkatkan pengeluaran insulin yang diperlukan tubuh bagi tujuan mencapai paras gula dalam darah yang normal. GLP-1 RA turut meningkatkan jangka masa kekenyangan dan melambatkan proses pencernaan makanan, lalu mencegah risiko pengambilan makanan secara berlebihan. Ini dapat mencegah kenaikan paras gula yang mendadak selepas makan, dan kenaikan berat badan yang tidak seimbang6, 7. Di samping itu, GLP-1 RA turut dibuktikan dapat memberi perlindungan pada pesakit diabetes yang menghidap penyakit kardiovaskular atau yang berisiko tinggi menghidapnya.

    Dengan cara penggunaan yang semakin mudah dan pengurangan suntikan, terapi GLP-1 RA adalah satu pakej yang boleh memudahkan pesakit menguruskan diabetes dengan lebih efektif, malah memudahkan penjaga untuk membantu memberi rawatan.

    Namun begitu, anda disaran untuk mendapatkan konsultasi doktor sebelum memilih dan merangkumkan terapi GLP-1 RA dalam pelan pengurusan diabetes dan penurunan berat badan.

    Doktor yang bertauliah merupakan individu yang paling berkelayakan untuk menentukan jenis rawatan dan ubat diabetes yang bersesuaian dengan keperluan pesakit diabetes yang obes. Pengesanan awal juga merupakan satu langkah pencegahan utama.

    Jika pesakit di bawah jagaan anda mempunyai berat badan berlebihan, menghidap diabetes atau berisiko menghidapnya, galakkan mereka untuk menjalani saringan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membantu mereka mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan