backup og meta

Ibu Ayah Jangan Pandang Ringan, Kanak-Kanak Juga Boleh Hidap Diabetes, Awasi Petanda Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 24/11/2022

    Ibu Ayah Jangan Pandang Ringan, Kanak-Kanak Juga Boleh Hidap Diabetes, Awasi Petanda Ini!

    Selama ini, penyakit kencing manis sering dikaitkan dengan individu yang lebih berusia. Namun, jangan terkejut jika diabetes pada anak berlaku.

    Walaupun jarang berlaku, kencing manis yang dialami oleh kanak-kanak ialah diabetes awal matang pada usia muda atau dipanggil MODY, terjadi disebabkan oleh mutasi gen. 

    Walaupun sebilangan besar individu akan didiagnosis sebelum usia 25 tahun, tetapi anda masih boleh menghidapnya pada usia berapa pun.

    Masalah MODY ini berkait rapat dengan kecacatan pada gen yang mengatur insulin. Ini sekali gus mengakibatkan organ pankreas untuk tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi bagi mengekalkan kawalan gula darah yang normal. 

    Dalam jangka masa panjang, individu yang mengalami masalah mutasi gen ini akan mendapat diabetes kanak-kanak.

    Penyakit MODY sangat jarang untuk ditemui jika dibandingkan dengan diabetes jenis satu dan dua. Pakar dari United Kingdom menganggarkan bahawa hanya 1% hingga 2% orang yang menghidap diabetes memilikinya.

    Oleh sebab ia sangat jarang berlaku, doktor mungkin tidak menyedarinya. Jadi dianggarkan kira-kira 90% individu yang menghidapinya telah salah didiagnosis menghidap diabetes jenis satu atau dua pada mulanya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini

    Simptom dan tanda diabetes pada anak

    Simptom dan tanda diabetes pada anak cenderung berkembang secara beransur-ansur. 

    Hal ini serupa dengan apa yang berlaku pada individu dengan diabetes jenis dua. Akan tetapi, simptom diabetes jenis satu sering berlaku dengan cepat dalam beberapa minggu.

    Simptom awal MODY atau diabetes pada anak ini termasuklah penglihatan semakin kabur, jangkitan kulit berulang atau jangkitan yis. Namun begitu, terdapat kebarangkalian tidak akan ada gejala sama sekali.

    Individu dengan MODY sering mempunyai kadar gula darah tinggi, iaitu hiperglisemia selama bertahun-tahun sebelum mereka mengalami sebarang gejala.

    Peningkatan gula darah berlaku secara beransur-ansur, dan hanya akan diketahui jika doktor melakukan ujian gula darah semasa pemeriksaan.

    Tanpa rawatan yang cepat dan sesuai, gula darah akan terus meningkat dan menyebabkan:

    • Kekerapan membuang air kecil
    • Kerap rasa dahaga dan lapar
    • Kekurangan berat badan

    MODY 5, salah satu jenis MODY yang jarang berlaku, boleh melibatkan organ lain selain pankreas. Kadangkala, buah pinggang menjadi rosak sebelum tanda diabetes pada anak anda didiagnosis. 

    Kerosakan ginjal boleh mengakibatkan penurunan penghasilan air kencing, berbeza daripada peningkatan kencing yang biasanya terlihat dalam kalangan penghidap diabetes.

    Pengurusan kehidupan jika tanda diabetes pada anak muncul

    diabetes pada anak

    Individu yang mempunyai MODY perlu didiagnosis dengan betul untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. 

    Matlamat utama untuk menjaga kelangsungan hidup kanak-kanak dengan diabetes adalah sama seperti jenis diabetes yang lain iaitu untuk memastikan gula darah seimbang dan kesihatan diri terjaga.

    Selain itu, ibu bapa haruslah lebih peka semasa anak melakukan aktiviti fizikal kerana sebarang bentuk kecederaan boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih teruk. 

    Sekiranya terdapat luka, segeralah berjumpa dengan doktor untuk rawatan perubatan.

    Punca dan risiko diabetes pada anak

    MODY berlaku apabila terdapat perubahan yang disebut mutasi, pada salah satu gen anak anda. 

    Hal ini berbeza dengan diabetes jenis satu dan dua, yang berpunca daripada gabungan genetik yang berlainan dan perkara lain seperti obesiti.

    Perubahan genetik yang berlaku untuk MODY menghalang pankreas daripada menghasilkan insulin yang mencukupi, hormon penting yang membantu pengawalan tahap gula darah anda.

    Seperkara lagi, MODY ialah masalah kesihatan turun-temurun, bermaksud jika seseorang dalam keluarga telah didiagnosis, terdapat kemungkinan besar buat ahli keluarga lain untuk menanggung nasib yang sama.

    Sekiranya anda mempunyai ibu bapa yang menghidap MODY, kebarangkalian bagi anda untuk memperolehinya ialah 50%. Dalam banyak kes, penyakit ini berlaku lebih daripada satu generasi.

    Tidak seperti diabetes jenis dua, MODY lazimnya tidak dikaitkan dengan isu berat badan atau mempunyai tekanan darah tinggi. Individu yang sering didiagnosis dengan MODY sering mempunyai berat badan yang sihat dan ideal.

    diabetes pada anak

    Langkah pertama dalam mencapai diagnosis MODY ialah menjalani ujian gula darah. Jika hasilnya menunjukkan tahap gula yang tinggi ke arah diabetes, doktor akan menjalankan beberapa ujian tambahan lain untuk mengetahui jenis diabetes yang dihidapi anak anda.

    Mendapatkan diagnosis yang tepat adalah mustahak kerana rawatan MODY berbeza daripada rawatan diabetes jenis satu dan dua.

    Oleh sebab MODY berlaku kerana mutasi genetik,ujian genetik selalunya dijalankan untuk mencapai diagnosis yang tepat. Ujian ini bukan sahaja akan mengesahkan penyakit MODY, malahan boleh menentukan jenis MODY yang tepat.

    Cara mencegah MODY

    Sekiranya anda mempunyai hubungan keluarga dengan seseorang yang mempunyai mutasi MODY, anda boleh mendapatkan ujian genetik untuk menentukan sama ada anda atau anak anda berisiko mengalaminya.

    Langkah pertama adalah untuk mendapatkan ujian genetik yang boleh mengesan mutasi gen MODY. 

    Ia sangat penting untuk memastikan individu yang mengalami keadaan tersebut dalam keluarga anda mempunyai mutasi yang dapat dikesan. Hal ini kerana ujian genetik tidak selalunya dapat menemui mutasi.

    Sekiranya anak anda mempunyai risiko mengalami MODY, anda boleh membantu si manja dari segi:

     1. Diabetes pada anak –  Diet dan pemakanan

    diabetes pada anak

    Makan makanan yang sihat, seimbang dan berikan perhatian khusus kepada jumlah gula dalam makanan serta masa hidangan.

    Pilih makanan yang tidak mengandungi kandungan gula yang tinggi dan mempunyai kalori yang stabil untuk menjaga berat badan dan pertumbuhannya.

    Antara contoh makanan yang seharusnya dielakkan jika berlaku diabetes pada anak:

    • Gula putih, merah dan gula melaka
    • Gula-gula dan coklat
    • Sapuan roti seperti kaya, jem dan madu
    • Aiskrim dan jeli
    • Kuih-muih tempatan seperti kuih seri muka, kuih lapis, kuih koci, kuih bakar dan onde-onde
    • Makanan yang mengandungi santan atau susu lemak manis
    • Bijirin yang bersalut gula

     2. Senaman dan berat badan

    Ibu bapa perlu mendorong si kecil yang menderita diabetes jenis MODY ini untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

    Ini termasuklah aktiviti bersenam dan bersukan kerana penderita diabetes harus banyak bergerak bagi mendapatkan tenaga sekali gus menjadikan sel-sel darah lebih peka terhadap insulin.

    Aktiviti fizikal seperti berjalan kaki atau berjoging turut membantu membina jisim otot. Hal ini penting kerana kebanyakan glukosa dalam darah akan diserap oleh otot-otot untuk dibakar sebagai tenaga.

    Namun, sebelum melakukan apa-apa aktiviti, ibu bapa perlu berbincang dengan doktor bagi melihat kandungan glukosa dalam badan si kecil sebelum dan selepas melakukan aktiviti.

    Turut diingatkan, ibu bapa perlu memastikan si kecil mengambil santapan kecil satu hingga tiga jam bagi mengelakkan perut kosong.

    3. Rundingan doktor

    Kerap berjumpa doktor untuk mendapatkan cara kawalan yang betul mengikut keadaan anak anda dan mengawasi tanda-tanda diabetes pada anak, komplikasi kencing manis dan pelbagai masalah kesihatan lain.

    Berikan anak anda ubat yang dicadangkan oleh doktor, termasuklah insulin dengan cara yang betul. Jika tidak pasti, berbincanglah dengan doktor anda dengan lebih lanjut tentang diabetes pada anak ini. 

    4. Pemeriksaan tahap gula darah secara berkala

    Periksa tahap gula darah si manja anda beberapa kali dalam sehari. Sebelum melakukan pemeriksaan yang kerap, jelaskan kepentingan prosedur tersebut dari segi kesihatan diri kepada anak anda.

    Setiap kali selepas mendapat bacaan gula darah, catatkanlah jumlah tersebut di dalam buku nota kecil untuk rujukan doktor anda. Ia boleh membantu doktor merangka pelan kesihatan yang optimum untuk si kecil.

    5. Sokongan emosi

    Paling penting, anda perlu peka akan emosi anak anda. Mereka mungkin akan mudah berasa kecewa atau marah lantas menyebabkan mereka berkelakuan buruk. Hal ini kerana anak anda akan rasa berbeza dengan kanak-kanak lain.

    Bagi menyelesaikan masalah ini, anda boleh mencari kumpulan yang melibatkan golongan kanak-kanak senasib dengannya dan menggalakkan anak anda bergaul dengan mereka. Ini akan membuatkan si kecil tidak lagi berasa keseorangan.

    #WorldDiabetesDay and #DiabetesAwareness4All

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 24/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan