Trend menikmati makanan yang pedas atau ‘over spicy’ bukanlah satu trend yang baharu. Sepertimana trend-trend lain, trend memakan makanan pedas juga mempunyai musim atau turun naiknya. Terdapat pelbagai cabaran memakan makanan pedas yang sering diuar-uarkan di media sosial yang pada akhirnya menjadi satu trend atau seolah-olahnya sebagai satu kewajipan bagi pengikut-pengikut media sosial. Tetapi tahukah anda, terdapat satu lagi kesan yang mengejutkan akibat memakan makanan yang pedas selain daripada mengakibatkan sakit perut? Penyelidikan terbaru yang melibatkan University of South Australia menunjukkan pemakanan makanan pedas boleh dikaitkan dengan demensia.
Kajian yang dijalankan selama 15 tahun terhadap seramai 4,582 orang dewasa Cina berusia lebih dari 55 tahun mendapati, terdapat bukti penurunan kognitif yang lebih cepat dalam kalangan mereka yang memakan lebih daripada 50 gram cili sehari secara konsisten. Penurunan memori berlaku dengan lebih ketara sekiranya pemakan cili tersebut adalah seorang yang kurus.