backup og meta

Ada Khasiat Makan Pedas Pada Kaum Adam, Katanya Boleh Bantu Rawat MATI PUCUK

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/06/2021

    Ada Khasiat Makan Pedas Pada Kaum Adam, Katanya Boleh Bantu Rawat MATI PUCUK

    Berikut merupakan rumusan kajian yang dibuat di Universiti Grenoble-Alpes, Perancis.

    Kertas kajian tersebut telah diterbitkan pada tahun 2015 dan ia berjaya menarik perhatian para lelaki yang bergelut dengan masalah syahwat rendah dan mati pucuk.

    Jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, baca artikel ini.

    Capsaicin, bukan elak kanser semata-mata

    Capsaicin merupakan bahan aktif yang terkandung di dalam bahan makanan seperti cili.

    Parasnya sering dikaitkan dengan tahap kepedasan sesuatu makanan. Jika jumlahnya tinggi, maka makanan tersebut akan menjadi lebih pedas.

    Apa yang mungkin anda tidak tahu adalah bahan ini juga mempunyai kebolehan untuk menghindarkan penyakit, mempengaruhi hormon dan meningkatkan tahap kesihatan.

    Antaranya adalah:

    1. Meningkatkan tahap metabolisme badan.
    2. Menurunkan rasa lapar.
    3. Mengawal tekanan darah.
    4. Membantu fungsi pencernaan.
    5. Boleh melegakan kesakitan (krim kulit).
    6. Boleh membantu mengurangkan simptom psoriasis.
    7. Boleh menurunkan risiko kanser.

    Kajian oleh Universiti Grenoble-Alpes menunjukkan, kandungan capsaicin di dalam makanan boleh berkait dengan kecenderungan seseorang untuk menjadi agresif, dominan dan mempengaruhi keberanian untuk melakukan sesuatu.

    Jika dilihat dengan teliti, kesemua perkara tersebut boleh dikaitkan dengan peningkatan paras testosteron.

    Sebaliknya, jika paras testosteron menurun, ia boleh menyebabkan masalah kemurungan, kelesuan dan seterusnya mempengaruhi prestasi lelaki di ranjang.

    Testosteron dan kaitannya dengan masalah mati pucuk

    Walaupun tidak begitu diketahui umum, hormon testosteron juga mempunyai peranan penting dalam fungsi ereksi kaum Adam.

    Hipotesis tersebut dibuat berdasarkan pemerhatian berikut:

    • Semakin meningkat usia, semakin rendah jumlah testosteron di dalam badan. Pada usia tersebut, prevalens masalah mati pucuk meningkat
    • Pengasian (castration) boleh menurunkan fungsi seksual lelaki secara menyeluruh
    • Bagi mereka yang telah dikasi, fungsi seksual mereka kembali semula selepas dirawat dengan hormon androgen

    Walaupun proses ereksi bergantung kepada rangsangan seksual, namun ia juga masih merupakan proses yang bergantung kepada hormon testosteron.

    Kajian jelas menunjukkan mereka yang mengalami masalah hipogonadisme mempunyai kekerapan, amplitud dan kekerasan ereksi yang rendah.

    Walau bagaimanapun, perkara ini tidak bermakna paras testosteron yang tinggi boleh mempengaruhi prestasi hubungan seks bagi lelaki.

    Apabila ia sudah mencapai jumlah normal, peningkatan pada jumlah testosteron tidak akan menyebabkan peningkatan pada kekerapan, amplitud dan kekerasan ereksi seseorang.

    Pun begitu, jika dilihat pada kes di dunia realiti, masalah mati pucuk jarang berpunca daripada paras hormon testosteron rendah.

    Jika anda mempunyai jumlah yang rendah sekalipun, mati pucuk boleh berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor lain.

    Langkah terbaik untuk mengenal pasti punca mati pucuk adalah dengan membuat pemeriksaan di klinik/hospital.

    punca mati pucuk

    Makan pedas boleh tingkatkan hormon androgen

    Ereksi bergantung kepada rangsangan seksual. 

    Seseorang itu tidak akan mengalami ereksi sekiranya mereka terlalu bergantung kepada perkara lain (ubat, suplemen) tanpa mengalami rangsangan seks.

    Perkara ini dapat dilihat pada penggunaan pil biru dalam kalangan penghidap mati pucuk.

    Kesannya berbeza mengikut individu dan ia turut boleh berpunca daripada rangsangan seksual yang dialami lelaki.

    Dalam konteks makanan pedas, walaupun kajian menunjukkan ia boleh meningkatkan keupayaan lelaki untuk mengalami ereksi, namun mekanisme di sebaliknya masih tidak jelas.

    Melalui pemerhatian jumlah testosteron meningkat dengan pengambilan makanan pedas, kaitan yang boleh dilihat bersangkut paut dengan syahwat lelaki untuk melakukan hubungan seks.

    Jika anda ada masalah syahwat rendah, keupayaan anda untuk mengalami atau mengekalkan ereksi juga akan turut terkesan.

    Maka pengambilan makanan pedas boleh meningkatkan kebolehan lelaki untuk mendapat ereksi berikutan peningkatan jumlah testosteron yang dialami berkait dengan kompaun capsaicin.

    Adakah tahan pedas bermaksud anda ‘jantan’?

    hormon androgen

    Dalam konteks ini, saintis masih tidak menemui jawapan yang jelas.

    Adakah pengambilan makanan pedas dibantu oleh paras testosteron tinggi di dalam badan (semakin banyak testosteron, semakin anda menyukai makanan pedas)?

    Atau, adakah pengambilan makanan pedas menyebabkan peningkatan hormon androgen tersebut?

    Dilema bagi persoalan ini hampir sama dengan persoalan “mana yang datang dulu, telur atau ayam?”

    Kajian menunjukkan lelaki yang makan pedas sememangnya mempunyai paras testosteron yang tinggi.

    Namun adakah ia bermakna makanan tersebut menyebabkan testosteron anda tinggi? Atau adakah disebabkan hormon anda tinggi anda lebih suka mengambil makanan pedas?

    Persoalan ini perlu dikaji dengan lebih lanjut.

    Konklusi

    Walaupun makanan pedas mempunyai keupayaan secara tidak langsung untuk meningkatkan prestasi anda di ranjang, namun jangan bergantung kepadanya jika anda mengalami masalah mati pucuk.

    Rawatan mati pucuk perlu dilakukan dengan sistematik dan jika ia dibenarkan oleh doktor, makanan pedas boleh menjadi ‘suplemen’ untuk menambah baik kesan ereksi.

    Jika anda mempunyai sebarang persoalan, ajukan kepada pakar kesihatan anda sekarang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan