Radang pankreas (pankreatitis) adalah keadaan kesihatan yang menyebabkan organ pankreas menjadi bengkak dan tidak boleh menjalankan fungsinya secara normal.
Organ tersebut berperanan dalam mengawal proses metabolisme gula di dalam badan dan merembeskan enzim untuk mencerna makanan.
Oleh sebab masalah kesihatan pankreatitis mempengaruhi keupayaan organ untuk mencerna makanan, jadi pesakit perlu mengamalkan corak pemakanan yang betul.
Baca artikel ini untuk mengetahui jenis makanan yang perlu anda hindari atau makan setelah didiagnosis dengan masalah pankreatitis.
Punca radang pankreas pada organ pankreas
Punca radang pankreas boleh berlaku akibat beberapa faktor utama.
Antara yang paling biasa termasuk pengambilan alkohol berlebihan dan kehadiran batu karang dalam pundi hempedu. Kedua-dua keadaan ini boleh mengganggu fungsi normal pankreas dan mencetuskan keradangan.
Selain itu, radang ini juga boleh disebabkan oleh:
-
Paras lemak (trigliserida) yang sangat tinggi dalam darah
-
Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu
-
Jangkitan virus atau kecederaan pada abdomen
-
Masalah genetik atau penyakit autoimun
Memahami puncanya penting untuk rawatan dan pencegahan yang lebih berkesan.
Tanda sakit pankreas
Antara tanda sakit pankreas yang sering dialami ialah kesakitan yang kuat di bahagian atas abdomen dan boleh merebak ke belakang.
Kesakitan ini biasanya semakin teruk selepas makan. Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami:
-
Mual dan muntah
-
Demam dan denyutan jantung yang laju
-
Perut kembung atau rasa tidak selesa
-
Kehilangan selera makan dan penurunan berat badan
Sekiranya gejala ini berlarutan atau semakin teruk, segera dapatkan pemeriksaan kesihatan kerana ia mungkin petanda radang yang serius.
Apa yang perlu anda makan sekiranya menghidap radang pankreas?
Bagi memastikan fungsi pankreas anda sentiasa berada pada tahap yang optimum, anda perlu memfokuskan kepada makanan yang kaya dengan protein, rendah lemak dan mengandungi antioksidan.
Makanan seperti daging bebas lemak, kekacang, sup dan alternatif kepada produk tenusu seperti susu kacang almond boleh meringankan beban pankreas anda.
Kajian menunjukkan mereka yang mengalami masalah pankreatitis boleh mengambil makanan yang mengandungi 30 hingga 40% kalori dari sumber tumbuh-tumbuhan tanpa kesan buruk terhadap kesihatan.
Bayam, bluberi, ceri dan bijirin penuh; itu antara makanan yang baik untuk sistem pencernaan anda berikutan ia mengandungi jumlah antioksidan yang tinggi.
Ini bermakna kesan buruk yang berpunca daripada molekul radikal bebas dapat diminimumkan bagi melindungi integriti fizikal dan fungsi pankreas.
Jika anda mengidam akan makanan manis, cuba gantikan gula-gula dengan buah-buahan. Ia lebih sihat dan boleh menurunkan risiko kencing manis.
Gantikan snek anda dengan buah, tomato ceri, timun dan hummus bagi memaksimumkan lagi tahap kesihatan pankreas.
Apa yang anda tidak boleh makan semasa alami radang pankreas?

Jika anda ingin berpuasa daripada makanan yang boleh menyebabkan kerosakan pada pankreas, lihat pada senarai di bawah:
- Daging merah
- Daging organ dalaman haiwan
- Makanan bergoreng
- Cip kentang
- Mayones
- Mentega
- Bahan tenusu lemak berkrim
- Kuih dengan kandungan gula yang tinggi
- Minuman bergula
Kunci kepada rawatan dan pencegahan bagi masalah pankreas adalah dengan menghindarkan asid lemak trans dalam pemakanan anda.
Makanan bergoreng seperti kentang goreng, burger dan sebagainya mempunyai kandungan lemak trans yang tinggi.
Begitu juga dengan makanan bergoreng yang lain. Ia boleh menyebabkan masalah pankreatitis menjadi semakin teruk.
Bahan makanan lain seperti kek, kuih dan biskut yang tinggi gula boleh membebankan pankreas berikutan keperluan insulin meningkat kesan daripada pengambilan makanan tersebut.
Terdapat juga pantang larang dan tip lain seperti berikut jika anda ingin pulih daripada masalah radang pankreas:
- Elakkan daripada mengambil minuman beralkohol
- Berhenti merokok
- Fokus kepada amalan pemakanan rendah lemak
- Minum air kosong secukupnya
- Ikut saranan pakar pemakanan
Konklusi
Apabila anda didiagnosis dengan masalah radang ini, pemakanan adalah elemen utama yang perlu diubah bagi meminimumkan proses radang yang dialami.
Makanan yang tinggi dengan lemak trans dan gula perlu dielakkan bagi merehatkan organ pankreas.
[embed-health-tool-bmi]