Tahukah anda, apakah maksud hypertension atau hipertensi? Penyakit ini selalu disebut-sebut, namun adakah anda sedar apakah kesannya yang sebenar terhadap kesihatan diri?
Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai apa itu hipertensi, kesannya serta apa yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan risiko penyakit ini pada masa akan datang.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Apakah maksud hypertension?
Jadi, apakah maksud hypertension? Sebenarnya, hipertensi merupakan istilah lain untuk tekanan darah tinggi. Selalunya, ia dibaca dengan dua nombor iaitu nombor sistolik dan diastolik.
Nombor pertama (sistolik) merupakan bacaan tekanan darah ketika jantung sedang berdegup. Nombor kedua pula (diastolik) adalah tekanan darah ketika jantung berehat antara dua degupan.
Seseorang itu dikatakan menghidap hipertensi sekiranya bacaan tekanan darah sistolik untuk dua hari melebihi ≥140 mmHg dan bacaan diastolik pula pada ≥90 mmHg.
Tekanan darah tinggi merupakan faktor risiko untuk penyakit kardiovaskular seperti strok, sakit jantung, kegagalan jantung dan aneurisme.
Oleh sebab itu, tekanan darah yang stabil amat penting untuk penghidap hipertensi. Jika tidak, risiko untuk mereka mengalami penyakit berbahaya akan menjadi semakin tinggi.
Menurut sebuah kajian, hipertensi berlaku kepada 5-47% lelaki dan 7-38% wanita. Menurut tinjauan, hampir 32.9% penduduk Malaysia menghidap hipertensi.
Bukan itu sahaja, masih ramai lagi pesakit tekanan darah tinggi lain yang belum didiagnosis. Jadi, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka menghidap hipertensi.
Maksud hypertension: Kesannya terhadap kesihatan anda
Apa yang berlaku sekiranya anda disahkan mempunyai tekanan darah tinggi?
Untuk pengetahuan anda, tekanan darah tinggi boleh memberikan impak yang besar kepada kesihatan diri. Ia juga boleh merosakkan organ penting seperti jantung, otak, buah pinggang dan mata.
Walau bagaimanapun, anda boleh mengubah gaya hidup untuk mengawal bacaan tekanan darah. Pada masa yang sama, risiko untuk menghidap penyakit yang serius juga boleh dikurangkan.
Sekiranya anda menghidap hipertensi, ini adalah antara kesannya kepada kesihatan anda:
1. Risiko penyakit jantung meningkat
Tekanan darah tinggi boleh merosakkan salur darah dan menjadikannya kurang elastik. Lama-kelamaan, pengaliran darah dan oksigen ke jantung akan berkurang. Inilah yang menyebabkan:
- Sakit dada
- Serangan jantung
- Kegagalan jantung
2. Strok dan masalah pada otak
Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan arteri yang menyalurkan darah pada otak pecah atau tersumbat. Kondisi ini akan menyebabkan strok.
Strok boleh menyebabkan kecacatan pada percakapan dan pergerakan. Selain itu, pesakit strok akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti biasa setiap hari. Bukan itu sahaja, strok juga boleh membunuh.
Tambahan lagi, warga emas yang menghidap tekanan darah tinggi juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap dementia.
3. Risiko penyakit buah pinggang meningkat
Orang dewasa yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau kedua-duanya lebih berisiko mendapat penyakit buah pinggang kronik berbanding mereka yang tidak menghidapnya.
Baca juga:
- Susah Hati Tekanan Darah Tinggi? Jom Buat 7 Petua Semula Jadi Ini!
- Tiada Simptom, Kenali Penyakit Tekanan Darah Tinggi Sebelum Terlambat!
Apakah tanda hipertensi?
Selain maksud hypertension, anda juga perlulah tahu apakah simptom-simptomnya.
Berbeza dengan penyakit lain, tekanan darah tinggi mungkin tidak mempunyai sebarang simptom atau tanda amaran awal. Sebab itulah, ia juga dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’.
Oleh sebab itu, anda perlulah tahu cara untuk mengambil tekanan darah sendiri di rumah. Jika anda sudah mempunyai alat untuk membaca tekanan darah, ikuti penjelasan kami dalam artikel ini untuk memastikan anda mengambil bacaan dengan betul.
[embed-health-tool-heart-rate]
Namun, ada sesetengah individu yang menghidap hipertensi mempunyai simptom.
Antara tanda-tanda tekanan darah tinggi ialah sakit kepala pada waktu pagi, hidung berdarah, degupan jantung tidak sekata, kesukaran untuk melihat dan sering mendengar bunyi nyaring.
Hipertensi yang teruk pula boleh menyebabkan keletihan, rasa loya, muntah-muntah, kegelisahan, sakit dada dan otot yang terketar-ketar.
Satu-satunya cara untuk mengesan hipertensi adalah dengan melakukan pemeriksaan pakar. Lagipun, pemeriksaan tekanan darah tidak menyakitkan. Ia juga tidak akan mengambil masa yang panjang.
Walaupun anda mempunyai alatan untuk membaca tekanan darah di rumah, tidak salah untuk anda melakukan pemeriksaan di klinik secara berkala. Pemeriksaan oleh pakar selalunya lebih tepat dan meyakinkan.
Kami berharap agar penjelasan kami dalam artikel kali ini dapat membantu anda mendalami maksud hypertension. Sekiranya anda mengalami simptom-simptom tekanan darah tinggi, berjumpalah pakar dengar segera untuk pemeriksaan.