backup og meta

Makan Banyak Daging Merah Mungkin Akan Jejas Buah Pinggang! - Kajian

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/02/2022

    Makan Banyak Daging Merah Mungkin Akan Jejas Buah Pinggang! - Kajian

    Daging merah seperti lembu, kambing dan sebagainya merupakan sumber protein dan lemak yang sangat penting dalam diet seharian kita semua.

    Pun begitu, pengambilannya perlu dalam kualiti serta kuantiti yang betul kerana jika tidak ia akan memberi kesan negatif pada tubuh badan.

    Menurut pelbagai kajian juga, ambil banyak red meat atau daging yang berwarna merah mungkin akan menjejaskan buah pinggang? Betul ke? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu!

    Diet daging merah & kesihatan tubuh badan

    Seperti mana yang hampir kita semua sudah tahu, daging merupakan sumber protein dan lemak paling utama yang sangat diperlukan tubuh badan.

    Antara sumber daging yang paling popular dalam kalangan masyarakat kita ini adalah lembu, kambing atau khinzir buat mereka yang bukan muslim.

    Selain itu juga, daging sangat kaya dengan pelbagai jenis vitamin dan mineral termasuklah:

    • Zink
    • Selenium
    • Fosforus
    • Zat besi
    • Zat tembaga
    • Potasium
    • Magnesium
    • Sodium
    • Vitamin B, K dan D

    Sekiranya diambil dalam kualiti dan kuantiti yang tepat, ia akan membuatkan tubuh badan lebih sihat, kuat, tegap dan cergas ekoran nutrien yang wujud.

    Sekiranya diambil dalam kualiti dan kuantiti salah pula, ia akan memberi kesan negatif terhadap tubuh badan termasuklah mengundang pelbagai penyakit.

    daging merah

    Risiko dapat penyakit tinggi jika makan daging?

    Meskipun daging merah dikatakan sebagai antara nutrien terpenting, anda masih perlu waspada ketika mengambilnya ekoran kesan negatif di sebaliknya.

    Menurut kajian yang diterbitkan dalam The Journal of the American Medical Association pada tahun 2012, sudah banyak kematian yang direkodkan akibat penyakit kardiovaskular dan kanser angkara pengambilan banyak daging berwarna merah ini.

    Disebabkan itu, The American Institute for Cancer Research telah mengeluarkan sebuah garis panduan agar individu tidak makan lebih daripada 18 auns daging merah dalam masa seminggu bagi mengelakkan perkara ini berlaku dan berulang.

    Bukan itu sahaja, ia juga turut dipercayai boleh buat organ buah pinggang terjejas terutamanya buat mereka yang sudah sedia ada masalah berkaitannya.

    Organ buah pinggang mungkin boleh rosak?

    Kajian terbaharu terbitan Journal of the American Society of Nephrology telah menyebut bahawa ada kesan sampingan jangka masa panjang yang berkaitan dengan pengambilan banyak daging berwarna merah serta kesihatan organ buah pinggang.

    Menurut kajian yang dijalankan oleh Duke-NUS Medical School dan Saw Swee Hock School of Public Health dari National University di Singapura, impaknya terhadap buah pinggang mungkin bukan sekadar sebuah mitos kuno sahaja.

    daging merah

    Pengkaji Woon-Puay Koh bersama pasukannya telah mendapati lebih daripada 63,000 orang dewasa berusia 45-74 mengalami masalah buah pinggang.

    Apa yang mungkin mengejutkan adalah majoriti penderitanya mengamalkan diet yang tinggi protein dan yang paling popular adalah daging khinzir (97%).

    Selain itu, mereka juga turut menamakan ayam, ikan, kerang, telur dan kacang soya sebagai antara sumber protein yang lain (3%) di dalam diet seharian.

    Bagaimana daging merah jejas buah pinggang?

    Menurut kajian itu lagi, pengambilan daging merah yang tidak tepat kualiti serta kuantitinya akan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik (CKD).

    Kebanyakan pesakit pula mungkin akan mengalami penyakit renal tahap akhir (ESRD) yang mungkin memerlukan dialisis atau transplant organ tersebut.

    Daging berwarna merah ini juga dikaitkan dengan peningkatan risiko CKD sekali gus ESRD – mereka yang banyak mengambilnya dipercayai 40% lebih tinggi berisiko.

    “Kajian kami telah menunjukkan bahawa pengambilan daging berwarna merah sebagai sumber protein perlu dikurangkan atau ditukarkan dengan alternatif sumber lain seperti tumbuhan dan lain-lain”, jelas Woon-Puay Koh.

    Persoalannya, adakah kita semua perlu berhenti daripada mengambilnya dan melupakan risiko keadaan kesihatan yang lain pula seperti malnutrisi? Jawapannya, tidak!

    daging merah

    Apa yang kita semua mungkin perlu buat?

    Dalam usaha menjaga kesihatan organ buah pinggang, kita semua mungkin sudah perlu mula untuk merancang perubahan di dalam diet seharian.

    Pertama, pengambilan sumber protein daripada daging berwarna merah wajar untuk diambil tidak lebih dari 18 auns dalam masa seminggu sesuai dengan saranan daripada pakar.

    Bagi mengelakkan malnutrisi, anda juga boleh mencuba untuk menukar sumber protein dengan lebih banyak ambil daging putih dan lain-lain sumber.

    Paling penting, sentiasa berkomunikasi dan berkonsultasi dengan doktor dan pakar diet bagi memastikan kesihatan tubuh badan kekal kuat dan sihat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/02/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan