[health_tool_article id=”32121″]
Perkara kedua, jangan merokok dan elakkan asap sekunder. Jika anda merokok, inilah masanya untuk berhenti. Kesannya terhadap badan dapat dirasai sehari selepas berhenti merokok.
Malah, apabila anda berhenti merokok selama setahun, risiko untuk anda mengalami sakit jantung berkurang sebanyak separuh!
Mencegah sakit jantung pada umur 30 tahun
Ketika umur menginjak 30 tahun, ramai yang sudah mempunyai keluarga sendiri dan mula serius dalam karier masing-masing.
Disebabkan kesibukan ini, ramai yang mula ambil ringan mengenai kesihatan jantung masing-masing.
Pada waktu ini, penting untuk anda ketahui sejarah keluarga anda. Risiko sakit jantung akan meningkat jika anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap sakit jantung.
Pastikan anda kekalkan berat badan yang sihat, bersenam dengan kerap, tidak merokok dan makan dengan sihat.
Jika anda mempunyai ahli keluarga, inilah masanya untuk merapatkan hubungan anda bersama anak-anak.
Lakukan aktiviti seperti memasak bersama mereka dan terangkan kepentingan makan secara sihat. Selain itu, lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet seharian anda.
Mencegah sakit jantung pada umur 40 tahun

Sudah sampai masanya untuk lebih serius dalam mencegah sakit jantung!
Ketika anda berumur 40 tahun, metabolisme badan mula perlahan. Jaga berat badan anda. Elakkan penambahan berat badan dengan makan secara sihat dan bersenam.
Periksa kadar gula dalam darah. Ujian ini dapat menentukan sama ada anda berisiko untuk menghidap diabetes ataupun tidak.
Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, pastikan anda melakukan pemeriksaan dengan lebih kerap.
Mencegah penyakit jantung pada umur 50 tahun
Tidak seperti rambut yang kian memutih dan kulit yang makin berkedut, keadaan jantung kita tidak dapat dilihat secara fizikal.
Pada waktu ini, mudah untuk kita mengabaikan diet masing-masing.
Jangan lupa, walau berapa pun umur anda, makan secara sihat merupakan sesuatu yang wajib dilakukan. Selain itu, pastikan anda lebih peka terhadap tanda-tanda penyakit jantung.
Kekal sihat walau berumur 60 tahun ke atas!

Umur yang semakin lanjut bermaksud risiko sakit jantung yang kian meningkat. 4 daripada 5 individu yang meninggal dunia disebabkan penyakit jantung koronari berumur 65 tahun ke atas.
Pastikan anda perhatikan tekanan darah dan tahap kolesterol anda. Anda masih perlu makan secara sihat dan bersenam untuk mengelakkan serangan jantung.
Apabila anda semakin tua, badan tidak lagi memerlukan kalori sebanyak dahulu. Oleh sebab itu, sebarang penambahan berat badan hanya akan meningkatkan risiko sakit jantung.