Masalah kegagalan jantung adalah keadaan serius yang akan semakin teruk dari masa ke masa. Namun dalam sesetengah kes, ada cara merawat jantung yang boleh dicuba.
Ketika otot jantung terganggu, terdapat beberapa rawatan yang dapat membantu melegakan simptom atau melambatkan kemerosotan keadaan secara beransur-ansur.
Umumnya, matlamat melakukan rawatan terapi jantung ini adalah untuk:
- Meringankan simptom dan meningkatkan kualiti hidup
- Melambatkan perkembangan penyakit secara perlahan
- Mengurangkan keperluan rawatan kecemasan dan kemasukan ke hospital
- Meningkatkan jangka hayat kehidupan lebih lama
Pilihan kaedah rawatan adalah bergantung kepada jenis, penyebab, gejala dan keparahan kegagalan jantung yang dialami.
Biasanya melibatkan lebih daripada 1 terapi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Cara merawat jantung
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada masalah kegagalan jantung ini.
Antara pilihan rawatan adalah seperti pembedahan membuka saluran darah yang tersumbat khususnya bagi pesakit dengan penyakit arteri koronari.
Pilihan lain adalah seperti pengambilan ubatan tertentu untuk mengawal tekanan darah tinggi, diabetes, anemia atau penyakit tiroid.
Di samping itu, sangat penting untuk merawat irama jantung tidak normal – disebut aritmia – pada pesakit dengan masalah kegagalan pada jantung ini.
Perubahan gaya hidup bantu atasi kegagalan jantung
Cara merawat jantung ini bertujuan memperbaiki atau mengawal beberapa faktor penyumbang kepada masalah jantung yang dialami.
Biasanya individu dengan keadaan kegagalan pada jantung ini akan semakin baik jika melakukan perubahan seperti:
- Mendapatkan rehat secukupnya, elakkan tekanan pada jantung
- Mengamalkan diet sihat, rendah natrium dan lemak
- Tidak merokok atau menjadi perokok pasif
- Hindari atau hadkan pengambilan alkohol
- Mengawal berat badan
- Elak atau hadkan pengambilan kafein
- Bersenam secara teratur dan berkala
- Melakukan pemeriksaan doktor secara berkala
Baca juga:
Pengambilan ubatan sebagai cara merawat jantung boleh dicuba
Pesakit dengan keadaan jantung ini akan menerima ubat preskripsi yang biasanya lebih daripada 1 jenis.
Ia berfungsi untuk:
- Melebarkan saluran darah
- Menguatkan tindakan mengepam jantung
- Menyingkirkan air dan natrium dalam badan bagi mengurangkan beban kerja jantung
Antara ubatan tersebut:
- Inhibitor penukar angiotensif (ACE) – Berfungsi melebarkan arteri, meningkatkan aliran darah agar jantung tidak perlu bekerja keras
- Penyekat beta – Menurunkan tekanan darah serta menyekat kesan hormon berbahaya yang meningkatkan risiko penyakit
- Diuretik – Pil air ini membantu ginjal menghasilkan lebih banyak air kencing dan menyingkirkan lebihan cecair – berisiko beri tekanan pada jantung
- Spironolactone – Diuretik yang mengawal kalium dan meningkatkan hayat pada individu dengan kegagalan jantung
- Suplemen kalium dan magnesium – Dipreskripsi dengan diuretik bagi menggantikan mineral yang dikeluarkan dalam air kencing
- Digoxin – Menjadikan degupan jantung lebih kuat dan perlahan, serta mengatur irama denyutannya
- Ubat anti-aritmia – Merawat irama jantung tidak normal
Cara merawat jantung melalui pembedahan
Pilihan rawatan pembedahan, seperti:
1. Coronary artery bypass graft (CABG atau ‘cabbage’)
Cara merawat jantung melalui pembedahan ini bertujuan mencegah dan merawat masalah kegagalan fungsi jantung disebabkan arteri tersumbat – biasanya disebabkan plak.
Dalam pembedahan pintasan, saluran darah diambil daripada bahagian tubuh lain dan digunakan sebagai penghubung pada bahagian terbuka arteri yang tersumbat.
Menerusi angioplasti, tiub fleksibel tipis – kateter – dimasukkan melalui bukaan kecil pada pangkal paha atau leher ke saluran darah.
Kemudian, belon dimasukkan melalui kateter ke tengah saluran darah tersumbat. Apabila belon dikembangkan, plak akan kembali termampat pada dinding arteri.
Peranti logam kecil – stent – dimasukkan menerusi kateter berperanan sebagai penghalang tetap bagi memastikan plak sentiasa termampat.
Dalam jenis pembedahan lain, instrumen diperkenalkan menerusi kateter untuk menghilangkan plak.
2. Implantasi alat pemacu jantung dan alat lain seperti injap jantung buatan
3. Membaiki kecacatan jantung kongenital
Rawatan pembedahan kegagalan jantung merangkumi:
Pemindahan jantung, antara cara merawat jantung
Merupakan rawatan terbaik bagi kegagalan jantung tahap teruk tetapi terhad kerana kekurangan jantung penderma.
Penghasilan jantung buatan antara pilihan yang wujud pada masa hadapan.
Cara merawat jantung dengan peranti bantuan ventrikular kiri (LVAD)
Left Ventricular Assist Device, akan ditanam di dada untuk meningkatkan tindakan mengepam jantung.
Peranti ini digunakan sebagai rawatan utama atau penghubung bagi pemindahan jantung individu dewasa.
Pembentukan semula jantung
Isyarat elektrik untuk jantung berdenyut bergerak dalam corak spiral.
Namun corak paling ideal adalah elips – seperti bola rugbi – memudahkan untuk menerima isyarat elektrik yang mencetuskan degupan jantung.
Dalam masalah kegagalan jantung, organ ini akan membesar dan menjadi sfera – seperti bola keranjang – yang tidak lagi sesuai dengan corak elektrik dan menjadikan jantung kurang efisien.
Terdapat prosedur pembedahan dalam kajian bagi mengatasi masalah ini dengan menyusun semula bahagian jantung untuk menormalkan coraknya.
Prosedur pembinaan semula jantung ini merangkumi:
- Pembaikan dan revaskularisasi injap
- Cardiomyoplasty dinamik
- Prosedur Batista, juga disebut ventrikulektomi kiri separa
- Prosedur Dor, turut dikenali sebagai endoventricular circular patch plasty atau EVCPP
- Prosedur Acorn
Bagi mengetahui cara merawat jantung yang bersesuaian dengan masalah kegagalan jantung anda ini, berbincanglah dengan doktor untuk lebih penjelasan.
[embed-health-tool-heart-rate]