home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Maklumat Aritmia Jantung Yang Anda Wajib Tahu: Jenis, Diagnosis & Rawatan

Apa itu aritmia jantung?|Jenis aritmia jantung|Diagnosis|Rawatan
Maklumat Aritmia Jantung Yang Anda Wajib Tahu: Jenis, Diagnosis & Rawatan

Apa itu aritmia jantung?

Aritmia jantung adalah keadaan kesihatan yang melibatkan degupan jantung tidak normal (atau sekata), sama ada ia berdegup terlalu perlahan atau terlalu laju.

Mereka yang mengalaminya boleh mempunyai degupan jantung laju, berdegup kuat atau melangkau satu degupan.

Bagi sesetengah kes, mereka yang mengalami aritmia boleh mempunyai degupan jantung berinterval normal seperti dalam kes takikardia supraventrikular.

Jika anda pernah merasai penurunan atau kenaikan pada kadar degupan jantung anda, anda mungkin mengalami masalah aritmia jantung.

Aritmia adalah masalah degupan jantung yang berkait dengan perubahan ritma atau kadar degupan jantung.

Ia boleh berlaku akibat pembentukan tisu parut pada organ jantung atau sebarang perubahan patologi yang mempengaruhi impuls elektrik.

Lazimnya, perubahan ini berlaku akibat daripada penyakit sedia ada, kecederaan atau berpunca daripada kecacatan genetik.

Penting untuk anda memahami aritmia jantung bagi memastikan anda sedia maklum akan cara untuk menghindarkannya.

Jenis aritmia jantung

Secara mudahnya terdapat dua jenis aritmia:

  1. Takikardia. Keadaan kesihatan ini merujuk kepada degupan jantung semasa rehat melebihi 100 degupan seminit. Masalah ini terbahagi kepada fibrilasi atrium, fluter atrium, takikardia supraventrikular, sindrom Wolff-Parkinson-White, takikardia ventrikular, fibrilasi ventrikular dan sindrom QT panjang.
  2. Bradikardia. Keadaan kesihatan ini merujuk kepada degupan jantung semasa rehat kurang daripada 60 degupan seminit. Masalah ini terbahagi kepada sindrom sinus sakit dan sekatan konduksi.

Terdapat juga keadaan di mana degupan jantung berlaku lebih awal menyebabkan anda beranggapan bahawa jantung anda berdegup tiga kali (degupan pramatang).

Dalam kebanyakan kes, pesakit hanya mengetahui akan diagnosis jantung mereka setelah diberitahu oleh doktor.

Walaupun anda mungkin tahu akan punca, simptom dan sebagainya yang berkait dengan masalah aritmia jantung, namun anda masih memerlukan golongan perubatan profesional untuk mengesahkan diagnosis dan memulakan rawatan.

Diagnosis

aritmia jantung

Bagaimanakah doktor mendiagnosis aritmia?

Selain daripada sejarah perubatan dan simptom, doktor akan membuat beberapa ujian perubatan bagi mengesahkan diagnosis anda.

Perkara ini penting untuk membezakan masalah kesihatan lain yang turut mempengaruhi ritma jantung.

Antara ujian yang boleh dilakukan adalah:

  1. Elektrokardiogram (ECG). Semasa ujian ECG, elektrod (logam untuk membaca ritma jantung) akan dipasang pada dada anda. Ia akan mengukur kadar dan paten degupan jantung anda seterusnya menentukan sama ada bacaan itu normal ataupun tidak. ECG merupakan satu mesin yang lazim digunakan untuk mengesan aritmia jantung.
  2. Mesin pemantau Holter. Ia adalah mesin ECG mudah alih yang boleh dibawa berjalan ke mana sahaja. Anda akan diarahkan untuk memakai alat ini selama 24 jam bagi merekodkan paten perubahan ritma jantung sepanjang anda menjalankan aktiviti harian.
  3. Implan perakam gelung. Bagi masalah aritmia yang bersifat sporadik (rawak, tidak mempunyai paten yang khusus), doktor akan menyarankan penggunaan implan bagi merakam aktiviti harian pesakit untuk mengesahkan diagnosis aritmia. Peranti ini akan diletakkan di bawah kulit pesakit bagi meningkatkan tahap ketepatan pengumpulan data. Maklumat yang terkumpul akan dihantar secara langsung kepada doktor yang merawat.
  4. Ekokardiogram. Ujian ekokardiogram adalah ujian bukan invasif menggunakan mesin yang berupaya untuk memberikan maklumat berkaitan dengan saiz, bentuk dan prestasi jantung.
  5. Ujian tidur. Terdapat masalah aritmia jantung yang berpunca daripada apnea tidur, keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan anda berhenti tidur.

Ujian lain bagi mengesan aritmia jantung

  1. Ujian tekanan senaman. Ujian ini boleh membantu doktor untuk mengesan aritmia apabila jantung anda dipaksa untuk bekerja kuat dan berdegup dengan laju. Ia boleh dilakukan melalui aktiviti larian di atas treadmill atau penggunaan mesin basikal tidak bergerak bagi memantau aktiviti jantung.
  2. Ujian meja condong (tilt table test). Ini merupakan ujian spesifik yang akan dipreskripsikan oleh doktor kepada pesakit yang mengalami masalah pengsan. Semasa ujian meja condong, pesakit akan diarahkan untuk baring di atas meja yang kemudiannya akan diubah kepada posisi menegak. Kadar degupan jantung, bacaan ECG dan tekanan darah akan dipantau.
  3. Ujian dan pemetaan elektrofisiologikal (EPS). Ujian ini mengesan aktiviti impuls elektrik di dalam jantung anda. Dengan menggunakan wayar, EPS boleh mengenal pasti lokasi aritmia dan mengesan punca ia berlaku. Melalui ujian ini, doktor boleh membuat keputusan berkaitan dengan rawatan yang sesuai bagi masalah aritmia yang dialami oleh pesakit.

Rawatan

degupan jantung

Bagaimana aritmia jantung dirawat?

Bergantung kepada jenis aritmia yang dialami, doktor boleh mempreskripsikan rawatan yang berbeza.

Bagi kebanyakan kes aritmia, pembedahan (melibatkan implan perentak jantung, pacemaker) hanya diperlukan sekiranya keadaan kesihatan tersebut boleh mengancam nyawa pesakit.

Bagi mereka yang mengalami masalah aritmia tahap teruk, pakar perubatan boleh menyarankan penggunaan perentak jantung, implan defibrilator dan penggunaan peranti biventrikular.

Rawatan tersebut juga akan disusuli dengan terapi ubat anti aritmia.

Walau bagaimanapun, anda perlu sedia maklum bahawa perubahan gaya hidup boleh menghalang keadaan kesihatan anda daripada menjadi semakin teruk.

Berikut merupakan rawatan lazim yang sering dipreskripsikan kepada mereka yang menghidap masalah aritmia.

  1. Perubahan gaya hidup ke arah yang lebih sihat.
  2. Terapi ubat anti aritmia.
  3. Implan perentak jantung.
  4. Implan defribilator.
  5. Kardioversi.
  6. Ablasi kateter.
  7. Kateter jantung.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. The autonomic nervous system and cardiac arrhythmias. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1638108/). Diakses pada 11 Disember 2020.
  2. Heart arrhythmia. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-arrhythmia/symptoms-causes/syc-20350668). Diakses pada 11 Disember 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 23/04/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan
x