Apabila usia semakin meningkat, ada kemungkinan fungsi otak kita akan semakin menurun. Ini termasuklah fungsi memori otak kita. Namun, terdapat beberapa cara yang boleh membantu anda untuk meningkatkan memori otak agar lebih bertahan lama. Kami kongsikan di sini beberapa cara yang terbukti dapat meningkatkan daya ingatan manusia.
#1. Cara meningkatkan memori otak: Kurangkan pengambilan gula tambahan
Pengambilan gula yang terlalu banyak seringkali dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan penyakit kronik, termasuklah penurunan fungsi kognitif.
Kajian ada menunjukkan bahawa diet yang mengandungi gula boleh menyebabkan memori anda terjejas dan pengurangan jumlah otak, terutama di kawasan otak yang menyimpan memori jangka pendek.
Sebagai contoh, satu kajian yang dijalankan terhadap lebih daripada 4,000 orang mendapati, mereka yang mengambil tinggi minuman bergula seperti soda mempunyai jumlah keseluruhan otak yang lebih rendah dan kekurangan ingatan berbanding dengan mereka yang kurang minum gula.
#2. Cara meningkatkan memori otak: Ambil suplemen minyak ikan
Minyak ikan kaya dengan kandungan asid eicosapentaenoic (EPA) dan asid docosahexaenoic (DHA).
Jenis lemak ini penting untuk kesihatan keseluruhan dan terbukti dapat menurunkan risiko penyakit jantung, mengurangkan keradangan, menghilangkan tekanan dan kegelisahan, serta memperlahankan penurunan fungsi otak.
Banyak kajian menunjukkan bahawa pengambilan ikan dan suplemen minyak ikan dapat meningkatkan daya ingatan, terutama dalam kalangan warga emas.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 36 orang dewasa yang mempunyai gangguan kognitif ringan mendapati, skor ingatan jangka pendek menjadi bertambah baik setelah mereka mengambil suplemen minyak ikan selama 12 bulan.
DHA dan EPA sangat penting untuk kesihatan dan fungsi otak selain membantu mengurangkan keradangan di dalam badan, yang dikaitkan dengan penurunan fungsi kognitif.
#3. Cara meningkatkan memori otak: Jaga berat badan yang sihat
Mengekalkan berat badan yang sihat adalah mustahak untuk kesejahteraan dan merupakan salah satu kaedah terbaik untuk menjaga kesihatan badan dan minda anda.
Beberapa kajian telah membuktikan bahawa obesiti menjadi salah satu faktor risiko penurunan kognitif.
Obesiti sebenarnya boleh menyebabkan perubahan pada gen yang berkaitan dengan memori di otak, yang mempengaruhi memori secara negatif.
Obesiti juga boleh menyebabkan berlakunya kerintangan insulin dan juga keradangan.
Kedua-dua hal ini boleh memberi kesan negatif kepada otak. Obesiti juga dikaitkan dengan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit Alzheimer, iaitu sejenis penyakit progresif yang merosakkan memori dan fungsi kognitif.
#4. Elak jadi pelupa, dapatkan tidur yang cukup
Kekurangan tidur telah lama dikaitkan dengan ingatan yang lemah. Tidur memainkan peranan penting dalam penyatuan ingatan, proses di mana ingatan jangka pendek diperkuat dan diubah menjadi memori yang bertahan lama.
Penyelidikan menunjukkan bahawa jika anda kurang tidur, ia boleh menjejaskan ingatan anda secara negatif.
Satu kajian mendapati bahawa jururawat yang bekerja pada shift malam membuat lebih banyak kesalahan matematik dan 68% daripadanya mendapat skor yang lebih rendah dalam ujian ingatan.
Hal ini berbeza dengan jururawat yang bekerja pada shift siang yang mencatatkan hasil ujian yang lebih baik.
Pakar kesihatan mengesyorkan individu dewasa untuk tidur antara tujuh hingga sembilan jam setiap malam untuk kesihatan yang optimum.
#5. Cara meningkatkan memori otak: Kurangkan pengambilan karbohidrat mudah
Pengambilan sejumlah besar karbohidrat halus seperti kek, bijirin, biskut, nasi putih dan roti putih mungkin boleh merosakkan ingatan anda.
Makanan seperti ini mempunyai indeks glisemik yang tinggi.
Ini bermaksud tubuh mencerna karbohidrat ini dengan cepat, yang menyebabkan peningkatan kadar gula darah dalam tempoh yang singkat.
Kajian menunjukkan bahawa diet Barat, yang tinggi karbohidrat halus, sering dikaitkan dengan timbulnya demensia dan penurunan fungsi kognitif.
Kajian lain turut menunjukkan bahawa orang dewasa yang mengambil bijirin sarapan setiap hari mempunyai fungsi kognitif yang lebih rendah daripada mereka yang kurang mengambil bijirin.
Kesimpulan
Daya ingatan manusia boleh diperbaiki dan dipertingkatkan melalui beberapa cara yang mudah.
Dengan hanya mengamalkan gaya hidup tertentu dan pengambilan makanan khusus, ia boleh meningkatkan daya ingatan manusia seoptimum yang mungkin.
Kesemua cadangan yang disarankan untuk tingkatkan daya ingatan manusia ini telah terbukti melalui kajian sains.
[embed-health-tool-bmi]