Minyak sayuran merupakan sejenis minyak yang jernih, berwarna kekuning-kuningan dan tidak mempunyai sebarang bau atau rasa. Selalunya, minyak sayur akan digunakan untuk memasak, menggoreng dan membuat kuah salad.
Hampir semua minyak yang berasal daripada tumbuhan, sama ada kekacang, bijirin, atau buah-buahan adalah di bawah kategori minyak sayuran. Tetapi, minyak manakah yang sesuai untuk anda? Ia mungkin bergantung kepada jenis masakan yang anda lakukan.
Setiap minyak mempunyai takat asap (smoke point) yang berbeza. Jika minyak tersebut digunakan melebihi takat asapnya, ia akan terbakar dan menjadi hangit. Malah, kandungan nutrien di dalam minyak tersebut juga akan musnah.
Ada banyak minyak sayuran yang boleh didapati di rak pusat membeli-belah. Namun, pasti ramai yang keliru dan masih tercari-cari minyak manakah yang terbaik untuk penggunaan harian.
Jadi, dalam artikel kali ini, kami akan bincangkan mengenai jenis-jenis minyak sayur serta manfaatnya terhadap kesihatan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
5 jenis minyak sayur yang bermanfaat terhadap kesihatan
Dalam artikel di bawah, kami akan berkongsi informasi mengenai 5 jenis minyak sayuran yang berkhasiat untuk tubuh kita. Antaranya:
1. Minyak zaitun, baik untuk kesihatan jantung
Pakar di seluruh dunia bersetuju bahawa minyak yang paling sihat dan versatil ialah minyak zaitun. Minyak kelapa dara atau extra virgin olive oil juga merupakan antara minyak yang paling sihat, dengan kandungan nutrisi yang terbaik untuk badan.
Namun, minyak ini mempunyai takat asap yang rendah. Jadi, ia tidak sesuai digunakan untuk tujuan menggoreng. Minyak zaitun boleh digunakan untuk menumis sayur di bawah suhu yang rendah.
Minyak zaitun juga mengandungi lemak sihat yang tinggi. Banyak kajian juga telah membuktikan bahawa pengambilan extra virgin olive oil sangat bermanfaat terhadap kesihatan jantung.
2. Minyak avokado, minyak sayur dengan kandungan vitamin E tertinggi
Selain minyak zaitun, minyak avokado juga merupakan pilihan yang bijak bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih sihat. Berbeza dengan minyak zaitun, minyak avokado mempunyai takat asap yang lebih tinggi, menjadikannya lebih sesuai untuk menggoreng.
Malah, ia juga tidak mempunyai rasa tertentu. Jadi, minyak avokado tidak akan mengubah rasa makanan anda. Minyak avokado juga kaya dengan kedua-dua lemak tepu dan lemak tidak tepu. Kadar vitamin E di dalam minyak ini juga adalah antara yang tertinggi.
Walau bagaimanapun, minyak avokado selalunya dijual dengan harga yang lebih mahal di pasaran.
Baca juga:
- Wow! Sebiji Avokado Sehari Dapat Elak Kolesterol Tinggi? Jom Cuba!
- Ada 11 Kebaikan Avokado Untuk Wanita Hamil, Rugi Tak Amalkan!
3. Minyak matahari
Minyak bunga matahari sering dijual sebagai minyak sayuran yang sihat. Ia mengandungi banyak lemak tidak tepu yang sangat bermanfaat untuk kesihatan jantung. Rasanya juga tidak akan menenggelamkan masakan anda.
Bukan itu sahaja, minyak bunga matahari juga kaya dengan vitamin E. Sesudu minyak matahari mengandungi 28% keperluan vitamin E harian yang disyorkan.
Walau bagaimanapun, minyak matahari mengandungi banyak asid lemak omega-6 yang berpotensi menyebabkan keradangan. Oleh sebab itu, jangan ambil terlalu banyak minyak matahari. Ia juga mungkin tidak sesuai dijadikan minyak harian.
4. Minyak kanola, rendah kandungan lemak tepu
Minyak kanola dihasilkan daripada bunga biji sesawi (rapeseed) dan mengandungi banyak lemak mono tidak tepu. Jika dibandingkan dengan minyak sayuran lain, minyak kanola mempunyai kandungan lemak tepu yang paling sedikit.
Takat asapnya juga tinggi. Jadi, minyak kanola boleh digunakan untuk menggoreng. Walau bagaimanapun, minyak ini selalunya diproses secara berlebihan sehingga ia kehilangan nutrisinya.
Sebagai alternatif, anda boleh beli minyak kanola yang tidak diproses atau ‘cold-pressed’, namun ia sukar untuk dijumpai dan mungkin memakan belanja yang banyak.
5. Jangan sangka minyak kelapa tidak sihat!
Berbeza dengan minyak lain, minyak kelapa mempunyai tahap lemak tepu yang sangat tinggi. Oleh sebab itu, ramai yang menyangka minyak kelapa lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan terhadap kasihatan. Namun, pendapat ini mungkin tidak benar sama sekali!
Menurut American Heart Association, lemak tepu dari sumber yang sihat mampu merendahkan kolesterol badan dan meningkatkan profil lemak seseorang. Malah, bukan semua jenis lemak tepu tidak baik untuk kesihatan.
Minyak sayur, apakah cara terbaik untuk menggunakannya?
Kebanyakan minyak sayuran mempunyai takat asap yang tinggi. Oleh sebab itu, ia sangat versatil dan boleh digunakan untuk menumis dan menggoreng tanpa meninggalkan rasa pahit atau ‘terbakar’ pada makanan.
Malah, disebabkan rasanya yang neutral, minyak sayur juga tidak akan menyebabkan makanan anda berubah rasa atau bau, terutamanya ketika anda menggunakannya untuk membuat sos salad, mayones atau sebagai minyak untuk membakar kek dan muffin.
Kebanyakan minyak sayuran kaya dengan pelbagai jenis nutrien. Namun, sebelum menggunakan sebarang minyak sayur, pastikan anda selidik dahulu cara untuk menggunakannya dengan betul!
[embed-health-tool-bmr]