backup og meta

Tak Suka Minum Air Panas? 8 Manfaat Ini Mungkin Akan Ubah Selera Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/03/2023

    Tak Suka Minum Air Panas? 8 Manfaat Ini Mungkin Akan Ubah Selera Anda!

    Ketika makan di restoran atau mungkin di rumah, pastinya minuman sejuk akan menjadi pilihan utama kebanyakan individu berbanding air panas bukan? Ini kerana mereka belum tahu kebaikan air suam atau air panas!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Kenapa suhu air penting untuk tubuh badan?

    Untuk pengetahuan anda semua, memulakan hari dengan meminum air dengan suhu yang betul tentu sahaja dapat membantu tubuh badan melancarkan sistem pencernaan dan penghadaman sekali gus menjamin kesihatan.1

    Majoriti masyarakat kita mungkin lebih gemar minum air sejuk ekoran faktor cuaca atau iklim di negara kita terutama ketika musim panas. Namun, pilihan untuk minuman sejuk ini wajar dipertimbangkan semula.

    Sebaiknya, kita perlu cenderung memilih untuk minum air hangat. Ia bukan bermaksud individu perlu minum air yang mendidih, tetapi mungkin minuman itu harus berada di dalam lingkungan suhu 48°C hingga 60°C sahaja.2

    Apabila suhu air itu lebih tinggi daripada suhu yang disarankan, ada risiko untuk ia mengakibatkan kecederaan seperti luka terbakar di sekitar mulut.2 Jadi, ada apa lagi kebaikan air suam atau minuman panas yang lain?

    Ini kebaikan air suam dan minuman panas untuk anda!

    Kalau anda masih gemar minuman sejuk, kebaikan air suam atau panas yang akan disenaraikan di bawah ini mungkin mampu mengubah selera anda menjadi seorang penggemar minuman hangat pula. Jom kita lihat satu persatu:

    kebaikan air suam

    #1. Meredakan hidung yang tersumbat

    Kebaikan minum air panas yang pertama adalah air hangat turut hadir bersama dengan wap. Apabila kita bernafas untuk menghirup air, wap tersebut akan masuk ke dalam hidung lantas mampu membantu melegakan hidung tersumbat serta mengurangkan sakit kepala akibat selesema.1

    #2. Merangsang sistem penghadaman

    Minum air suam atau panas ketika makan dapat membantu merangsang pencernaan dan penghadaman. Ini kerana perut anda tidak lagi memerlukan penggunaan tenaga yang banyak bagi memecahkan makanan yang masuk.3

    Dalam pada itu, minuman hangat akan menjadikan makanan amat mudah untuk dicerna dan dihadam bagi melalui usus dengan lebih lancar. Kesan sebaliknya pula berlaku jika anda ambil minuman sejuk.

    #3. Memperbaiki sistem peredaran darah

    Minum segelas air hangat juga membantu melancarkan sistem peredaran darah! Nak tahu bagaimana? Suhu air suam membantu mengembangkan saluran darah, ini membolehkan darah mengalir lebih lancar ke seluruh organ dan otot anda. Minuman panas juga merangsang otot anda untuk lebih relaks.4

    kebaikan air suam

    Kebaikan air suam #4. Menurunkan berat badan

    Air hangat mungkin tidak akan membuatkan anda kehilangan berat badan tetapi boleh membantu proses penurunan berat badan. Ia mampu melancarkan sistem metabolisme sekali gus memberi tubuh badan anda keupayaan membakar kalori dengan lebih banyak sepanjang hari.5

    Kebaikan air suam #5. Melegakan masalah sembelit

    Air hangat juga dapat membantu usus anda untuk berfungsi dengan lebih baik. Sisa tinja dan najis lama yang terperap dalam usus lebih mudah dikeluarkan daripada tubuh badan. Maka, idea minum air suam atau panas ketika sedang sembelit merupakan inisiatif rawatan yang sangat baik.5

    #6. Mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan

    Anda pasti pernah terdengar atau terbaca tentang tip penggunaan pad panas di atas perut ketika wanita mengalami masalah kekejangan tatkala haid?6 Ya, petua orang lama ini juga bukan sekadar omong kosong.

    Antara lain kebaikan air suam atau panas ini adalah ia dapat membantu melegakan otot dan tisu yang tegang. Dengan penggunaannya di bahagian badan yang agak sakit dan tidak selesa, masalah kesakitan dapat dikurangkan.

    #7. Melambatkan lagi proses penuaan

    Percaya atau tidak, kebaikan minum air panas juga mungkin akan dapat membantu melambatkan lagi proses penuaan secara semula jadi, justeru menjadi salah satu daripada rahsia antipenuaan yang paling bagus

    Apabila tubuh badan anda menjalankan fungsi menyahtoksik lebih baik disebabkan minum air suam atau panas ini, sel pula akan memperbaiki kulit dengan lebih cepat sekali gus menjadikan kulit anda awet muda.5

    Kebaikan air suam #8. Detoks

    Oh, tidak lupa juga air hangat boleh membantu membuang toksin melalui proses pengeluaran air kencing dan peluh!

    Hal ini disebabkan oleh suhu badan anda yang sudah tentu bakal meningkat apabila anda minum air suam atau panas, sekali gus menambahkan lagi kuantiti pengeluaran air kencing serta peluh secara semula jadi.5

    kebaikan air suam

    Bila pula waktu sesuai minum air suam ini?

    Namun, bila pula waktu sesuai minum air suam? Adakah pada setiap hari atau pada masa yang spesifik sahaja? Untuk pengetahuan anda semua, pakar menyarankan untuk anda minum minuman hangat sekitar 40 minit selepas makan.3

    “Pengambilan air hangat setengah jam atau lebih selepas makan akan dapat membuatkan lemak di dalam saluran usus itu mengecut sekali gus mengalir dengan lebih mudah ketika proses membuang air besar,” jelas Pakar Perunding Kardiologi, Dr Anuj Shrivastav.

    Dalam pada itu, kajian pada tahun 2019 juga telah membuktikan bahawa kebaikan minum air panas setiap kali selepas makan akan mampu untuk meningkatkan aktiviti sistem saraf pusat serta mood seseorang.4

    Sekiranya anda tidak sempat untuk menjerang atau memasak air, usah risau kerana kini sudah banyak produk mesin penapis air yang anda boleh gunakan di mana ia mungkin lebih berkualiti dan berkesan buat kesihatan.

    Adakah penapis air itu produk yang bagus?

    Dalam era moden dan teknologi sekarang, kebanyakan perkara dan usaha hanya perlu di hujung jari. Dengan adanya penapis air yang dipasang di singki dan pili rumah, anda sudah tidak perlu tunggu untuk cerek berbunyi.

    Apa yang lebih menarik adalah jika produk tersebut mampu membersihkan air daripada tangki dengan baik dan mengekalkan jumlah ion, alkali dan asid yang optimum, yang penting bagi tahap kesihatan diri yang maksimum.7

    Tidak perlu fikir panjang lagi, kini sudah ada produk yang mampu menjamin air bersih dan sihat buat anda sekeluarga, makin mudah untuk minum air panas!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 07/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan