Apa itu BMI?
Buat anda yang mungkin belum tahu mengenai prinsip ini, ia adalah satu kaedah ukuran berat badan individu yang dibandingkan dengan ketinggiannya.
Semakin tinggi skor BMI anda, maka semakin tinggi juga jumlah lemak badan anda!
Rujuk senarai di bawah ini.
- Kurang berat badan: Bawah daripada nilai 18.5
- Sihat: Nilai antara 18.5 hingga 24.9
- Lebih berat badan: Nilai antara 25 hingga 29.9
- Obesiti: Nilai 30 dan ke atas
Dalam erti kata lebih mudah, mereka yang mempunyai nilai skor 25 ke atas sudah boleh dianggap mengalami masalah kegemukan.

Apa punca gemuk?
Ya, tentu sekali kegemukan adalah berpunca daripada pemakanan individu yang tidak teratur dan tidak seimbang.
Sekiranya anda mengambil makanan dan minuman yang tinggi kadar lemak dan gula namun ia tidak dibakar dalam tubuh badan, maka kalian berisiko tinggi untuk menjadi gemuk.
Ini disebabkan oleh bekalan tenaga yang diterima melalui pengambilan diet tidak dibakar dengan melakukan aktiviti fizikal atau senaman secara berkala.
Konklusinya, punca gemuk adalah terlalu banyak mengambil sajian namun terlalu malas membuat senaman!
Benarkah wanita gemuk lebih ramai berbanding lelaki?
Baiklah, sekarang kita berbalik pula kepada persoalan utama artikel ini iaitu benarkah wanita gemuk lebih ramai berbanding lelaki?
Jawapannya adalah subjektif kerana kita tidak boleh mengandaikan bahawa kesemua wanita adalah lebih gemuk berbanding lelaki!
Namun ia mungkin ada kaitan dengan kajian yang menyatakan ia mungkin merupakan salah satu daripada faktor risiko kegemukan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh University of New South Wales (UNSW), wanita mungkin lebih mudah gemuk berbanding lelaki.

Ini disebabkan oleh hormon oestrogen yang terdapat di dalam tubuh badan wanita dan tidak terdapat dalam tubuh badan lelaki.
Untuk pengetahuan anda, hormon ini akan mengurangkan kebolehan mereka untuk membakar tenaga selepas makan sekali gus mengakibatkan lemak akan terkumpul dalam tubuh badan.
Kajian itu menyatakan bahawa wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki untuk mudah gemuk sebanyak 6 ke 11 peratus!
Namun ia bukanlah satu kemestian yang pasti kerana tidak semua wanita tergolong dalam kategori obesiti disebabkan faktor ini ya?
Bagaimana cara mengatasi kegemukan?
Jangan cepat berputus asa jika berat badan kalian tidak menepati piawaian BMI ya? Ini cara yang wanita gemuk atau lelaki boleh cuba buat:
#1. Bersenam dengan kerap
Individu yang mengalami masalah kegemukan memerlukan senaman yang mempunyai intensiti sederhana selama 150 hingga 300 minit seminggu untuk mengelakkan peningkatan berat badan.
Sebagai contoh, anda boleh lakukan senaman seperti berjoging dan juga berenang.

#2. Amalkan menu sihat
Elakkan mengambil terlalu banyak makanan berlemak dan bergula ya?
Sebaliknya, pilih makanan yang rendah kalori dan kaya dengan nutrien seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.
#3. Pantau berat badan anda
Individu yang menimbang berat badan sekurang-kurangnya seminggu sekali adalah lebih berjaya untuk kekal ramping dan sihat.
Aktiviti menimbang berat badan dapat memberikan anda info sama ada pelan diet anda berkesan ataupun tidak.
#4. Usah sekejap buat, sekejap tidak!
Konsisten itu kunci kepada perubahan! Jadi, sila pastikan anda ikut pelan diet dan senaman anda okay?
Jika anda sering curi tulang, anda tidak akan mengalami apa-apa perubahan dari segi berat badan walaupun anda melakukan kesemua tip yang kami berikan di atas ini.
Jadi, selamat mencuba!