Anda sudah tidak tahan diejek buncit, boroi dan sebagainya angkara perut anda yang berlemak lagi berlapis? Sebab itulah anda kena tahu cara hilangkan lemak perut!
Apa yang mungkin membuat anda berputus asa adalah pelbagai cara telah dicuba namun tiada satupun yang membuahkan hasil. Adakah cara yang dicuba selama ini salah?
Tenang, ayuh bersama teruskan membaca artikel ini untuk tahu cara kurangkan lemak perut.
Kenapa wujudnya lemak pada perut?
Untuk pengetahuan anda, lemak pada perut itu akan wujud angkara lemak visceral – sejenis lemak degil yang meliputi dan mengelilingi organ di sekitar kawasan abdomen.
Sebenarnya, terdapat 3 punca utama lemak visceral ini berkumpul pada perut anda termasuklah:
- Diet yang tidak sihat
- Tidur yang tidak cukup
- Kurang buat aktiviti fizikal
Dalam pada itu, stres juga mungkin boleh menjadi dalangnya kerana apabila kita sedang berada dalam tekanan, maka wujud juga risiko untuk kita makan lebih banyak.
Menurut Dr. W. Scott Butsch dari Cleveland Clinic, lemak pada perut mungkin akan mempengaruhi kaum lelaki dan perempuan dengan cara yang sedikit berbeza.
Golongan lelaki lebih berisiko untuk mengalami masalah lemak perut namun wanita pula akan meningkat risikonya apabila mereka sudah memasuki usia menopaus.
Apa cara hilangkan lemak perut?
Ramai individu yang mungkin menyangka dengan ikat perut dan berlapar sepanjang hari mampu membuat lemak perut berkurang padahal anda hanya menyiksa diri!
Ini kerana terdapat beberapa lagi cara hilangkan lemak perut yang ternyata lebih mudah, berkesan dan terbukti melalui kajian saintifik. Apakah antara cara tersebut?
#1. Elak makanan berlemak
Sudah terang lagi bersuluh, lemak merupakan punca yang paling utama wujudnya lemak pada perut dan ia wajar dielakkan sebagai cara kurangkan lemak perut anda.
Lemak khususnya jenis trans biasanya terkandung di dalam makanan diproses, makanan digoreng serta makanan segera yang ternyata tidak bagus untuk kesihatan anda.
Kajian selama 6 tahun mendapati mereka yang ambil banyak makanan tinggi lemak trans akan meningkat lemak perut sebanyak 33% dan ia memang tidak wajar diteruskan.
#2. Ambil makanan berserat
Bagi mengelak lemak berkumpul pada perut, ia perlu dibuang oleh sistem penghadaman dan makanan berserat sudah pasti akan membantu proses ini berjalan.
Antara sumber serat yang boleh kalian ambil adalah daripada variasi buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijirin dan lain-lain – dapatkan nasihat doktor tentangnya.
Kajian terhadap lebih 1,000 orang dewasa mendapati bahawa setiap 10 gram pengambilan serat mampu menurunkan 3.7% kadar lemak badan dalam masa 5 tahun.
Cara hilangkan lemak perut #3. Tidur dengan cukup
Ada satu mitos mengatakan, terlalu banyak tidur terutamanya selepas makan akan membuat perut menjadi buncit. Ya, ia mungkin benar namun anda masih perlu tidur.
Ini kerana tidur adalah penting bagi tahap kesihatan termasuklah berat badan anda. Dipercayai bahawa kita semua perlu tidur sekurang-kurangnya 7 jam sehari.
Kajian mendapati bahawa kondisi gangguan tidur apnea di mana nafas terhenti seketika semasa sedang tidur, akan meningkatkan risiko lemak visceral terkumpul.
Kajian selama 16 tahun melibatkan 68,000 individu pula mendapati bahawa mereka yang tidur kurang daripada 5 jam sehari lebih cenderung untuk naik berat badan.
#4. Jangan ambil alkohol!
Alkohol memang tidak bagus untuk kesihatan fizikal dan mental anda terutamanya jika ia diambil dalam kuantiti yang terlalu banyak dan boleh buat perut boroi.
Kajian menunjukkan bahawa mereka yang minum lebih daripada 1 cawan alkohol sehari cenderung mempunyai lemak perut yang banyak berbanding yang tidak minum.
Kajian lain pula mempercayai bahawa ia juga akan meningkatkan risiko obesiti secara umumnya. Adakah anda mahu risiko ini berlaku pada anda hanya kerana tabiat?
#5. Kawal stres anda!
Percaya atau tidak, stres boleh membuat lemak pada perut bertambah gara-gara kelenjar adrenal yang menghasilkan kortisol (hormon stres) menjadi lebih banyak.
Kajian menunjukkan bahawa kadar kortisol yang terlalu tinggi akan meningkatkan selera makan serta mendorong penyimpanan lemak berlebihan pada abdomen.
Sebagai cara hilangkan lemak perut, sila belajar cara untuk kawal stres. Aktiviti seperti yoga dan meditasi juga sudah tentu akan membuat anda lebih tenang bukan?
Cara hilangkan lemak perut #6. Bersenam
Tiada langkah lebih penting sebagai cara hilangkan lemak perut selain daripada bersenam. Dengan bersenam anda mampu mengurangkan berat badan berlebihan.
Selain itu, kajian mengatakan bahawa senaman aerobik adalah jenis senaman terbaik untuk membakar kalori dan menambah tahap kesihatan secara umumnya.
Oleh itu, bersenamlah dan lebih aktif dalam kehidupan agar masalah perut buncit atau boroi ini boleh hilang dan tidak lagi menimpa diri anda ya!
[embed-health-tool-bmi]