backup og meta

Ini 5 Sebab Kenapa Tidur Sangat Penting Jika Anda Nak Cepat Turunkan Berat Badan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/12/2021

    Ini 5 Sebab Kenapa Tidur Sangat Penting Jika Anda Nak Cepat Turunkan Berat Badan!

    Pemakanan yang sihat dan aktiviti senaman menjadi antara cara turun berat badan paling berkesan. Selain itu, kualiti tidur juga menjadi antara kaedah terpenting untuk anda turunkan berat badan dengan cepat.

    Bagaimanakah tidur boleh mempengaruhi berat badan anda? Ini kupasannya. 

    Kualiti tidur juga perkara terpenting untuk turunkan berat badan

    Sekiranya anda berusaha untuk turunkan berat badan, jumlah tidur yang anda dapatkan setiap hari juga sama pentingnya dengan diet dan senaman anda.

    Namun, tidak ramai daripada kita yang benar-benar mendapat waktu tidur yang mencukupi.

    Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, kira-kira 30% daripada individu dewasa tidur kurang daripada enam jam setiap malam.

    Menariknya, ramai yang tidak menyedari bahawa kualiti tidur juga memainkan peranan yang penting dalam proses turunkan berat badan.

    5 sebab mengapa tidur penting jika anda mahu turunkan berat badan

    Berikut ialah lima sebab mengapa tidur yang berkualiti dapat membantu menurunkan berat badan.

    Cara turun berat badan 1: Tidur yang tidak berkualiti boleh meningkatkan selera makan

    cara turun berat badan

    Banyak kajian menunjukkan bahawa individu yang kurang tidur melaporkan peningkatan selera makan.

    Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh kesan tidur terhadap dua hormon lapar yang penting, iaitu ghrelin dan juga leptin.

    Untuk pengetahuan anda, ghrelin ialah hormon yang dikeluarkan pada perut yang memberikan isyarat rasa lapar pada otak.

    Hormon ini berada pada tahap yang tinggi sebelum anda makan, iaitu ketika perut kosong. Ia akan kembali rendah setelah anda selesai makan.

    Leptin pula ialah hormon yang dilepaskan daripada sel-sel lemak.

    Ia menekan atau menyekat rasa lapar dan menghantar isyarat kenyang kepada otak.

    Apabila anda tidak mendapat tidur yang mencukupi, tubuh badan akan menghasilkan lebih banyak ghrelin dan sedikit leptin.

    Ini akan menjadikan anda lapar dan kemudiannya meningkatkan selera makan anda.

    Cara turun berat badan 2: Tidur yang buruk merupakan faktor risiko utama bagi obesiti

    Kualiti tidur yang buruk sememangnya dikaitkan dengan indeks jisim badan (BMI) yang lebih tinggi dan juga kenaikan berat badan.

    Keperluan tidur setiap individu sememangnya berbeza-beza.

    Namun, kajian mendapati bahawa terdapat perubahan berat badan apabila seseorang itu hanya tidur kurang daripada tujuh jam setiap malam.

    Selain itu, tinjauan utama juga mendapati bahawa tempoh tidur yang pendek akan meningkatkan risiko obesiti sebanyak 89% bagi kanak-kanak dan 55% bagi individu dewasa.

    Ini jelas membuktikan bahawa tidur yang buruk boleh menyebabkan kenaikan berat badan, yang mengakibatkan kualiti tidur menurun dengan lebih buruk. 

    Cara turun berat badan 3: Tidur tidak berkualiti boleh tingkatkan kalori harian

    Percaya atau tidak, individu yang kurang tidur juga lebih cenderung untuk mengambil lebih banyak kalori.

    Kajian yang dijalankan terhadap 12 orang lelaki mendapati bahawa, ketika mereka hanya dibenarkan tidur selama empat jam, secara puratanya mereka mengambil 559 kalori yang lebih banyak pada hari berikutnya.

    Jumlah ini ternyata lebih banyak berbanding ketika mereka dibenarkan untuk tidur selama lapan jam.

    Pertambahan kalori ini mungkin disebabkan oleh peningkatan selera makan dan pilihan makanan yang buruk seperti snek yang tinggi kalori dan tidak bernutrisi.

    Selain itu, beberapa kajian juga mendapati bahawa, sebahagian besar kalori yang berlebihan ini diambil dalam bentuk makanan ringan selepas makan malam.

    Cara turunkan berat badan 4: Tidur boleh meningkatkan tahap aktiviti fizikal anda

    cara turun berat badan

    Tidur yang tidak mencukupi juga boleh menyebabkan keletihan pada waktu siang, lalu menjadikan anda kurang berkeinginan dan kurang bermotivasi untuk bersenam.

    Di samping itu, anda juga mungkin akan cepat berasa letih semasa melakukan aktiviti fizikal.

    Kajian yang dilakukan terhadap 15 orang lelaki mendapati bahawa, apabila mereka kurang tidur, jumlah dan intensiti aktiviti fizikal mereka juga semakin menurun.

    Oleh itu, anda perlu menjaga waktu tidur anda setiap hari. Ini kerana tidur yang berkualiti dan mencukupi dapat membantu meningkatkan prestasi atletik anda.

    Dalam satu kajian, pemain bola keranjang telah diminta untuk tidur selama 10 jam setiap malam selama lima hingga tujuh minggu.

    Hasilnya, mereka menjadi lebih pantas, masa reaksi mereka bertambah baik, ketepatan mereka meningkat dan tahap keletihan mereka juga menurun.

    Cara turun berat badan 5: Tidur membantu anda membuat pilihan makanan yang lebih sihat

    Tidur yang tidak mencukupi juga sebenarnya boleh mengubah cara otak anda berfungsi.

    Ini mungkin menjadikan otak lebih sukar untuk membuat pilihan yang sihat dan sukar untuk menolak makanan yang kelihatan enak.

    Kekurangan tidur sebenarnya akan mewujudkan aktiviti yang bosan pada lobus frontal otak.

    Untuk makluman, lobus frontal otak berfungsi untuk membuat keputusan dan mengawal diri.

    Selain itu, pusat ganjaran otak juga akan lebih banyak terangsang dengan ganjaran berbentuk makanan jika anda mengalami kekurangan tidur.

    Kesimpulan 

    Cara turun berat badan tidak hanya terhad kepada jenis diet dan aktiviti senaman.

    Malah kualiti tidur juga boleh memberikan kesan yang besar terhadap penurunan berat badan anda.

    Jangan abaikan waktu dan kualiti tidur anda jika anda mahu turunkan berat badan dengan berkesan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan