Pasti akan muncul keraguan pada penghidap penyakit asma yang ada niat untuk mengurangkan berat badan berlebihan.
Boleh ke bersenam? Apa kaitan berat badan dengan tahap kawalan asma? Bagaimana ingin turunkan berat badan apabila ada asma?
Jangan biarkan konflik ini menjadi penghalang niat murni anda. Semua soalan anda akan terjawab selepas baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Pernafasan, sila dapatkannya di sini.
Serba sedikit tentang penyakit asma
Asma atau lelah adalah penyakit kronik paru-paru yang mengakibatkan hipersensitiviti salur pernafasan, di mana saluran ini akan menjadi sempit.
Selain itu, penghasilan mukus atau lendir yang banyak akan menyebabkan salur udara tersekat.
Ketiga-tiga kejadian ini yang menyumbang kepada masalah sukar bernafas dalam kalangan pesakit asma.
Faktor yang boleh menyebabkan serangan asma adalah seperti debu, asap, alergen, jangkitan, cuaca sejuk, bulu binatang, debunga dan lain-lain.
Antara gejala serangan asma adalah susah bernafas, nafas berdehit (wheezing), dada ketat dan batuk.
Statistik menunjukkan hampir 1/4 kanak-kanak dan 15% orang dewasa menghidap penyakit asma di Malaysia. Hanya 40% daripada golongan dewasa yang mempunyai asma terkawal.
Berat badan berlebihan sebagai faktor risiko penyakit asma
Mereka yang obes atau mempunyai berat badan berlebihan, dikatakan lebih berisiko mendapat penyakit asma.
Secara logiknya, lemak yang terkumpul dan badan yang berat akan menyukarkan proses pernafasan dengan mengurangkan keupayaan paru-paru untuk berkembang sepenuhnya ketika menarik nafas.
Selain itu, obesiti juga berkait rapat dengan penyakit GERD (Gastroesophageal Reflux disease), diabetes dan darah tinggi yang juga boleh memberi komplikasi kepada pesakit asma.
Kajian juga menunjukkan penyakit asma adalah bergantung kepada faktor berat badan.
Dikatakan, setiap 5 kg turun berat badan akan memberi impak besar bagi mengurangkan gejala asma, seterusnya memberi kawalan penyakit lelah yang lebih baik.
Tambahan pula, mengurangkan berat badan berlebihan dapat membantu pesakit asma untuk melakukan aktiviti luar rumah atau bersenam dengan lebih mudah. Tentulah badan yang ringan lebih mudah untuk bergerak, bukan?
Sudah terbukti pesakit asma yang aktif dan melakukan aktiviti senaman yang kerap akan kurang mendapat serangan asma jika senaman dilakukan dengan betul. Ia juga memberi kawalan asma yang lebih baik.
5 kebaikan mengurangkan berat badan berlebihan bagi pesakit asma
#1 Gejala asma akan berkurangan
Dengan melakukan senaman, anda akan dapat merasakan perbezaan pada kondisi lelah anda.
Pesakit ‘semput’ akan kurang mengalami atau tiada lagi batuk waktu malam, kurang rasa sesak nafas apabila membuat aktiviti, dan tiada lagi selalu bersin apabila musim hujan.
#2 Kawalan serangan asma akan lebih baik
Doktor juga akan mendapati kawalan penyakit asma anda semakin baik. Mereka mungkin akan menasihatkan untuk mengurangkan ubat dan temujanji rawatan susulan yang lebih dijarakkan jika ini berlaku.
#3 Kurang risiko komplikasi penyakit asma
Penyakit lain yang berisiko bagi berat badan berlebihan adalah seperti diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur. Bagi pesakit asma, semua komplikasi ini adalah risiko berganda.
#4 Kualiti hidup yang lebih baik
Sudah tentunya anda akan kurang mengambil cuti sakit dan bos tempat kerja anda akan tersenyum lebar!
Anda juga boleh melakukan aktiviti kesukaan anda tanpa perlu memikirkan kesan buruk jika mendapat serangan asma.
#5 Penjimatan kos rawatan klinik dan hospital
Dalam musim kegawatan ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini, ramai yang terjejas secara kewangan.
Maka, jika dengan mengurangkan berat badan secara percuma boleh membuat anda berjimat, kenapa tidak?
Bagaimana nak mengurangkan berat badan berlebihan bagi penghidap asma?
Mulakan dengan pemakanan yang sihat dan seimbang. Ini termasuk memperbanyakkan sayuran dan buahan dalam menu anda. Kurangkan makanan yang bergula dan berlemak.
Senaman juga boleh membantu menurunkan berat badan tapi perlu dilakukan dengan cara yang betul. Pastikan anda mengamalkan aktiviti senaman seperti yang disarankan oleh doktor.
Tip mengurangkan berat badan berlebihan
#1 Mula menulis senarai kenapa anda nak turun berat badan
- Jadikan ini sebagai motivasi anda. Tulis dengan terang dan letak di tempat yang senang dilihat
- Contoh: “Saya nak pergi melancong dan melakukan aktiviti baru” atau “Saya tak nak rasa susah bernafas apabila bermain dengan anak saya”
#2 Sentiasa pastikan pemakanan sihat dan seimbang
- Amalkan makanan suku suku separuh
- Elakkan makanan penyebab asma atau jika anda tahu mempunyai alahan kepada makanan itu
- Tabiat pemakanan yang sihat menjadi asas kepada makanan untuk kurangkan berat badan
#3 Cari pelan mengurangkan berat badan berlebihan yang sesuai dengan anda
- Pelbagai saranan dan cara menurunkan berat badan ada di luar sana. Anda hanya perlu membuat penyelidikan dengan membaca dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman
- Dapatkan juga nasihat pakar seperti pakar pemakanan dan doktor anda
- Pilih senaman yang rendah impak untuk kurang risiko serangan asma seperti yoga, aerobik, brisk walking
#4 Berjumpa dan berbincang dengan doktor atau jururawat klinik asma
Golongan ini lebih arif dan tahu tentang kumpulan sokongan atau agensi yang dapat membantu niat anda ini.
Mereka juga boleh memberi konsultasi tentang cara mengurangkan berat badan berlebihan yang sihat dan cara senaman yang selamat.
Jadi, anda boleh setkan berat badan sasaran dan jadikan ia sebahagian Pelan Tindakan kawalan asma anda. Semoga berjaya!
[embed-health-tool-bmi]