backup og meta

Nampak Berkhasiat Tapi Rupanya Jus Buah-Buahan Ada Banyak Risiko Buruk Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 09/01/2023

    Nampak Berkhasiat Tapi Rupanya Jus Buah-Buahan Ada Banyak Risiko Buruk Ini

    Sudah menjadi norma masyarakat kini yang beranggapan bahawa jus buah adalah bagus untuk kesihatan tubuh badan secara keseluruhannya. Ini kerana mereka percaya bahawa ia mempunyai khasiat dan nutrien yang sama seperti buah-buahan asli.

    Kenyataan ini sebenarnya tidak tepat kerana kebanyakan jus ini tidak memiliki sepenuhnya khasiat dan nutrien seperti mana yang terdapat di dalam buah-buahan asli.

    Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa minda dan tubuh badan memerlukan diet sihat dengan pengambilan sayur dan buah yang mencukupi. Oleh sebab sesetengah individu tidak suka rasa sayur-sayuran, mereka beralih kepada buah-buahan atau jus.

    Ia sangat tinggi dengan khasiat probiotik, enzim, dan nutrien yang boleh terus dihadam oleh sistem pencernaan. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga keburukan jika diambil secara berlebihan. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Adakah jus buah mempunyai risiko?

    Hakikatnya, jus sebenarnya tergolong di dalam kategori makanan yang tidak sihat sama seperti makanan ringan dan makanan segera.

    Pandangan ini disokong oleh pakar nutrisi Amerika, Alexandra Prabaharan yang mengeluarkan kenyataan mengatakan perahan buahan- asli dengan jus yang dijadikan minuman adalah dua minuman yang sangat berbeza. 

    Berikut merupakan risiko jus buah-buahan terhadap kesihatan:

    #1. Tidak mempunyai nutrien yang mencukupi

    Jus mengandungi vitamin, mineral dan antioksidan yang mencukupi namun kekurangan serat yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita. Sebagai contoh, jus oren mempunyai vitamin C, vitamin B1, vitamin B9, potasium, dan antioksida yang mampu melancarkan antioksidan dalam darah. 

    Pun begitu, jus oren turut mengandungi kandungan gula dan kalori yang tinggi jika hendak dibandingkan dengan makanan atau minuman yang lain seperti sayur-sayuran segar ataupun daging.

    Ini menunjukkan bahawa pengambilan jus buah-buahan tidak mempunyai kandungan nutrien yang cukup berbanding makanan dan minuman yang lain.

    #2. Kandungan gula dan kalori yang tinggi

    Menurut kajian, kanak-kanak yang mengalami obesiti minum 65 peratus lebih banyak jus berbanding kanak-kanak dengan berat badan biasa. Malah, minuman soda kadangkala mempunyai kurang gula berbanding jus dalam kotak.

    Sebagai contoh, jus dalam kotak didapati mengandungi 50 peratus lebih banyak gula daripada sejenis minuman berkarbonat. Secara purata pula, terdapat kira-kira 140 kalori dalam jus 8 auns sementara sebiji buah asli pula hanya mempunyai kira-kira 60 kalori.

    Jus sebenarnya memiliki kandungan gula dan kalori yang sangat tinggi. Untuk pengetahuan anda, air buah-buahan sebenarnya mengandungi kandungan gula dan kalori yang sama dengan minuman berkarbonat bahkan lebih lagi.

    #3. Jus buah kurang serat

    Proses pengekstrakan jus membuatkan serat buah-buahan menjadi sisa. Apabila anda memerah jus buah-buahan, nutrien dan air juga turut diekstrak dari pulpa berserat, yang sering dilupuskan.

    Tanpa serat, anda mungkin mengalami masalah pencernaan. Serat juga membantu mengurangkan nafsu dan selera makan, kerana ia membuatkan anda berasa cepat kenyang.

    Jika tidak, anda akan memerlukan pengambilan banyak jus untuk memuaskan nafsu dan selera anda.

    #4. Obesiti dan pelbagai penyakit lain

    Pengambilan jus secara berlebihan akan menyebabkan obesiti. Ini disebabkan oleh jus yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Kajian menunjukkan 12 auns atau 350 ml pengambilan jus ini mengandungi gula yang tinggi. Kandungan gula ini dianggarkan sebanyak 10 sudu kecil, bersamaan dengan kiraan kandungan gula di dalam air berkarbonat.

    Jus juga mengandungi fruktosa yang hanya boleh dileraikan oleh organ hati. Namun jika amaun fruktosa ini berlebihan, hati tidak akan mampu untuk meleraikan dan fruktosa yang terkumpul ini akan menjadi lemak. Ini akan menyebabkan terjadinya obesiti.

    Selain obesiti, pengambilan jus yang berlebihan juga akan mendatangkan pelbagai penyakit lain antaranya diabetes. Tuntasnya, pengambilan jus secara berlebihan hanya akan mendatangkan kesan yang negatif.

    Oleh itu, pengambilan jus ini perlulah dikawal agar tidak timbul masalah kesihatan yang tidak diingini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 09/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan