Siklamat atau dalam bahasa Inggerisnya cyclamate, merupakan sejenis bahan pemanis tiruan yang mempunyai tahap kemanisan antara 30 hingga 50 kali ganda berbanding gula biasa.
Ia mula ditemukan pada tahun 1937 dan banyak digunakan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan atau mengawal kencing manis. Ini kerana ia rendah kalori berbanding jenis gula lain.
Walau bagaimanapun, disebabkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kesihatan, ia telah diharamkan di Amerika Syarikat dan juga beberapa negara lain.
Namun, ada juga beberapa negara yang kembali membenarkan penggunaannya.
Berdasarkan kenyataan pihak KKM, siklamat banyak ditambah dalam beberapa jenis makanan tertentu seperti kek, produk bakeri, jem, jeli dan juga produk-produk penghasilan daripada coklat.
Ia juga ditambah pada buah-buahan segar seperti baby nenas yang viral ini untuk memberikan rasa manis yang menyelerakan apabila dimakan.
Siklamat mungkin tingkatkan risiko kanser
Terdapat beberapa kajian yang menyatakan mengenai risiko dan kesan sampingan pengambilan siklamat ini. Antaranya ialah berkenaan dengan risiko kanser.
Kajian awal pada tahun 1970-an mengaitkan penggunaan pemanis tiruan yang mengandungi campuran siklamat dan sakarin, dengan peningkatan risiko kanser pundi kencing dalam haiwan makmal.
Kajian awal lain juga menunjukkan bahawa bakteria dalam usus boleh menukarkan siklamat kepada sikloheksamina, iaitu sejenis karsinogen.
Walau bagaimanapun, kajian susulan telah mencadangkan bahawa tiada bukti siklamat menyebabkan kanser atau meningkatkan risiko bahan lain yang boleh menyebabkan kanser.
Kajian lanjut juga telah menunjukkan bahawa, siklamat tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser pundi kencing pada manusia walaupun ia menunjukkan hasil yang berbeza pada tikus makmal sebelum ini.
Jangan langgar Akta Makanan 1983

Buat para peniaga di Malaysia, tidak kira apa jenis buah-buahan dan makanan lain yang diniagakan, anda tidak boleh menambahkan siklamat pada buah dan makanan tersebut.
Ini kerana, ia jelas melanggar Seksyen 13(B), Akta Makanan 1983 yang melarang penyediaan atau menjual sebarang jenis makanan yang telah dicampur dengan bahan tambahan larangan di bawah akta tersebut atau peraturan-peraturan di bawahnya.
Jika anda ditangkap dan disabitkan kesalahan di bawah akta tersebut, anda boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab penjual dan peniaga untuk berniaga secara jujur tanpa merisikokan tahap kesihatan pelanggan.
Bagi pembeli pula, sila bertanya dan buat aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat jika anda berasa sangsi dengan buah baby nenas yang anda makan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen