Sekiranya si kecil anda ada masalah alergi terhadap sesuatu jenis makanan atau minuman seperti alergi gandum, maka ibu bapa perlu lebih peka untuk menyediakan diet khas buat mereka.
Seandainya anak anda ada kondisi ini, itu bermakna bahawa mereka tidak boleh ambil gandum kerana ia adalah alergen atau akan timbul komplikasi yang mungkin berbahaya pada si kecil.
Persoalannya, apakah menu diet alergi gandum yang ideal buat anak anda? Jom terus baca artikel!
Tentang alergi gandum yang anda perlu tahu…
Untuk pengetahuan anda semua, kondisi alahan gandum sering kali dihidap oleh golongan kanak-kanak namun tidak juga mustahil dialami oleh individu yang lebih berusia.
Reaksi alergi akibat gandum ini akan menjadikan tubuh badan individu itu sensitif terhadap zat-zat yang terkandung di dalam gandum dan ia terdedah kepada individu tersebut.
Tindak balas alergi angkara gandum juga boleh terjadi apabila individu itu termakan atau terhidu zat-zat yang terkandung di dalam gandum sekali gus menjadi punca banyak gejala.
Antara simptom yang diperkatakan itu termasuklah kemerahan, kegatalan dan kebengkakan pada kulit selain simptom yang jauh lebih teruk lagi seperti kejutan anafilaksis.
Apa yang sangat membimbangkan adalah banyak juadah masyarakat kita adalah berasaskan gandum lebih-lebih lagi jika ia diperbuat untuk bayi dan budak bawah 12 tahun.
Menu diet khas buat anak dengan alergi gandum!
Sebagai ibu bapa, anda bertanggujawab untuk menyediakan hidangan yang berzat, berkhasiat serta tidak mendatangkan mudarat buat anak anda yang ada masalah alahan.
Berikut adalah senarai hidangan menu diet buat penderita alergi gandum yang boleh bantu ibu bapa untuk menyediakan makanan:
Minuman
Ibu bapa boleh sediakan minuman yang tidak ada unsur gandum seperti susu, jus, kopi, teh, koko serta air berkarbonat yang sihat.
Walau bagaimanapun, sila elakkan penyediaan minuman dengan unsur gandum seperti segala minuman yang diproses ke dalam bentuk tepung.
Manisan
Ibu bapa boleh sediakan manisan yang tidak ada unsur gandum seperti madu, jem, mentega, jeli serta gula-gula yang sihat.
Tetapi, elakkan manisan dengan unsur gandum seperti segala manisan yang diproses bersama dengan bahan berunsur gandum.
Hidangan pembuka selera
Anda boleh sediakan hidangan yang tidak ada unsur gandum seperti nasi, barli, kentang, jagung, kacang soya, oat dan sebagainya.
Namun elakkan hidangan dengan unsur gandum seperti roti, biskut, donat, mufin, wafel, lempeng, pau dan lain-lain.
Hidangan pencuci mulut
Anda boleh sediakan hidangan yang tidak ada unsur gandum seperti pulut, puding, kentang, jagung, kacang soya, oat dan sebagainya.
Namun elakkan hidangan dengan unsur gandum seperti roti, biskut, donat, kek, kuih, pastri, aiskrim dan lain-lain.
Tenusu
Tiada masalah untuk anda sediakan pelbagai hidangan berasaskan tenusu seperti susu, yogurt, keju dan lain-lain asalkan ia tidak diproses atau dimakan bersama dengan bahan gandum seperti bijirin sarapan dan lain-lain.
Daging
Tiada masalah untuk anda sediakan pelbagai hidangan berasaskan daging seperti lembu, kambing, kerbau, ayam, ikan dan lain-lain asalkan ia tidak diproses atau dimakan bersama dengan bahan gandum seperti sosej, salami, nuget dan lain-lain.
Telur
Ini sangat mudah kerana ibu bapa boleh sediakan pelbagai jenis hidangan bertemakan telur dan dimasak dengan cara goreng, rebus atau kukus, selagi ia tidak disediakan bersama dengan sos atau krim yang berasaskan gandum.
Sayur-sayuran
Ibu bapa juga boleh sediakan pelbagai sayur-sayuran sama ada ia segar, ditinkan, dikeringkan atau dijuskan asalkan ia tidak mengandungi bahan yang berasaskan gandum.
Buah-buahan
Ibu bapa juga turut sediakan pelbagai buah-buahan sama ada ia segar, ditinkan, dikeringkan atau dijuskan asalkan ia tidak mengandungi bahan yang berasaskan gandum.
Bagaimana baca label untuk elak alahan gandum?
Dalam erti kata lebih mudah, sebenarnya ibu bapa bebas memilih dan menyediakan hidangan untuk anak anda yang ada kondisi ini hanya dengan cara lebih peka pada label.
Pun begitu, tidak kurang ramai juga pengguna yang mungkin keliru dengan istilah digunakan pengeluar bagi menggantikan gandum lantas memeningkan kepala mereka.
Berikut adalah istilah-istilah lain bagi gandum yang selalu tertera pada label stok produk di pasaran:
- Tepung
- Kanji
- Gluten
- Gum
- Malt
- Bran
- Bulgur
- Couscous
- Durum
- Einkorn
- Emmer
- Farina
- Graham
- Matzoh
- Pasta
- Seitan
- Semolina
- Spelt
- Triticale
- Ekstrak bijirin
Supaya lebih jelas, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor untuk informasi serta nasihat berkaitan dengan alahan gandum. Ingat, sila baca label produk dengan baik ya!
[embed-health-tool-bmr]