Berapa Biji Telur Yang Boleh Saya Makan Dalam Sehari?

    Berapa Biji Telur Yang Boleh Saya Makan Dalam Sehari?

    Boleh dikatakan sekurang-kurangnya satu hidangan harian kita di Malaysia pasti mengandungi telur. Jika anda mengambil nasi lemak sebagai hidangan sarapan, telur rebus pasti ada sebagai lauk wajib bagi nasi lemak tersebut. Tidak kira ianya dihidangkan dalam bentuk rebus, goreng atau telur yang digaul sekali di dalam lauk atau hidangan, hidangan pasti berasa kurang umpph tanpa makan telur. Persoalannya sekarang, berapa biji telurkah yang boleh anda makan dalam sehari?

    Kajian pengambilan mengenai makan telur

    makan telur

    Makan telur yang bersaiz sederhana mengandungi sekitar 186 miligram kolesterol, yang mewakili sebanyak 62% daripada pengambilan harian yang disyorkan. Beberapa kajian telah meneliti kesan makan telur keatas tahap kolesterol individu.

    Satu kajian yang dijalankan telah membahagikan peserta kajian kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mengambil antara 1 hingga 3 biji telur setiap hari manakala kumpulan kedua mengambil makanan lain bagi menggantikan telur. Hasil kajian menunjukkan keputusan seperti berikut:

    • Dalam kebanyakan kes, kolesterol baik (HDL) meningkat naik
    • Kolesterol keseluruhan dan kolesterol jahat (LDL) tidak banyak berubah tetapi kadangkala meningkat sedikit
    • Makan telur yang diperkaya dengan omega-3 boleh menurunkan trigliserida darah
    • Tahap karotenoid antioksidan dalam darah seperti lutein dan zeaxanthin meningkat secara signifikan

    Berdasarkan kajian tersebut, kesan makan telur sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Dalam kalangan 70% daripada mereka, telur tidak memberikan kesan terhadap peningkatan kolesterol keseluruhan atau kolesterol jahat. Manakala dalam kalangan 30% daripada mereka pula yang disebut sebagai hyper-responders, ia memberikan sedikit kesan peningkatan terhadap kolesterol keseluruhan dan kolesterol jahat.

    Berapa biji telurkah yang boleh saya makan dalam sehari?

    makan telur

    Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2016 menyatakan, memakan sebiji telur setiap hari tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung. Selain itu, terdapat juga kajian yang diterbitkan pada tahun 2003 yang telah menjejaki seramai 115,000 individu dewasa selama 14 tahun.

    Kajian tersebut juga mendapati bahawa memakan sebiji telur setiap hari tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung koronari dan strok.

    Pun begitu, sepertimana jenis-jenis makanan lain, telur juga perlu dimakan secara sederhana. Walaupun putih telur kebanyakannya terdiri daripada kandungan protein dan rendah kolesterol, kuning telur pula adalah sebaliknya, dengan memiliki kandungan kolesterol yang lebih tinggi.

    Sekiranya anda adalah seorang individu yang mempunyai tahap kesihatan yang baik dan tidak memiliki sejarah penyakit jantung, anda boleh makan telur sebagai salah satu daripada diet sihat anda.

    Sekiranya anda mempunyai tahap kolesterol yang tinggi, penyakit jantung dan diabetes jenis 2, anda perlu berbincang atau bertanya dengan doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu mengenai jumlah telur yang boleh anda ambil.

    Anda mungkin akan dinasihatkan untuk tidak mengambil lebih daripada 1 atau 2 biji telur dalam seminggu. Anda juga akan disarankan untuk mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan kandungan lemak tepu, lemak trans dan kolesterol.

    Kesimpulan

    makan telur

    Sebagai kesimpulan, memakan sebiji telur dalam sehari merupakan salah satu daripada pelan pemakanan yang sihat kerana ia tidak memberikan kesan yang signifikan terhadap peningkatan risiko penyakit jantung bagi mereka yang dikategorikan sebagai individu sihat.

    Jika anda telah mengambil sebiji telur rebus semasa memakan nasi lemak di pagi hari sebelum bekerja, cuba pula lauk lain pada waktu makan tengah hari dan makan malam. Ini hanya untuk memastikan agar anda kekal sihat dan tidak memperoleh kolesterol tambahan daripada pemakanan telur secara berlebihan.

    Telur bukanlah mengandungi lemak semata-mata kerana kandungan utama bagi telur ialah protein. Oleh itu, anda tidak akan menjadi gemuk sekiranya anda kerap makan telur. Namun, setiap apa yang anda makan, ia perlulah diambil secara berpada-pada dan tidak berlebih-lebihan.

    Baca juga:

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Sumber Rujukan

    https://www.healthline.com/nutrition/how-many-eggs-should-you-eat

    https://www.foodnetwork.com/healthy/articles/how-many-eggs-day-are-healthy

    https://www.unlockfood.ca/en/Articles/Heart-Health/Understanding-Eggs-and-Cholesterol.aspx

    https://www.today.com/health/it-ok-eat-eggs-every-day-t72841

    How Many Eggs Is It Safe To Eat Per Day?

    Gambar penulisbadge
    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz Disemak pada 24/06/2020
    Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan