Tanda Serangan Sakit Jantung Yang Perlu Anda Ketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ramai orang menyangka bahawa serangan sakit jantung bersifat tiba-tiba dan sangat menyakitkan, seperti yang digambarkan di layar televisyen di mana seseorang yang terkena serangan sakit jantung mula memegang dada menahan sakit dan hampir pitam.

Ketahui simptom-simptomnya

Sebenarnya, banyak serangan sakit jantung bermula dengan ketidakselesaan ringan di tengah dada. Seseorang yang mengalami serangan sakit jantung yang ‘bukan seperti dalam televisyen’ ini mungkin tidak pasti apa yang mereka hadapi.

Ketidakselesaan (dan simptom lain) mungkin datang dan pergi. Malah orang yang pernah mengalami serangan sakit jantung sendiri mungkin tidak mengenali tandanya ketika mereka mengalaminya bagi kali kedua kerana simptom yang sama sekali berbeza.

Tanda amaran serangan sakit jantung ditunjukkan dalam infografik berikut. Belajar dan ingat senarai ini, tetapi walaupun anda tidak pasti jika itu adalah serangan sakit jantung, anda masih perlu menjalani pemeriksaan dengan segera. Kenal pasti sebarang simptom yang tiba-tiba, baru atau perubahan corak simptom yang sedia ada (contohnya, simptom anda menjadi lebih kuat, lebih kerap, atau berlangsung lebih lama daripada biasa).

tanda serangan sakit jantung

Serangan sakit jantung vs henti jantung

Selain mengenal pasti simptom atau tanda serangan sakit jantung, anda juga perlu memahami perbezaan serangan sakit jantung dan henti jantung. Serangan sakit jantung merujuk kepada heart attack yang berpunca daripada acute coronary syndrome. Sementara henti jantung atau cardiac arrest berlaku disebabkan jantung berhenti berdegup kebiasaannya berpunca daripada gangguan ritma dalam jantung.

Dalam beberapa saat pesakit henti jantung akan hilang kesedaran dan mungkin akan mengalami sawan kecil (badan bergegar) bilamana pengaliran darah dan oksigen ke otak berhenti. Mangsa akan terbaring tanpa denyut nadi tetapi mungkin masih mengalami pernafasan yang tidak normal untuk beberapa minit, yang boleh mengelirukan pemerhati yang menyangkakan mangsa hanya pengsan.

Dalam kes sedemikian, adalah penting bagi pemerhati untuk menelefon 9-9-9  dengan serta-merta. Pengendali 9-9-9 akan melatih pemerhati untuk melakukan tekanan pada dada mangsa dan akan menghantar kakitangan kecemasan dan peralatan yang diperlukan untuk menyelamatkan mangsa. Henti jantung boleh berlaku sebagai komplikasi serangan sakit jantung tetapi juga boleh disebabkan oleh masalah lain.

Hubungi 9-9-9

Mereka yang mengalami tanda-tanda amaran serangan sakit jantung sering menyangkal betapa serius keadaannya dan mengambil pendekatan tunggu-dan-lihat. Tetapi masa adalah sangat penting, dan sesiapa yang mempunyai tanda amaran ini perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Jangan tunggu lebih daripada beberapa minit (5 minit maksimum) untuk menghubungi 9-9-9.

Jika doktor anda telah menetapkan nitrogliserin kerana anda mengalami ketidakselesaan dada disebabkan senaman dan reda dengan rehat (keadaan yang disebut angina pectoris yang biasanya disebabkan oleh penyumbatan sebahagian daripada satu atau lebih arteri yang membekalkan jantung), anda boleh mengambil ubat seperti yang ditetapkan. Sekiranya simptom anda tidak reda dalam masa 5 minit, anda harus menghubungi 9-9-9 dengan segera dan pergi ke hospital supaya doktor dapat menentukan sama ada anda mengalami serangan sakit jantung.

Pada masa lalu, pesakit sering diberitahu untuk “mengambil 1 tablet nitrogliserin setiap 5 minit sehingga 3 dos” jika simptom mereka tidak reda. Cadangan ini telah diubah dengan hanya 1 tablet nitrogliserin dengan tempoh pemerhatian maksimum 5 minit.

Ini untuk memastikan bahawa, jika serangan sakit jantung adalah punca simptom, pesakit akan dibawa ke hospital secepat mungkin untuk memastikan arteri yang disekat dapat dibuka, untuk mengurangkan kerosakan jantung, dan meningkatkan kemungkinan hidup.

Dengan menghubungi 9-9-9 dan mengambil ambulans, anda akan ke hospital dengan cara yang paling cepat dan selamat disamping memastikan supaya:

  • Kakitangan kecemasan boleh memulakan rawatan dengan segera, walaupun sebelum anda tiba di hospital.
  • Jantung anda boleh berhenti berdegup semasa serangan sakit jantung. Kakitangan kecemasan mempunyai pengetahuan dan peralatan yang diperlukan untuk membantunya berdegup kembali.
  • Pesakit yang mengalami serangan jantung yang tiba dengan ambulans biasanya  menerima rawatan lebih cepat setibanya hospital.

Jika tidak dapat menghubungi 9-9-9, minta seseorang untuk menghantar anda terus ke hospital. Jangan memandu sendiri kecuali jika tiada pilihan lain kerana anda boleh pengsan semasa memandu. Ingat, anda perlu mendapatkan bantuan segera. Setiap minit yang berlalu akan menyebabkan lebih banyak otot jantung yang mati.

Doktor dan kakitangan kecemasan mahukan anda atau sesiapa sahaja yang mungkin sedang mengalami serangan sakit jantung untuk segera ke bahagian kecemasan tanpa berlengah-lengah lagi walaupun pada akhirnya ia cumalah tanda amaran palsu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut