Kenapa sel darah merah kurang? Apakah cara untuk menentukan sama ada gejala yang dialami itu adalah simptom anemia atau tidak? Ini kerana sesetengah tanda anemia itu juga boleh didasari oleh masalah perubatan lain.
Usah bimbang kerana dalam perkongsian artikel ini, anda akan dapat mengetahui mengenai keadaan dan simptom anemia dengan lebih mendalam. Akan tetapi sebelum itu, ayuh kita fahami dahulu mengenai penyakit anemia ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Gangguan Darah, anda boleh klik di sini.
Apa itu Anemia?
Kenapa sel darah merah kurang?
Anemia merujuk kepada keadaan yang menyebabkan tubuh anda mengalami kekurangan hemoglobin (sel darah merah sihat untuk membawa oksigen ke seluruh tisu badan). Sekiranya anda mempunyai keadaan ini, badan tidak mendapat oksigen yang cukup untuk berfungsi dengan baik1.
Terdapat pelbagai jenis anemia iaitu2:
- Anemia kekurangan zat besi (IDA). Seperti namanya, IDA berlaku apabila badan anda kekurangan zat besi. Tanpa zat besi, sumsum tulang tidak dapat menghasilkan hemoglobin yang mencukupi.
- Anemia kekurangan vitamin. Sel darah merah yang sihat juga memerlukan asid folik dan vitamin B12 untuk dihasilkan. Dalam sesetengah kes, individu yang terjejas mungkin belum lagi mampu memproses vitamin tersebut.
- Anemia aplastik. Ini adalah keadaan yang jarang berlaku dan mengancam nyawa. Ia disebabkan oleh jangkitan, pendedahan terhadap toksik, dan juga ubat-ubatan.
- Anemia hemolitik. Anda boleh mendapatkan keadaan ini jika badan memusnahkan sel darah merah lebih cepat daripada yang dihasilkannya. Ia boleh diwarisi atau berkembang dalam usia yang semakin dewasa.
- Anemia sel sabit. Ini adalah kondisi yang diwarisi. Ia menyebabkan sel darah merah bertukar kepada bentuk sabit, yang menjadikannya sukar bagi darah tersebut untuk bergerak di dalam saluran darah. Akhirnya, menyebabkan kesakitan dan kerosakan tisu.
Gejala dan Simptom Anemia
Simptom anemia yang mungkin berlaku seperti cepat letih, badan lemah, kulit pucat, kadar jantung yang tidak normal, kesukaran bernafas, sakit dada, tangan dan kaki sejuk serta sakit kepala1.
Tanda anemia atau simptom anemia cenderung tidak dapat dikesan pada permulaannya. Simptom-simptom akan menjadi semakin teruk apabila anemia berlaku. Adakalanya anda mungkin tidak mengalami langsung sebarang simptom.
Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom yang muncul, sila berjumpa doktor segera.
Adakah bahaya penyakit anemia? Lihat selanjutnya.
Sebab dan Faktor Risiko
Adakah bahaya penyakit anemia?
Penyebab utama anemia adalah kekurangan sel darah merah. Ini sering berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang mencukupi atau kehilangannya melalui pendarahan3.
Kadangkala, tubuh anda sendiri boleh memusnahkan sel darah merah itu, lalu mengakibatkan anemia.
Selain itu, anemia juga boleh disebabkan oleh banyak keadaan kesihatan lain melibatkan kehilangan darah seperti ulser, buasir atau gastritis.
Mengalami penyakit kronik yang mengakibatkan tubuh tidak mempunyai hormon mencukupi untuk menghasilkan sel darah merah juga boleh menjadi punca anda mengalami simptom anemia.
Ini termasuklah hipertiroidisme, hipotiroidisme, penyakit buah pinggang kronik, lupus dan penyakit jangka panjang yang lain3.
Anda mungkin mempunyai risiko mengalami tanda anemia yang lebih tinggi jika1:
- Diet tidak mempunyai zat besi, asid folik dan vitamin B12
- Mempunyai gangguan usus yang mempengaruhi keupayaan untuk memproses nutrien seperti penyakit Crohn atau seliak
- Merupakan seorang wanita yang mengalami haid, ini kerana ketika haid anda akan kehilangan sel darah merah
- Sedang hamil
- Mengalami salah satu keadaan kronik seperti kanser, diabetes dan kegagalan buah pinggang
- Sejarah keluarga menghidap anemia yang diwarisi seperti anemia sel sabit
- Sejarah perubatan diri terhadap jangkitan tertentu, penyakit darah, gangguan autoimun dan pengambilan ubat yang boleh menjejaskan penghasilan sel darah merah
- Pengambilan alkohol berlebihan, pendedahan kepada bahan kimia toksik
- Berusia 65 tahun ke atas
Rawatan dan Diagnosis
Jika wujud simptom anemia, anda disarankan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis lengkap memandangkan ia boleh menjadi petunjuk kepada penyakit yang lebih kronik.
Anemia boleh didiagnosis melalui sejarah keluarga dan ujian darah untuk memeriksa sebarang tanda dalam sel darah merah pesakit3.
Sebaik sahaja pesakit didiagnosis dengan anemia, mereka mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut untuk memeriksa keadaan perubatan yang seterusnya.
Biasanya rawatan bagi merawat anemia adalah bergantung kepada jenis yang dialami.
Sekiranya anemia adalah disebabkan oleh kekurangan zat besi atau vitamin, rawatan mungkin boleh dilakukan melalui cara pengambilan makanan tambahan untuk mengatasi masalah kekurangan zat besi dan vitamin tersebut.
Jika simptom anemia berlaku disebabkan pendarahan dalaman, anda mungkin perlu menjalani pembedahan untuk menghentikannya. Bagi anemia yang melibatkan gangguan genetik seperti anemia sel sabit, pemindahan sumsum tulang mungkin diperlukan3.
Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai masalah lain, doktor mungkin akan memberi tumpuan kepada rawatan masalah yang dialami.
Perubahan Gaya Hidup Untuk Mencegah Anemia
Terdapat beberapa jenis anemia seperti yang diwarisi keluarga sekali gus tidak dapat dicegah.
Walau bagaimanapun, anda boleh mencegah anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi dan vitamin dengan mengamalkan diet pemakanan seimbang serta sihat3.
Anda disarankan untuk mengambil makanan yang mengandungi1:
- Zat besi – Daging merah seperti daging lembu, kacang, lentil, bijirin diperkaya zat besi, sayuran berdaun hijau gelap dan buah yang dikeringkan
- Asid folik – turut terdapat dalam bentuk sintetik yang boleh didapati pada buah-buahan dan jus, sayuran berdaun hijau gelap, kacang pis, kacang tanah serta produk bijirin diperkaya seperti roti, bijirin sarapan pagi dan pasta
- Vitamin B12 – antara pilihan makanan tinggi vitamin ini termasuk daging, produk tenusu, produk bijirin dan soya yang diperkaya
- Vitamin C – Buah-buahan sitrus dan jus, brokoli, tomato, tembikai dan strawberi.
Kesimpulan
Kini anda tahu kenapa sel darah merah kurang.