Bacaan diastolik rendah bermakna anda mengalami hipotensi. Tetapi bagaimana untuk menentukannya dan mengetahui simptomnya?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Definisi
Diastolik rendah & hipotensi
Hipotensi yang juga dipanggil tekanan darah rendah terjadi apabila tekanan darah jatuh mendadak bawah daripada 90/60 mmHg. Hipotensi membuatkan isipadu darah berkurangan disebabkan lemahnya kecutan jantung.
Bacaan tekanan darah ditulis dalam dua nombor.
Nombor pertama yang berada di bahagian atas mengukur tekanan sistolik (tekanan di dalam arteri apabila jantung berdegup dan mengisinya dengan darah).
Nombor yang kedua di bahagian bawah pula ialah tekanan diastolik (diastolik adalah tekanan darah di dalam arteri sewaktu jantung berehat di antara degupannya).
Oleh itu, anda dikira mempunyai tekanan darah rendah sekiranya bacaan tekanan darah anda di bawah 90/60, iaitu;
- Tekanan darah sistolik 90 mmHg atau kurang, atau
- Tekanan darah diastolik 60 mmHg atau kurang
Hipotensi adalah simptom kepada banyak keadaan perubatan dan memberi banyak kesan kepada kesihatan seseorang terutamanya orang yang sudah berumur.
Selain itu, senaman secara berkala, berdiri terlalu lama ataupun bangun daripada duduk boleh mengurangkan tekanan darah. Ia dipanggil hipotensi postural atau hipotensi ortostatik.
Simptom-simptom
Diastolik rendah: Fahami gejalanya
Simptom—simptom hipotensi berlaku apabila bekalan darah ke otak berkurangan. Simptom yang lazim berlaku termasuklah:
- Terasa ringan kepala dan pening
- Pengsan atau pitam
- Tidak boleh memberi fokus kepada sesuatu
- Kabur penglihatan
- Loya dan mual
- Kulit menjadi sejuk, berpeluh-peluh dan pucat
- Pernafasan yang laju dan pendek
- Penat
- Kemurungan
- Rasa dahaga
Tekanan darah rendah yang kronik tanpa apa-apa simptom selalunya tidak serius.
Keadaannya seperti sesetengah orang yang bersenam secara berkala , mereka mempunyai tekanan darah yang rendah, tetap, tekanan darah yang jatuh secara mendadak boleh menyebabkan kekurangan bekalann darah ke organ-organ penting, terutamanya otak.
Baca juga:
Kekurangan darah boleh menyebabkan kekurangan nutrien kepada banyak organ.
Pesakit yang ada hipotensi selalunya mengalami beberapa simptom yang teruk seperti sinkop, kejutan peredaran darah dan kegagalan nadi.
Punca
Diastolik rendah: Apakah puncanya?
Banyak sebab yang boleh mengakibatkan hipotensi, antaranya ialah:
- Cecair di dalam arteri tidak mencukupi. Ini boleh terjadi sekiranya anda kehilangan darah atau mengalami dehidrasi. Anda boleh mengalami dehidrasi jika:
- Kurang minum air
- Mengalami cirit birit dan muntah
- Berpeluh dalam kuantiti yang banyak (sebagai contoh, sewaktu bersenam)
- Jantung tidak mampu mengepam darah secukupnya
- Sistem saraf dan hormon yang mengawal pembuluh darah tidak berfungsi dengan baik
- Mengandung
- Masalah hormon seperti tiroid yang kurang aktif (hipotiroidisme),diabetes, dan gula dalam darah yang rendah (hipoglisemia)
- Kelesuan haba dan strok haba
- Sesetengah ubat yang dibeli secara atas kaunter
- Sesetengah ubat preskripsi seperti ubat untuk darah tinggi, kemurungan dan penyakit Parkinson
Bagi sesetengah pesakit, bacaan diastolik rendah yang dialami terikat dengan masalah lain, seperti:
- Diabetes
- Parkinson
- Kegagalan fungsi jantung
- Aritmia jantung (irama jantung yang tidak normal)
- Pembuluh darah menjadi besar dan luas
- Penyakit hati
Tetapi orang yang sihat juga boleh mengalami kondisi ini juga . Orang yang berumur dan wanita mengandung contohnya , lebih lazim mempunyai hipotensi.
Sesetengah kes, tekanan darah boleh turun secara mendadak. Dalam kes-kes sebegini, ia boleh berpunca dari:
- Kehilangan darah daripada pendarahan
- Suhu badan yang rendah
- Suhu badan yang tinggi
- Masalah pada otot jantung yang menyebabkan kegagalan jantung
- Sepsis, jangkitan kuman dalam darah
- Dehidrasi yang melampau disebabkan oleh muntah, cirit-birit atau demam
- Reaksi tubuh badan kepada ubat atau alkohol
- Reaksi alahan yang melampau, yang dipanggil anafilaksis
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko diastolik rendah?
Risiko bagi darah tinggi dan rendah lazimnya meningkat seiring dengan umur.
Aliran darah ke otot-otot jantung dan otak juga akan berkurangan apabila semakin tua, selalunya disebabkan pembinaan plak pada dinding pembuluh darah. Jangkaan kira-kira 10%-20% golongan masyarakat yang berumur lebih 65 tahun mengalami hipotensi.
Sesetengah ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko hipotensi, seperti diuretik, nitrat dan vasdilator.
Risiko-risiko lain termasuklah:
- Mempunyai sejarah kehilangan air dari badan (muntah, cirit birit, kurang mengambil air, dn demam)
- Mempunyai sejarah kegagalan jantung kongestif, diabetes, kemalignanan, alkoholisme
- Pemeriksaan neurologikal menunujukkan bukti-bukti Parkinsonisme, neuropati periferi, disautonomia (seperti respon pupil yang tidak normal)
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas hipotensi (tekanan darah rendah)?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut boleh membantu anda untuk menghadapi hipotensi, tetapi sebelum anda memulakannya, mintalah pandangan daripada doktor dan jururawat.
- Elakkan berlari, mendaki atau apa-apa perbuatan yang menggunakan banyak tenaga pada musim panas. Perkara-perkara ini boleh menyebabkan hipotensi ortostatik semakin teruk
- Pastikan anda meminum air yang cukup terutamanya dalam cuaca yang panas.
- Tinggikan paras kepala anda sewaktu baring di atas katil dengan meletakkan bongkah di bawah bantal.
- Stokin mampatan sehingga ke paras pinggang paling bagus untuk hipotensi, tetapi ianya sukar untuk dipakai.
- Elakkan meminum minuman beralkohol secara berlebihan.
- Sekiranya anda mempunyai apa-apa soalan, silalah berunding dengan doktor untuk memahami penyelesaian yang terbaik buat diri anda.
Jika terdapat sebarang pertanyaan mengenai bacaan diastolik rendah, berundinglah dengan doktor untuk lebih kepastian.
[embed-health-tool-heart-rate]