Diabetes Gestasi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Diabetes Gestasi?

Diabetes gestasi adalah penyakit kencing manis yang berlaku hanya sewaktu kehamilan iaitu bermula ketika minggu ke-24. Diabetes gestasi mempengaruhi bagaimana sel menggunakan gula (glukos) dan menyebabkan peningkatan gula dalam darah yang berbahaya untuk anda dan anak anda.

Kebiasaannya dalam diabetes gestasi, gula dalam darah akan kembali kepada normal selepas bersalin. Namun begitu, anda berisiko untuk menghidap kencing manis jenis 2 selepas itu. Oleh itu, anda perlu selalu diperiksa doktor untuk mengawasi dan mengawal gula dalam darah.

Adalah digalakkan untuk wanita dengan kencing manis jenis 1 atau jenis 2 yang merancang untuk hamil berbincang dengan doktor sebelum kehamilan. Kencing manis yang tidak dikawal atau kurang terkawal menyebabkan permasalahan kepada bayi anda.

Apakah kebarangkalian Diabetes Gestasi?

Diabetes gestasi merupakan antara komplikasi kehamilan yang kerap berlaku, berlaku dalam satu daripada 10 wanita mengandung, terutamanya dalam wanita obes. Ia boleh diawasi dengan mengurangkan faktor risiko. Sila hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Diabetes Gestasi?

Diabetes gestasi tidak selalunya menyebabkan simptom. Kebanyakan kes hanya dikesan ketika terdapat peningkatan gula dalam darah sewaktu ujian saringan.

Sebahagian wanita mungkin mendapat beberapa simptom jika gula dalam darah mereka meningkat terlalu tinggi, seperti:

  • Berasa haus
  • Kencing lebih kerap daripada biasa
  • Mulut berasa kering
  • Merasa penat

Bagaimanapun, kebanyakan simptom berikut memang selalu berlaku sewaktu kehamilan dan tidak semestinya menunjukkan masalah kencing manis. Hubungi doktor anda jika anda khuatir dengan sebarang simptom yang anda alami.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda.

Punca

Apakah Punca Diabetes Gestasi?

Insulin adalah hormon yang dihasilkan pankreas, organ yang terletak di belakang perut. Ia membantu badan memanfaatkan glukos untuk tenaga dan membantu mengawal kandungan gula dalam darah. Bagaimanapun, jika badan tidak menghasilkan insulin dengan mencukupi sewaktu kehamilan, ini menyebabkan diabetes gestasi.

Tambahan pula, kesemua wanita hamil mengalami rintangan terhadap insulin sewaktu akhir kehamilan. Tetapi sebahagian wanita mengalami rintangan insulin sebelum mereka hamil lagi, terutamanya dalam kalangan wanita yang terlebih berat badan. Wanita ini memulakan kehamilan dengan keperluan yang lebih tinggi terhadap insulin dan lebih cenderung untuk mengalami diabetes gestasi

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Diabetes Gestasi?

Terdapat banyak faktor risiko terhadap diabetes gestasi, termasuklah:

  • Berusia lebih 25 tahun
  • Mempunyai ahli keluarga/saudara yang menghidap diabetes
  • Terlebih berat badan, terutamanya BMI 30 atau ke atas
  • Mengalami sindrom polisistik ovari (polycystic ovarian syndrome);
  • Menghidap intoleransi glukosa
  • Mengambil ubat tertentu seperti glukokortikoid (untuk asma atau penyakit autoimun), ┬ábeta-blockers (untuk tekanan darah tinggi atau kadar jantung laju) atau ubat antipsikotik (untuk masalah penyakit mental)
  • Pernah mengalami diabetes gestasi sebelum ini

Mengalami kehamilan dengan bayi yang besar sebelum ini

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Diabetes Gestasi didiagnosis?

Sewaktu temu janji antenatal anda yang pertama, ketika minggu ke-8 hingga minggu ke-12 kehamilan,  doktor akan bertanyakan beberapa soalan untuk menentukan risiko anda menghidap diabetes gestasi. Jika anda mempunyai satu atau lebih faktor risiko, ujian saringan akan dijalankan, termasuklah:

Ujian cabaran gula awal (Initial glucose challenge test)

  • Anda akan minum air gula, dan kandungan gula dalam darah akan diukur selepas sejam.
  • Kandungan gula bawah: 130 hingga 140 (mg/dL), atau 7.2 to 7.8 (mmol/L), dianggap normal
  • Jika kandungan gula anda lebih tinggi daripada normal, ini bermakna anda mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap diabetes gestasi. Anda mungkin memerlukan ujian toleransi glukosa (glucose tolerance test) untuk menenukan jika anda mempunyai keadaan ini.

Ujian toleransi glukosa lanjut (Follow-up glucose tolerance testing)

  • Anda akan berpuasa semalaman, kemudian kandungan gula dalam darah akan diukur. Anda kemudaian akan minum minuman manis yang lain, yang mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi.
  • Bacaan gula dalam darah akan diuji setiap jam bagi tempoh 3 jam.
  • Jika terdapat sekurang-kurangnya 2 bacaan gula yang lebih tinggi daripada normal, anda akan didiagnosis dengan diabetes gestasi.

Bagaimana pesakit Diabetes Gestasi dirawat?

Merawat diabetes gestasi dapat membantu anda dan bayi anda kekal sihat. Matlamat rawatan adalah untuk membantu anda mencapai target bacaan gula dalam darah dengan cara:

  • Makan dengan sihat
  • Aktiviti fizikal: Anda patut melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari dan bertanyakan doktor jika anda perlu melanjutkan dengan aktiviti yang lebih berat. Jangan melakukan aktiviti bersenam dengan berbaring selepas trimester pertama
  • Suntikan insulin, jika diperlukan

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Diabetes Gestasi?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani diabetes gestasi:

  • Diet yang sihat: pilih makanan yang tinggi dengan serat dan rendah lemak dan kalori. Utamakan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh. Usahakan untuk mempelbagaikan jenis makanan untuk mencapai target tanpa mengabaikan rasa atau nutrisi. Awasi kuantiti hidangan.
  • Kekal aktif: berjalan pantas setiap hari, kayuh basikal, bersenam 30 minit sehari. Jika anda tidak mempunyai kelapangan melakukan senaman selama 30 minit sehari, lakukan sesi senaman singkat beberapa kali sehari.

Turunkan berat badan sebelum kehamilan: menurunkan berat badan sebelum kehamilan dapat membantu anda menjalani kehamilan yang lebih sihat. Motivasikan diri dengan mengingati faedah jangka masa panjang menurunkan berat badan, seperti jantung yang lebih sihat, lebih bertenaga, dan bertambah keyakinan diri.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut