Puting Sakit Ketika Menyusukan Bayi: Apa yang Boleh Dilakukan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sebagai seorang ibu, sudah pasti anda pernah mengalami puting sakit ketika menyusukan bayi anda, bukan? Anda tidak perlu terlalu risau kerana ia adalah sesuatu yang normal terutamanya di awal kelahiran. Persoalannya, apakah yang menyebabkan ia berlaku dan apakah yang boleh dilakukan? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Apakah punca puting sakit ketika menyusukan bayi?

Sebenarnya, terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku, antaranya:

  • Payudara bengkak kerana penuh susu
  • Lekapan mulut bayi ke puting payudara yang tidak betul
  • Puting luka kerana posisi menyusu yang salah
  • Puting luka kerana digigit bayi
  • Pam payudara tidak digunakan dengan betul
  • Menyusu bayi terlalu lama
  • Memakai baju dalam yang terlalu ketat
  • Memiliki puting yang tenggelam
  • Memiliki puting yang sensitif terhadap kesejukan (vasopasm)
  • Bayi mempunyai masalah frenulum yang terbatas

Selain itu, puting sakit ketika menyusukan bayi juga mungkin disebabkan jangkitan seperti jangkitan kulat susu atau mastitis. Untuk lebih kepastian, anda disarankan untuk berjumpa doktor jika ia berlaku kepada anda.

Apakah yang boleh dilakukan?

#1. Tuamkan dengan air suam

Pertama sekali, anda boleh cuba gunakan cara semula jadi iaitu dengan menuam payudara anda yang telah dibasahkan dengan air suam perlahan-lahan. Ulang proses ini sehingga bengkak pada puting dan rasa sakit itu hilang.

#2. Sapukan dengan susu ibu

Selain itu, anda juga boleh menggunakan petua orang lama iaitu sapukan susu ibu pada kawasan puting anda. Setelah disapukan dan dikeringkan, pakai semula baju dalam anda dan jalani kehidupan seharian seperti biasa.

#3. Betulkan lekapan mulut bayi

Anda juga boleh memerhatikan lekapan mulut bayi anda. Pastikan kedudukan puting dekat dan mudah dicapai oleh mulut bayi bagi mengelakkan puting tertarik daripada kedudukan sepatutnya Caranya, anda perlu memastikan dagu bayi menyentuh payudara ibu, bibir bawah bayi terjuih keluar dan mulut bayi terbuka lebar semasa menyusukan bayi.

#4. Betulkan posisi menyusu

Posisi menyusu yang salah merupakan antara punca utama keadaan ini berlaku. Oleh itu, anda perlu betulkan posisi anda agar kedua-dua anda dan bayi berasa selesa ketika penyusuan. Sebaiknya, gunakan bantal untuk menyokong bayi ketika mendukungnya. Atau, anda juga boleh menyusukan bayi ketika berbaring di atas katil. Ini lebih mudah dan tidak memberi tekanan kepada anda.

#5. Betulkan waktu menyusu

Kekerapan menyusu yang paling ideal adalah 2 hingga 3 jam sekali. Ini adalah sangat penting untuk mengawal kadar penghasilan susu bagi menghalangnya daripada membengkak. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi puting dan payudara anda berehat daripada aktiviti penyusuan yang kadangkala boleh mendatangkan kepenatan.

#6. Gunakan krim dan ubat

Jika terlalu melarat, anda boleh berjumpa doktor untuk berbincang mengenai penggunaan krim atau ubat untuk merawat puting sakit ketika menyusukan bayi. Namun begitu, anda perlu memastikan krim yang disarankan tidak mengandungi lanolin yang mampu mengakibatkan alahan dan tidak mempunyai bau busuk yang menyebabkan bayi menolak untuk menyusu.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut