backup og meta

Isteri Asyik 'Mood Swing' Masa Hamil? Suami Jangan Ambil Hati, Ini Tip Boleh Cuba!

Isteri Asyik 'Mood Swing' Masa Hamil? Suami Jangan Ambil Hati, Ini Tip Boleh Cuba!

Suami mana yang tidak seronok apabila melihat isteri sedang berbadan dua bukan? Namun, di sebalik keindahan itu, sang suami juga perlu berdepan dengan saat mencabar di mana sang isteri sering mengalami emosi tak stabil ketika hamil.

Dari rasa gembira yang melimpah ruah hingga kesedihan tanpa sebab, perubahan hormon boleh menjadi penyebab emosi tidak stabil pada wanita hamil.

Dalam situasi ini, peranan suami amat penting dalam memberikan sokongan moral dan emosi kepada isteri. Tetapi bagaimana cara mengatasi emosi tidak stabil isteri ketika mengandung?

Jom baca artikel ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

Fahami perubahan emosi tak stabil isteri

Sebelum suami mula memberi sokongan kepada isteri, mereka perlu memahami bahawa perubahan emosi isteri bukan sesuatu yang disengajakan.

Peningkatan hormon seperti estrogen dan progesteron secara mendadak semasa kehamilan adalah penyebab emosi tidak stabil pada wanita hamil, menjadikan mereka lebih sensitif dan mudah tersentuh.

Jadi, encik suami perlu mendekati isteri dengan penuh empati dan bukannya menghakimi emosi mereka.

Berikut adalah cara mengatasi emosi tidak stabil pada ibu hamil yang suami boleh lakukan:

#1. Bersabar dan jangan ambil hati

Ada kalanya, isteri mungkin meluahkan perasaan dengan cara yang sedikit beremosi atau marah tanpa sebab yang jelas.

Ini bukan bermakna mereka membenci suami, tetapi hanya kesan emosi tidak stabil yang mereka alami. Suami yang penyabar dan memahami akan membantu mengurangkan beban perasaan isteri.

Jangan cepat terasa hati atau melawan dengan kemarahan, sebaliknya cuba berikan kata-kata yang menenangkan isteri anda.

Cara mengatasi emosi tidak stabil pada ibu hamil #2. Dengar dengan penuh perhatian

Isteri yang hamil sering kali mempunyai banyak perkara yang ingin dikongsi, sama ada berkaitan kebimbangan tentang bayi atau hanya perasaan letih dan lesu.

Suami boleh menjadi pendengar yang baik dengan memberi perhatian sepenuhnya ketika isteri berbicara. Jangan sekadar mendengar sambil bermain telefon atau menonton televisyen, tetapi fokus dan beri respon yang menunjukkan anda memahami luahan hati mereka.

#3. Bantu meringankan beban isteri untuk atasi emosi tak stabil ibu mengandung

Kehamilan boleh menyebabkan keletihan yang luar biasa. Suami yang prihatin boleh membantu meringankan beban dengan mengambil alih tugas rumah seperti:

Tindakan kecil seperti ini boleh membuat isteri berasa lebih dihargai dan disayangi.

#4. Tunjukkan kasih sayang dengan cara yang berbeza

emosi tak stabil
Urutan lembut pada bahu isteri dapat membuatkan isteri lebih selesa.

Kasih sayang tidak semestinya ditunjukkan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga melalui perbuatan.

Urutan lembut, menyediakan makanan kegemaran isteri, atau sekadar membelai rambut mereka boleh memberi kesan besar kepada emosi tak stabil mereka.

Sentuhan fizikal yang menenangkan dapat membantu isteri berasa lebih selesa dan kurang tertekan.

#5. Galakkan isteri untuk berehat dan jaga kesihatan mental

Keletihan dan tekanan boleh memburukkan lagi emosi tak stabil semasa hamil. Suami boleh membantu dengan memastikan isteri mendapat rehat yang secukupnya dan tidak terlalu terbeban dengan kerja.

Jika isteri mengalami tekanan berlebihan, suami boleh mencadangkan aktiviti seperti berjalan-jalan, melakukan senaman ringan, menonton filem kegemaran, mengamalkan teknik pernafasan atau meditasi ringkas.

emosi tak stabil
Langkah penjagaan diri untuk ibu mengandung.

#6. Jangan abaikan kesihatan diri sendiri

Suami yang sihat dari segi fizikal dan mental, lebih mampu memberikan sokongan kepada isteri yang sedang berbadan dua. Oleh itu, suami juga perlu menjaga kesihatan diri sendiri agar tidak mudah stres atau terlampau keletihan.

Ini akan dapat membuatkan suami lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam menyokong isteri sepanjang tempoh kehamilan.

Kesimpulan

Kehamilan bukan hanya pengalaman bagi isteri, tetapi juga satu perjalanan yang perlu dilalui bersama sebagai suami isteri.

Tindakan kecil seperti mendengar, bersabar, dan menunjukkan kasih sayang mampu memberi kesan besar dalam memastikan kesejahteraan emosi tak stabil ibu hamil.

Ingatlah, kebahagiaan isteri sepanjang kehamilan juga akan memberi kesan positif kepada bayi dalam kandungan. Oleh itu, jadilah suami yang lebih supportive dan tunjukkan bahawa anda sentiasa ada untuk isteri sepanjang perjalanan kehamilan ini.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Feelings, relationships and pregnancy. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/feelings-relationships-and-pregnancy. Diakses Februari 6, 2025.

Your partner’s emotions during pregnancy – for dads and partners. https://www.tommys.org/pregnancy-information/dads-and-partners/your-partners-emotions-during-pregnancy. Diakses Februari 6, 2025.

Understanding and navigating pregnancy emotions. https://www.themotherbabycenter.org/blog/2024/09/pregnancy-emotions/. Diakses Februari 6, 2025.

Mood Swings During Pregnancy. https://americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-health-wellness/mood-swings-during-pregnancy/. Diakses Februari 6, 2025.

Taking Care of Your Mental Health During Pregnancy. https://kidshealth.org/en/parents/pregnant-mental-health.html. Diakses Februari 6, 2025.

Versi Terbaru

12/02/2025

Ditulis oleh Annes Nadia

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Ini Antara Perubahan Tubuh & Emosi Sepanjang Tempoh Hamil, Bakal Ibu Wajib Tahu!

Sepanjang 9 Bulan Kehamilan, Ibu Perlu Peka Pada 6 Perubahan Ini


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada tadi

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan