Sembelit

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Apa itu sembelit?

Sembelit adalah mengalami kesukaran untuk membuang air besar dan tekstur najis yang keras. Jika najis berada dalam saluran kolon (usus besar), ia akan membuatkan ia menjadi keras dan semakin sukar untuk disingkirkan.

Sistem pencernaan adalah satu fungsi badan yang sangat berkesan. Dalam tempoh beberapa jam, sistem pencernaan akan menyerap nutrisi daripada makanan dan minuman yang anda ambil, memprosesnya ke dalam aliran darah, dan menyediakan sisa buangan untuk disingkirkan.

Sisa buangan yang akan disingkirkan akan melalui usus sebelum disimpan sementara dalam usus besar, sebelum dikeluarkan dari tubuh, dalam masa 1 atau 2 hari. Najis yang normal adalah tidak memiliki tekstur yang keras atau terlalu cair, dan tidak menyakitkan anda untuk menyingkirkannya dari tubuh.

Penyebab sembelit

Tugas utama kolon adalah untuk menyerap air dari sisa makanan yang melalui sistem pencernaan dan menghasilkan najis (sisa buangan). Otot-otot kolon akan mengeluarkan sisa melalui rektum untuk disingkirkan. Dan najis yang berada untuk tempoh yang lama di dalam kolon, akan menyebabkan ia menjadi keras dan sukar untuk melalui rektum.

sembelit

Jika keadaan ini berterusan, masalah sembelit yang kronik juga boleh menjadi simptom kepada masalah kesihatan yang lebih serius, termasuk sindrom usus besar, kanser kolorektal, kencing manis, penyakit Parkinson, kemurungan, atau kelenjar tiroid menjadi kurang aktif.

Kecenderungan usus untuk menjalankan fungsinya adalah bergantung kepada usia, diet pemakanan, dan aktiviti harian anda. dan keadaan persekitaran. Sebagai contoh; bayi yang diberi susu formula lebih berpotensi mempunyai najis yang keras dan berdepan masalah sembelit berbanding bayi yang hanya minum susu ibu.

Untuk sesetengah individu kanak-kanak, mereka berdepan isu sembelit ini apabila memulakan persekolahan atau sebarang aktiviti, kerana malu untuk meminta izin untuk menggunakan tanda. Untuk kanak-kanak yang sedang berlatih menggunakan tandas (toilet training), mereka turut berpotensi berdepan masalah ini jika mereka tidak mahu atau takut untuk menggunakan tandas.

Akibat dari kesakitan yang dirasai ketika proses membuang air besar semasa sembelit, ini menjadikan kanak-kanak cenderung mengelakkan diri untuk ke tandas. Masalah ini juga boleh berlaku jika memakan makanan tertentu seperti produk tenusu.

Untuk individu dewasa yang lebih berusia, masalah ini akan kerap dihadapi terutama jika mereka kurang aktif.

Gaya hidup yang sibuk; tidak makan serat atau minum air secukupnya, tekanan, kurang bersenam, perubahan rutin harian, tidak menghiraukan keinginan atau rasa untuk ke bilik air adalah penyebab timbulnya masalah sembelit ini.

Antara faktor lain yang menyebabkan sembelit:

  • Diet rendah serat (diet tinggi daging, susu atau keju)
  • Dehidrasi
  • Melancong atau berjalan jauh
  • Pengambilan ubatan tertentu
  • Kehamilan
  • Masalah kesihatan

Simptom

Kekerapan membuang air besar adalah berbeza bagi setiap individu, sesetengahnya mungkin akan membuang 3 kali sehari, sementara yang lain mungkin 3 kali seminggu. Walau bagaimanapun, anda mungkin sembelit jika mengalami simptom berikut:

  • Kurang 3 kali seminggu membuang air besar
  • Najis keras
  • Kesakitan semasa membuang air besar
  • Tetap merasa kenyang walaupun selepas membuang air besar
  • Mengalami masalah rektum tersumbat

Siapa berisiko mengalami sembelit?

Pengambilan diet yang tidak seimbang, kurang bersenam adalah faktor utama sembelit. Anda mungkin berdepan risiko yang lebih tinggi jika anda:

  • Berusia 65 tahun dan ke atas. Individu dewasa lebih berusia cenderung untuk kurang aktif secara fizikal, mempunyai masalah kesihatan dan kurang mengamalkan diet pemakanan yang sihat.
  • Tidak banyak bergerak. Individu yang dalam keadaan perubatan tertentu, mengalami kecederaan saraf tunjang.
  • Wanita dan kanak-kanak. Individu wanita lebih kerap berdepan masalah sembelit berbanding lelaki, dan kanak-kanak lebih banyak berdepan isu ini berbanding individu dewasa.
  • Hamil. Perubahan hormon dan tekanan pada usus dari bayi yang meningkat setiap hari boleh mengakibatkan sembelit.

Tip merawat

Ubah diet pemakanan dan tingkatkan aktiviti fizikal adalah cara paling mudah dan berkesan untuk merawat sembelit. Anda cuba boleh mencuba teknik berikut:

  • Perbanyakan minum air kosong, untuk menghidratkan badan.
  • Hadkan pengambilan alkohol dan minuman berkafein.
  • Tambahkan makanan serat dalam diet anda, seperti buahan dan sayuran, bijirin dan kekacang.
  • Kurangkan makanan serat rendah seperti daging, susu, keju dan makanan diproses.
  • Bersenam, berjalan, berenang atau pun berbasikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, 5 kali seminggu.
  • Jika merasa ingin membuang air, jangan berlengah.
  • Tambahan supleman serat jika perlu.
  • Gunakan julap. Pastikan anda mendapat nasihat dan berbincang dengan doktor.
  • Cuba menambah probiotik dalam diet anda, seperti yang terdapat dalam yogurt.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan