Jika anda mengalami masalah malabsorpsi teruk, najis yang terapung akan turut mengeluarkan bau yang sangat busuk serta kelihatan berminyak.
Antara punca kepada masalah malabsorpsi adalah jangkitan pada saluran gastrousus. Ia boleh berlaku disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria.
Lazimnya, jangkitan ini akan hilang tanpa sebarang rawatan.
Keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan najis terapung
Terdapat beberapa jenis masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan simptom najis terapung. Antaranya adalah:
- Penyakit seliak: Ini merupakan keadaan kesihatan yang menyebabkan kerosakan pada lapisan permukaan usus kecil apabila anda mengambil makanan yang mengandungi gluten. Gluten adalah sejenis protein yang lazim dijumpai pada produk makanan bergandum. Tiada rawatan definitif bagi keadaan ini dan ia hanya boleh dikawal jika anda elak makanan bergluten.
- Fibrosis sistik: Ini adalah keadaan kesihatan kronik yang diwarisi. Ia menyebabkan terhasilnya lendiran mukus secara berlebihan pada peparu dan saluran pencernaan. Keadaan ini bukan sahaja akan menyebabkan masalah pernafasan, malah najis terapung berikutan halangan kepada pankreas untuk mencerna makanan sepenuhnya untuk tujuan penyerapan.
- Sindrom usus pendek: Keadaan ini berlaku apabila usus tidak boleh menyerap nutrien dengan betul. Sindrom ini lazimnya berpunca daripada penyakit usus. Ia juga boleh berlaku sekiranya sebahagian daripada usus kecil hilang akibat kecacatan genetik atau dibuang melalui kaedah pembedahan.
- Masalah genetik yang jarang didiagnosis. Terdapat banyak keadaan kesihatan yang berpunca daripada kecacatan genetik yang boleh dimanifestasikan sebagai najis terapung. Antaranya adalah sindrom Bassen-Kornzweig (keadaan yang menghalang penyerapan lemak oleh usus), atresia biliari (saluran hempedu tidak terbentuk dengan elok) dan masalah kurang enzim disaccharidase (badan tidak berupaya untuk mencerna gula dan kanji).
Rawatan untuk sembuh daripada simptom

Sama seperti kaedah rawatan bagi masalah kesihatan lain, kesembuhan dari simptom akan bergantung kepada diagnosis dan rawatan terhadap masalah kesihatan asal yang menyebabkan simptom.
Sebagai contoh, jika anda mengalami masalah seliak, anda perlu menjauhi makanan yang mengandungi gluten untuk kembali normal.
Bagi masalah lain seperti fibrosis sistik, rawatan lebih tertumpu kepada memberi kelegaan simptom kepada pesakit.
Sekiranya doktor mengesyaki anda menghidap masalah kesihatan lain, mereka akan membuat ujian darah bagi melakukan diagnosis berkaitan dengan simptom najis terapung.
Jika ia berlaku disebabkan oleh jangkitan, bergantung kepada jenis hidupan mikro, anda boleh dipreskripsikan dengan antibiotik, antiviral (jika perlu) dan dinasihatkan untuk membuat perubahan amalan pemakanan.
Boleh jadi najis anda begitu berikutan gaya pemakanan tidak sihat maka anda digalakkan untuk menyimpan rekod makanan dan pergerakan usus (buang air besar) dan ambil perhatian jika najis anda terapung.
Tabiat ini boleh membantu anda untuk mengenal pasti jika makanan adalah punca kepada masalah tersebut.
Konklusi
Najis yang sihat kebiasaannya tenggelam di dalam jamban. Pun begitu, bukan semua najis terapung perlu dianggap sebagai simptom kepada penyakit serius.
Anda boleh membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengenal pasti punca berlakunya masalah tersebut.
Jika ia boleh dirawat, dapatkan rawatan. Kalau tidak, pastikan anda menuruti saranan doktor untuk memastikan simptom tersebut tidak mempengaruhi tahap kerisauan anda.
Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan, sila rujuk kepada doktor perubatan bertauliah untuk nasihat kesihatan.