backup og meta

4 Punca Anak Kerap Sembelit, Antara Sebabnya Ibu Suka Bagi Makanan Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 05/09/2022

    4 Punca Anak Kerap Sembelit, Antara Sebabnya Ibu Suka Bagi Makanan Ini!

    Corak usus setiap kanak-kanak adalah berbeza seperti juga orang dewasa dan suatu kebiasaan pada anak anda boleh menjadi suatu yang berbeza bagi kanak-kanak yang lain. Perkara lazim yang ibu bapa sering berdepan dalam membesarkan anak adalah masalah sembelit kanak-kanak.

    Kebanyakan kanak-kanak mempunyai pergerakan usus sebanyak 1 atau 2 kali sehari. Sementara kanak-kanak lain 2 atau 3 kali sehari sebelum melepaskan najis yang normal.

    Kanak-kanak yang mengalami masalah sembelit mungkin mempunyai najis yang keras, kering, dan sukar atau menyakitkan. Keadaan ini mungkin berlaku setiap hari atau kurang kerap.

    Walaupun sembelit boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan, ia biasanya satu keadaan yang bersifat sementara dan boleh dirawat.

    Simptom masalah sembelit kanak-kanak

    Bayi yang secara eksklusif menyusu susu ibunya sahaja, tidak akan mempunyai masalah seperti ini, kerana hampir semua nutrien daripada susu ibu akan diserap.

    Namun berbeza kepada bayi yang diberi susu formula, mereka mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk diserang masalah sembelit.

    Malah, masalah sembelit kanak-kanak dan bayi turut berlaku disebabkan makanan tertentu yang dimakan selepas makanan pepejal diperkenalkan.

    masalah sembelit kanak-kanak

    Berikut simptom-simptom masalah sembelit kanak-kanak yang anda perlu perhatikan:

    #1 Buang air besar

    Kekerapan bayi membuang air besar pada setiap hari akan ada turun naik, terutama apabila anda memperkenalkannya makanan baru.

    Jika bayi anda tidak membuang air besar selama beberapa hari dan kemudian mempunyai najis yang keras, ia kemungkinan petanda mereka mengalami sembelit.

    Masalah sembelit bukan sahaja bergantung kepada jumlah kekerapan membuang air besar, tetapi juga kepada keadaan najis itu juga.

    #2 Menahan

    Sekiranya berlaku perubahan wajah bayi anda ketika sedang membuang air besar, seperti kelihatan tegang atau berkerut, ia mungkin tanda sembelit.

    Bayi yang berdepan masalah ini biasanya akan menghasilkan najis seperti tanah liat yang sangat keras.

    Najis keras boleh menyukarkan proses membuang air besar, bayi anda berkemungkinan akan menangis atau menjadi tegang.

    #3 Darah pada najis

    Sekiranya anda terlihat garis-garis darah merah di atas najis bayi anda, ia adalah kerana bayi mengalami kesukaran ketika proses membuang najis dan menyebabkan luka di sekeliling dinding dubur.

    #4 Perut jadi keras

    Perut keras boleh menjadi tanda sembelit. Kembung dan tekanan yang disebabkan sembelit boleh menyebabkan bayi anda cepat berasa kenyang.

    Selain itu, mereka juga mengalami sakit pada bahagian abdomen seperti kejang perut, sakit perut atau loya.

    #5 Tidak mahu makan

    Kehilangan selera pada bayi anda mungkin disebabkan ketidakselesaan yang dihadapinya.

    Malah perut yang kembung juga boleh menyebabkannya tidak mahu makan.

    Selain daripada simptom-simptom di atas, anda juga dapat melihat bahawa anak anda menyilang kakinya, riak wajah tidak menyenangkan, meregang, menepuk punggungnya, atau memusingkan tubuhnya di atas lantai.

    Punca masalah sembelit kanak-kanak

    masalah sembelit kanak-kanak

    Sembelit paling biasa berlaku apabila bahan buangan atau najis bergerak terlalu perlahan melalui saluran penghadaman, menyebabkan najis menjadi keras dan kering.

    Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada masalah sembelit kanak-kanak, termasuk:

    • Tahan air besar. Anak anda mengabaikan keinginan untuk membuang air besar kerana dia takut akan tandas atau tidak mahu berhenti daripada bermain. Sesetengah kanak-kanak akan menahan buang air besar apabila mereka jauh dari rumah kerana mereka tidak selesa menggunakan tandas awam
    • Perubahan diet. Kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan serat boleh menyebabkan sembelit. Salah satu sebab biasa menyebabkan kanak-kanak sembelit apabila mereka bertukar daripada diet cecair semua kepada diet yang mengandungi makanan pepejal
    • Perubahan rutin. Sebarang perubahan pada rutin anak anda – seperti melancong, cuaca panas atau stres – boleh mengganggu fungsi usus. Kanak-kanak juga lebih cenderung untuk mengalami sembelit apabila mereka mula bersekolah luar dari rumah
    • Ubat-ubatan. Ubat antidepresan dan pelbagai ubat yang lain boleh menyumbang kepada sembelit

    Pemakanan punca menyebabkan masalah sembelit kanak-kanak

    Selain daripada punca-punca di atas, pemakanan memainkan fungsi yang penting dalam kesihatan anak anda, terutama semasa tahun-tahun terawal kehidupannya.

    Sesetengah jenis makanan tertentu boleh menyebabkan sembelit dalam kalangan bayi. 

    • Makanan manis

    Gula-gula, biskut, dan snek adalah antara makanan manis yang digemari oleh kanak-kanak.

    Jenis-jenis makanan sebegini selalunya mengandungi amaun gula yang banyak dan juga kurang fiber (serat).

    Tambahan pula, gula-gula juga dianggap menjadi penyebab anoreksia dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Jadi, anda perlu (dan mesti) mengehadkan makanan manis dalam diet anak anda.

    • Produk tenusu

    Mentega, keju, krim, dan produk tenusu lain menyediakan amaun kalsium dan vitamin D yang banyak untuk perkembangan tulang kanak-kanak.

    Akan tetapi, jenis makanan ini juga boleh menyebabkan sembelit jika kanak-kanak mengambilnya secara berlebihan.

    Ini kerana susu dan produk tenusu selalunya mengandungi amaun gula yang tinggi dan serat yang amat sedikit.

    Bagi mendapatkan kesan yang elok dengan pengambilan produk tenusu, ambilnya dalam kuantiti yang sederhana.

    masalah sembelit kanak-kanak

    • Pisang

    Pisang ialah salah satu buah-buahan yang berkhasiat dan banyak manfaat.

    Pisang mengandungi banyak vitamin serta nutrien. Namun, kanak-kanak yang masih belum matang sistem penghadamannya, akan mengalami sembelit jika mengambil terlalu banyak pisang.

    Anda boleh memberikan anak anda sebiji pisang pada selang 2-3 hari sekali.

    Rawatan masalah sembelit kanak-kanak

    Bergantung kepada keadaan, doktor anak anda akan menyarankan:

    • Makanan tambahan serat tanpa preskripsi atau pelembut najis. Jika anak anda tidak mendapat serat yang cukup di dalam diet, tambahkan makanan tambahan serat tanpa preskripsi seperti Metamucil atau Citrucel. Walau bagaimanapun, anak anda perlu minum sekurang-kurangnya 32 auns (lebih kurang 1 liter) air setiap hari bagi membolehkan produk ini berfungsi dengan baik. Periksa dengan doktor bagi mengetahui dos yang tepat untuk umur dan berat anak anda
    • Supositori gliserin boleh digunakan untuk melembutkan najis bagi kanak-kanak yang tidak boleh menelan pil. Tanya doktor kanak-kanak mengenai cara yang betul untuk menggunakan produk ini
    • Laksatif atau enema. Jika bahan najis yang terkumpul menyebabkan sekatan, doktor akan menyarankan supaya menggunakan laksatif atau enema bagi membantu menghilangkan sekatan tersebut. Contohnya termasuklah polyethylene glycol (Glycolax, MiraLax, lain-lain) dan minyak mineral

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Farah Aziz · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan