backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Ketuat Kelamin Angkara Jangkitan HPV

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/04/2023

    Ketuat Kelamin Angkara Jangkitan HPV

    Apakah punca ketuat pada kemaluan? Adakah ia berlaku kerana jangkitan virus? Untuk mengetahui jawapannya, teruskan membaca artikel.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.

    Apakah Ketuat Kelamin?

    Ketuat di bahagian kelamin merujuk kepada pertumbuhan tisu-tisu kulit berkeratin di sekitar bahagian kemaluan.

    Untuk lelaki, ianya boleh tumbuh di mana-mana bahagian kulit sepanjang zakar dan juga pada skrotum, manakala untuk wanita, ianya mampu tumbuh di sekitar bahagian labia dan kelentit.

    Rupa bentuk ketuat pada kemaluan ini lazimnya dicirikan sebagai mirip bentuk dan struktur sayur cauliflower dan ianya akan rasa lembut atau sedikit pejal apabila disentuh (bergantung kepada ketumpatan keratin).

    Ianya boleh tumbuh sebagai satu ketumbuhan sahaja atau lebih daripada satu ketumbuhan pada mana-mana satu kawasan.

    Ketuat kelamin ini juga boleh wujud dalam pelbagai saiz – sekecil-kecil 1 hingga 5 mm, kepada saiz yang lebih besar dan seolah-olah mempunyai tangkai (stalk).

    Penting untuk diingatkan, ianya juga boleh berlaku di bahagian-bahagian badan selain daripada bahagian kelamin (sekitar dubur dan paha) dan juga bahagian dalaman struktur badan (dalam salur uretra, dinding faraj dan dinding lubang dubur).

    ketuat pada kemaluan

    Ketuat pada bahagian tubuh lain

    Ketuat pada kemaluan adalah biasa.

    Ia lazimnya boleh ditemui di bahagian permukaan kulit dan untuk ketumbuhannya yang boleh dilihat dari luaran ini (external genital warts), dalam terma perubatannya, ianya dipanggil sebagai Condyloma acuminata.

    Condyloma acuminata adalah salah satu daripada keadaan atau penyakit akibat jangkitan kelamin yang paling lazim di dunia

    Manakala ketuat yang disebabkan HPV ini boleh tumbuh pada bahagian tekak, dipanggil papilomatosis pernafasan berulang (recurrent respiratory papillomatosis,RRP).

    Ia satu keadaan yang jarang berlaku dan boleh memberi kesan kepada suara menyebabkan serak (simptom biasa), batuk kronik dan masalah pernafasan.

    Pembedahan adalah kaedah perubatan paling biasa, walaupun ketuat mungkin akan kembali.

    Ketuat pada kemaluan punca daripada virus HPV

    Keadaan ini berpunca daripada jangkitan spesis-spesis tertentu virus HPV (Human Papilloma virus). Terdapat lebih daripada 170 jenis virus HPV yang telah dikenal pasti.

    Daripada jumlah tersebut, terdapat lebih daripada 40 jenis virus HPV yang ditularkan melalui aktiviti seks.

    Tambahan lagi, terdapat kaitan yang kuat antara spesis-spesis virus HPV tertentu dengan keadaan-keadaan kesihatan yang khusus.

    Sebagai contoh, virus HPV jenis 6 dan virus HPV jenis 11 jarang membawa kepada penyakit barah pangkal rahim (kanser serviks) namun kedua-dua virus HPV ini bertanggungjawab dalam 90% kes ketuat kelamin.

    Sebagai rumusan, hanya sekitar 49 jenis virus HPV yang menyebabkan jangkitan melalui aktiviti seks dan hanya 12 jenis yang mempunyai kaitan dengan penyakit kanser.

    Baca juga:

    Adakah seks sahaja punca ketuat pada kemaluan?

    Jangkitan virus HPV adalah disebabkan oleh seks penetratif yang merujuk kepada seks oral, seks anal dan juga seks melalui faraj.

    Penting untuk diingati bahawa sekiranya anda telah dijangkiti dengan virus HPV, anda masih boleh menyebarkannya kepada orang lain melalui hubungan seks walaupun anda tidak mempunyai ketumbuhan ketuat pada kemaluan ataupun mempunyai apa-apa simptom yang berkaitan dengannya.

    Selain itu, wanita mengandung juga berupaya untuk menyebabkan jangkitan kepada bayi mereka, sama ada dalam tempoh mengandung, mahupun ketika proses kelahiran.

    Terdapat juga kajian yang mengenal pasti penyebaran virus HPV melalui sentuhan tangan yang telah tercemar, yang membawa virus itu daripada bahagian badan yang lain (tangan) ke bahagian yang lain (kemaluan).

    Kaedah ini juga menjelaskan mengapa kanak-kanak mempunyai ketumbuhan ketuat pada kawasan dubur dan paha mereka iaitu akibat sentuhan tangan mereka sendiri.

    Tambahan lagi, berkongsi pakaian lembap dan basah seperti pakaian renang dan juga tuala, turut dikenal pasti mampu untuk menyebarkan jangkitan.

    ketuat pada kemaluan

    Wujud Tak Disedari, Hilang Tapi Kembali

    Dalam majoriti kes ketuat disebabkan jangkitan HPV, ketumbuhan ketuat kelamin boleh sembuh dengan sendirinya.

    Walaupun 90% daripada jangkitan HPV akan hilang dan dibersihkan oleh sistem imun badan dalam tempoh 2 tahun pertama jangkitan.

    Pun begitu terdapat juga keadaan di mana virus ini akan kekal pendam dalam badan dan hanya mula menunjukkan simptom berbulan-bulan atau bertahun-tahun kemudiannya.

    Jika jangkitan ini tidak hilang dengan sendirinya, kebanyakannya tidak akan menghasilkan apa-apa simptom mahupun gejala.

    Namun yang demikian, sekiranya terdapat simptom akibat ketuat yang kronik, penghidap lazimnya akan mengadu rasa sakit, rasa gatal juga dan rasa tidak selesa. Tambahan lagi, ketuat-ketuat ini juga boleh berdarah akibat luka geseran.

    Selain itu, untuk mereka yang pernah menghidap jangkitan HPV, ketumbuhan ketuat masih boleh berlaku semula dan ia mungkin disebabkan oleh jangkitan baru atau pengaktifan jangkitan pendam yang lama.

    Sekiranya terdapat sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai ketuat pada kemaluan HPV ini, berundinglah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 03/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan