“Saya tak merokok, tapi saya ada masalah pernafasan kronik.” Itulah keluhan yang sering diungkapkan oleh mereka yang didiagnosis dengan penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).
Sememangnya kita tahu tabiat merokok merupakan faktor risiko kepada pelbagai jenis masalah pernafasan.
Antara yang sering didiagnosis dalam kalangan perokok selain daripada kanser peparu adalah masalah COPD.
COPD adalah satu ungkapan umum yang menerangkan keadaan kesihatan di mana terdapat proses keradangan kekal pada struktur bronkus (saluran pernafasan ke peparu).
Ia boleh menyebabkan kerosakan pada kantung udara (alveoli) yang boleh mengakibatkan masalah sukar bernafas.
Namun, apa yang mungkin anda tidak tahu adalah COPD bukanlah satu keadaan kesihatan yang khusus untuk perokok.
Mereka yang tidak merokok (perokok pasif) juga boleh didiagnosis dengan masalah kesihatan ini.
Faktor risiko perokok pasif yang meningkatkan risiko masalah pernafasan COPD
Terdapat beberapa faktor risiko COPD yang boleh berkait dengan golongan yang tidak merokok:
- Terdedah kepada asap rokok: Rokok sememangnya racun yang mampu membunuh manusia secara perlahan. Namun, ia bukan sahaja mempengaruhi tahap kesihatan perokok. Ia juga boleh menyebabkan masalah kesihatan pada mereka yang terhidu asap rokok.
- Pencemaran udara: Bukan semua orang tahu bahawa pencemaran udara boleh menyebabkan masalah pernafasan seperti COPD. Walaupun keadaan ini agak jarang berlaku, namun bagi mereka yang terdedah kepada udara kotor dalam jangka masa panjang, individu tersebut boleh mengalami masalah kesihatan tersebut.
- Masalah genetik: Walaupun COPD sering dianggap sebagai satu masalah kesihatan yang berpunca daripada faktor persekitaran, tapi faktor genetik juga boleh memainkan peranan. Kajian menunjukkan kira-kira 5 peratus pesakit COPD mempunyai masalah genetik yang menyebabkan badan mereka tidak menghasilkan protein alpha-1-antitrypsin yang cukup. Oleh sebab protein tersebut merupakan komponen penting yang melindungi peparu, penghasilannya pada kuantiti sedikit boleh menyebabkan organ tersebut rosak sehingga berlakunya COPD.
- Usia: Individu berusia 40 tahun dan ke atas berisiko untuk didiagnosis dengan masalah COPD.
- Asma: Kajian pada tahun 2015 oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) menunjukkan mereka yang mempunyai masalah asma berisiko untuk didiagnosis dengan COPD.
- Faktor lain seperti tabiat merokok semasa hamil, berat lahir rendah, terdedah kepada produk tembakau dan masalah jangkitan semasa kanak-kanak.
Apakah gejala yang bakal dialami oleh bukan perokok yang didiagnosis dengan masalah COPD?
Gejala bagi masalah COPD sama sahaja tidak kiralah anda merokok ataupun perokok pasif.