backup og meta

Jenis Dan Tahap Kanser Paru-Paru, Ia Penting Untuk Tahu Di Mana Kanser Bermula

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2023

    Jenis Dan Tahap Kanser Paru-Paru, Ia Penting Untuk Tahu Di Mana Kanser Bermula

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Paru-Paru, sila dapatkannya di sini.

    Jenis dan tahap kanser paru-paru penting untuk menentukan tempat kanser bermula dan tahap berbahaya kanser tersebut, sama ada ia telahpun merebak ke organ lain ataupun tidak.  

    Pesakit yang baru didiagnosis dengan kanser paru-paru mungkin sedang berada dalam situasi yang genting di dalam hidup. Disebabkan kanser paru-paru sukar untuk dikesan, kebanyakan pesakit yang menghidap kanser paru-paru hanya didiagnosis setelah kanser yang dialami telah merebak.

    Penting untuk doktor ketahui tahap kanser yang pesakit alami. Informasi ini dapat membantu doktor untuk menentukan rawatan yang terbaik bagi pesakit.

    Doktor juga dapat menentukan prognosis yang bersesuaian dengan keadaan pesakit.

    Kanser paru-paru terdiri daripada dua jenis iaitu kanser paru-paru bukan sel kecil (non-small cell lung cancer – NSCLC) dan kanser paru-paru sel kecil (small cell lung cancer – SCLC).

    Kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC)

    Kanser paru-paru bukan sel kecil merupakan jenis kanser paru-paru yang paling lazim berlaku. Hampir 80 hingga 85% kes kanser paru-paru terdiri daripada jenis ini.

    Ada tiga jenis kanser paru-paru bukan sel kecil iaitu adenocarcinoma, squamous cell carcinoma dan large cell carcinoma.

    • Adenocarcinoma bermula pada sel yang melapisi alveoli. Sel ini mengeluarkan mukus untuk melembapkan permukaan paru-paru.
    • Squamous cell carcinoma ialah kanser yang terbentuk pada sel nipis yang melapisi bahagian dalam paru-paru. Kanser ini turut dikenali sebagai epidermoid carcinoma.
    • Large cell carcinoma pula merupakan kanser yang bermula pada sel yang bersaiz besar. Sel ini nampak besar dan abnormal ketika diperhatikan di bawah mikroskop kerana telah dijangkiti kanser.

    Sama seperti penyakit jenis lain, kanser paru-paru bukan sel kecil mempunyai tahap yang tersendiri. Tahap tersebut bermula daripada tahap 0 hingga tahap 4.

    Kanser paru-paru tahap 0

    Kanser yang berlaku pada tahap 0 dikenali sebagai kanser ‘in-situ’. Ini bermaksud, kanser tersebut masih belum merebak ke luar paru-paru ataupun menjangkiti tisu yang berdekatan.

    Kanser paru-paru tahap 1

    Kanser paru-paru tahap 1 bermaksud kanser masih lagi bersaiz kecil dan belum merebak ke bahagian paru-paru yang lain. Pada tahap ini, doktor boleh melakukan pembedahan untuk membuang sel kanser tersebut daripada paru-paru pesakit.

    Kanser paru-paru tahap 1 dibahagikan kepada 2 tahap lain berdasarkan saiz tumor tersebut.

    • Tahap 1A – Tumor bersaiz lebih kecil daripada 3 sentimeter. Tumor tahap 1A boleh dibahagikan kepada tahap lain seperti tahap 1A1, 1A2, ataupun 1A3 berdasarkan saiz tumor yang dikesan.
    • Tahap 1B – Saiz tumor melebihi 3 sentimeter tetapi kurang daripada 4 sentimeter.

    Kanser paru-paru tahap 2

    Kanser tahap 2 boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

    • Tahap 2A – Tumor lebih besar daripada 4 sentimeter tetapi lebih kecil daripada 5 sentimeter. Pada waktu ini, kanser masih belum merebak ke bahagian kelenjar limfa yang berdekatan.
    • Tahap 2B – Tumor bersaiz kurang daripada 5 sentimeter yang telah merebak ke bahagian nodus limfa. Tahap yang sama juga boleh digunakan untuk mengelaskan tumor yang bersaiz lebih daripada 5 sentimeter tetapi masih belum merebak ke bahagian nodus limfa yang lain.

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru tahap 2 boleh melakukan pembedahan untuk membuang sel kanser. Namun, selalunya rawatan yang diberikan akan dilakukan secara kombinasi dengan rawatan lain yang bersesuaian.

    Kanser paru-paru tahap 3

    Kanser tahap 3 boleh dibahagikan kepada 3 bahagian kecil iaitu tahap 3A, 3B atau 3C. Selalunya, tahap kanser bergantung kepada saiz tumor dan lokasi nodus limfa yang telah dijangkiti oleh kanser.

    Tetapi, kanser tahap 3 masih belum merebak ke bahagian badan yang lain.

    Tumor tahap 3A dan 3B sukar untuk dibuang daripada badan pesakit. Tumor tahap 3C pula tidak boleh dibuang walaupun melalui pembedahan.

    Walau bagaimanapun, kanser tahap 3 yang tidak boleh dirawat menggunakan kaedah pembedahan selalunya boleh dirawat dengan rawatan lain seperti terapi sistemik dan terapi radiasi.

    Dari segi saiz, kanser tahap 3 boleh dikelaskan mengikut kategori berikut:

    • Tahap 3A Tumor bersaiz antara 3 hingga 7 sentimeter dan telah merebak ke bahagian kelenjar limfa yang berdekatan.
    • Tahap 3BTumor bersaiz lebih daripada 7 sentimeter dan telah merebak ke tisu dan nodus limfa yang berdekatan.

    Kanser paru-paru tahap 4

    jenis penyakit paru paru

    Kanser yang telah mencapai tahap 4 bermaksud kanser tersebut telahpun merebak ke (1) paru-paru yang sebelah lagi, (2) cecair yang mengelilingi paru-paru ataupun hati, ataupun (3) organ badan yang lain melalui saluran darah.

    Apabila sel kanser telah memasuki salur darah, ia boleh menjangkiti mana-mana bahagian badan yang lain. Namun, kanser paru-paru bukan sel kecil lebih berpotensi untuk merebak ke bahagian otak, tulang, hati, dan kelenjar adrenal.

    Kanser tahap 4 boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

    • Tahap 4A – Kanser telahpun merebak di seluruh bahagian dada ataupun telah menjangkiti organ lain.
    • Tahap 4B – Kanser telah merebak luar kawasan dada kepada 1 organ ataupun lebih.

    Baca juga:

  • Rawatan Kanser Paru-Paru, Ini Pembedahan & Ubatan Yang Perlu Pesakit Kanser Tahu
  • Punca Kanser Paru-Paru : Individu Dengan Risiko Ini Harus Lebih Berjaga-Jaga
  • Kanser paru-paru sel kecil (SCLC)

    Kanser paru-paru sel kecil bermula pada bahagian paru-paru dan membesar secara abnormal hingga membentuk ketulan yang turut dikenali sebagai tumor ataupun lesi. Selalunya, SCLC bermula pada bahagian sel saraf ataupun sel yang menghasilkan hormon pada bahagian paru-paru.

    Seperti namanya, sel kanser ini berbentuk kecil ketika ia diperiksa di bawah mikroskop. Disebabkan limfa mengalir kebahagian tengah paru-paru sebelum keluar, SCLC kerap dijumpai pada bahagian tengah paru-paru.

    Kanser paru-paru sel kecil merupakan jenis kanser paru-paru yang paling agresif. Selalunya, SCLC hanya dikesan dalam kalangan golongan yang merokok. Kanser ini jarang menyerang individu yang tidak merokok.

    Walaupun sel kanser bersaiz kecil, kanser ini boleh membesar dengan pantas dan membentuk tumor yang besar. Tumor tersebut juga berupaya untuk merebak (metastasis) dengan pantas ke bahagian badan yang lain.

    Kanser paru-paru sel kecil terdiri daripada dua tahap – tahap terhad dan tahap ekstensif. Kebanyakan doktor menggunakan sistem ini untuk menentukan rawatan yang bersesuaian dengan kanser yang pesakit hadapi.

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru sel kecil yang masih belum merebak, peratusan untuk pesakit tersebut terus hidup dalam masa 5 tahun ialah 27%. Pesakit yang menghidap kanser paru-paru yang telah merebak pula mempunyai peratusan yang lebih rendah iaitu 16%.

    Walau bagaimanapun, masih ada harapan bagi pesakit kanser paru-paru untuk hidup lebih lama daripada jangkaan. Ada pesakit yang terus hidup bertahun-tahun lamanya selepas diagnosis.  

    1. Tahap terhad (limited stage):

    Kanser paru-paru tahap terhad bermaksud kanser tersebut masih lagi berada pada sebelah bahagian paru-paru. 1 daripada 3 pesakit yang didiagnos dengan SCLC menghidap kanser tahap terhad.

    Pesakit yang menghidap kanser ini boleh dirawat dengan terapi radiasi kerana bahagian yang dijangkiti kanser terletak pada satu sisi sahaja.

    Rawatan seperti kemoterapi dan terapi radiasi boleh dilakukan untuk melawan kanser jenis ini.

    2. Tahap ekstensif (extensive stage):

    2 daripada 3 pesakit yang menghidap penyakit kanser paru paru jenis SCLC sudah mencapai tahap ekstensif ketika mereka didiagnos. Kanser sudah mencapai tahap ekstensif apabila kanser telahpun merebak ke seluruh paru-paru ataupun ke organ yang lain.

    Pesakit yang menghidap kanser paru-paru tahap ekstensif tidak akan memperoleh sebarang manfaat daripada rawatan melainkan untuk mengawal kanser daripada terus merebak.

    Oleh itu, doktor selalunya akan mencadangkan kemoterapi kepada pesakit untuk mengawal kanser tersebut.

    Kesimpulan

    jenis penyakit paru paru

    Kanser paru-paru sukar untuk dirawat kerana ia selalunya dikesan pada tahap yang terakhir. Oleh itu, penting untuk pesakit sentiasa peka dengan simptom-simptom seperti:

    1.       Batuk yang tidak sembuh
    2.       Batuk berdarah
    3.       Sering sesak nafas
    4.       Sakit dada
    5.       Suara jadi garau
    6.       Berat badan susut mendadak
    7.       Sakit tulang
    8.       Pening kepala

    Jika anda mengalami simptom di atas dalam jangkamasa yang lama, anda perlu berjumpa doktor secepat mungkin. Penyakit kanser paru-paru, tidak kiralah jenis apa pun lebih mudah untuk diubati ketika ia masih berada pada tahap yang redah. 

    Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah, namun anda pasti dapat lakukannya dengan bantuan pihak yang lebih pakar.

    Ini kerana doktor boleh mencadangkan strategi yang bersesuaian jika anda ingin berhenti merokok. Sekaligus risiko kanser paru-paru akan turun dengan mendadak sejurus sahaja anda berhenti daripada tabiat yang tidak sihat ini. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan