Berhenti Merokok dengan 5 Langkah Ini

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Walaupun fakta telah pun menunjukkan bahawa merokok meningkatkan risiko kanser paru-paru dan pelbagai masalah kesihatan lain, merokok tetap menjadi salah satu tabiat yang paling sukar untuk ditinggalkan. Nikotin, salah satu daripada 4,000 bahan kimia yang terdapat dalam asap daripada produk tembakau memang diketahui boleh menyebabkan ketagihan.

Kebanyakan perokok tahu bahawa rokok berbahaya dan menyatakan hasrat untuk mengurangkan atau berhenti menggunakannya, tetapi ramai yang tewas dalam beberapa hari percubaan. Malah, hanya kurang daripada tujuh peratus daripada mereka yang cuba berhenti sendiri mencapai sekurang-kurangnya setahun tanpa rokok. Berhenti merokok sangat mencabar bagi perokok biasa mahupun perokok tegar. Oleh itu, jika anda benar-benar komited untuk berhenti merokok, lengkapkan diri anda dengan rancangan dan sokongan yang betul untuk membantu anda mencapai matlamat yang bakal mengubah hidup anda ini.

Berikut adalah 5 langkah untuk berhenti merokok, dipendekkan sebagai akronim START:

Langkah 1: Set (Tetapkan): Tetapkan tarikh berhenti

Langkah pertama untuk berhenti merokok adalah untuk membuat keputusan untuk berhenti! Walaupun anda telah gagal sebelum ini, jangan biarkan masa lalu menghalang matlamat anda. Lebih kerap anda cuba berhenti, semakin besar peluang anda untuk berjaya. Selain menegaskan kemahuan anda, bina rancangan untuk membantu anda berpegang pada keputusan tersebut. Bagaimana? Mulakan dengan menetapkan tarikh berhenti, sebaiknya dalam dua minggu akan datang. Ini akan memberi anda masa yang cukup untuk bersedia tanpa kehilangan motivasi untuk berhenti.

Jika anda kebiasaannya merokok di tempat kerja, cuba untuk berhenti pada hujung minggu agar anda mempunyai beberapa hari untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Sebaliknya, jika anda lebih kerap merokok pada hujung minggu, atau tempat kerja anda tidak membenarkan merokok, maka hari minggu akan menjadi pilihan yang lebih baik. Elakkan hari di mana anda berkemungkinan sibuk, tertekan, atau terdapat peristiwa istimewa yang boleh menambah keinginan merokok anda. Tuliskan tarikh berhenti anda dan perhatikannya setiap hari. Menantikan ketibaan tarikh ini dapat membantu anda membina keazaman anda.

Langkah 2: Tell (Beritahu): Beritahu satu dunia bahawa anda akan berhenti

Memberitahu keinginan anda untuk berhenti merokok kepada seluruh dunia boleh membantu mengukuhkan keazaman anda. Oleh itu, maklumkan rakan dan keluarga anda tentang rancangan anda dan beritahu mereka bahawa anda memerlukan sokongan dan dorongan mereka. Rakan anda boleh membantu mengalihkan perhatian anda daripada keinginan merokok. Maklumkan mereka bagaimana mereka dapat membantu. Mempunyai teman yang sama-sama mahu berhenti merokok juga boleh menjadi motivasi yang baik. Berjuang bersama dapat membantu anda mengatasinya dengan lebih baik. Selain itu, luangkan masa bersama orang-orang yang berjaya berhenti merokok dan minta nasihat mereka.

Langkah 3: Anticipate (Bersiap sedia): Bersiap sedia dengan cabarannya

Disebabkan nikotin daripada rokok menyebabkan ketagihan, meninggalkannya boleh menyebabkan tanda-tanda gian. Oleh itu, bersiap sedialah untuk menghadapi cabaran ini. Kebanyakan orang yang kembali merokok semula, berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan pertama. Oleh itu, adalah penting untuk anda menyibukkan diri dalam sebarang perkara yang boleh mengalihkan perhatian anda, terutamanya dalam dua minggu pertama. Jika anda boleh melalui dua minggu pertama ini, peluang untuk tetap berhenti merokok akan lebih tinggi. Libatkan diri dengan aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan kurang tekanan. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan anda tetapi juga boleh mengurangkan emosi negatif anda. Berpeluh juga boleh meningkatkan rasa sihat dan keupayaan mengawal diri anda, seterusnya mengurangkan keinginan anda untuk mencapai rokok.

Langkah 4: Remove (Alihkan): Alihkan pencetus rasa ingin merokok

Buang semua rokok dan produk tembakau dari rumah anda, kereta, dan tempat kerja. Jangan lupa juga untuk menyingkirkan pemetik api, bekas putung rokok dan mancis anda. Mempunyai kesan-kesan rokok juga tidak akan membantu anda. Oleh itu, basuh pakaian anda dan buang atau cuci sebarang benda yang berbau rokok. Basuh dan vakum kereta, langsir dan permaidani anda, serta stimkan perabot anda.

Kenal pasti dan elakkan perkara yang membuatkan anda mahu merokok, sama ada orang, tempat dan benda. Jangan duduk bersama perokok dan berada di tempat merokok terlalu lama. Mereka boleh mencetuskan rasa ingin merokok. Sebaliknya, luangkan masa dengan orang yang tidak merokok atau orang yang berjaya berhenti merokok.

Langkah 5: Talk (Cakap): Cakap dengan doktor atau ahli farmasi anda

Doktor anda boleh menetapkan ubat untuk membantu dengan tanda-tanda gian. Terapi penggantian nikotin, sebagai contoh, meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 50 hingga 70 peratus. Akan tetapi, ia hanya dapat menangani ketagihan fizikal kepada nikotin, bukan ketagihan perilaku atau psikologi untuk merokok. Jadi, menyertai program berhenti merokok atau mempunyai strategi berhenti merokok masih diperlukan.

Jika anda tidak dapat bertemu dengan doktor, anda boleh mendapatkan pelbagai produk penggantian nikotin daripada farmasi setempat, sama ada dalam bentuk tampalan, lozenges, dan gula-gula getah. Rujuk ahli farmasi anda untuk pilihan produk yang sesuai.

Mereka yang sedang menjalani misi berhenti merokok akan bergelut dengan diri sendiri. Oleh itu, raikan setiap hari yang berlalu tanpa anda mencapai sebatang rokok. Hadiahkan diri anda untuk semua pencapaian kecil yang telah anda capai. Memandangkan anda kini tidak lagi membazirkan wang untuk sekotak rokok, manfaatkannya untuk keinginan atau hobi yang lain. Ingat, anda lebih kuat daripada dorongan merokok anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut