home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

Azam Tahun Baru Melibatkan Kesihatan, Takkan Berjaya?

Azam Tahun Baru Melibatkan Kesihatan, Takkan Berjaya?

“Apa azam tahun baru?” Ini adalah soalan biasa setiap kali tibanya penghujung tahun. Ada yang mengatakan resolusi tahun baru berkaitan kesihatan sekadar hangat-hangat tahi ayam, betul ke?

Azam tahun baru vs kesihatan

Pada hari-hari terakhir di bulan Disember, anda bergembira menikmati pelbagai juadah makanan dengan matlamat menjelang 1 Januari, anda akan mula menjaga kesihatan anda. Bersenam, berdiet dan pengambilan air yang mencukupi menjadi antara keazaman anda.

Malangnya, keazaman itu hanya bertahan seminggu dan kemudian anda tidak lagi bersemangat untuk meneruskan resolusi tahun baru anda. Mengapa keadaan ini boleh berlaku sedangkan anda berkobar-kobar dengan azam sempena tahun baru?

Bagi pakar penjagaan kesihatan, mewujudkan azam tahun baru sebagai cara untuk memotivasikan diri dan mengubah gaya hidup anda bukanlah merupakan satu pendekatan yang paling berkesan.

Kesihatan tidak perlukan azam tahun baru

Pelik, bukan? Kerana kita sering percaya apabila kita mewujudkan azam tahun baru yang akan dilaksanakan bermulanya bulan Januari di tahun baru, akan memberikan satu semangat yang lebih baik.

Berikut adalah antara beberapa sebab mengapa Januari bukanlah masa yang sesuai untuk memulakan regimen penjagaan kesihatan yang baru:

Kadar statistik

Satu fakta yang perlu diketahui, hampir 80 peratus azam yang dicipta sempena tahun baru berkaitan dengan kesihatan tidak bertahan lama. Menurut seorang jurulatih profesional bertauliah di Tampa, Elise Auxier, majoriti individu yang melakukan keazaman pada bulan Januari, akan mula berhenti di pertengahan bulan Februari.

Tiada motivasi yang tepat

Setiap kali tiba tahun baru, kita biasa terdedah kepada tekanan budaya dan sosial untuk mendapat tahap kesihatan yang lebih baik. Sering kali ia melibatkan pengurangan berat badan, mula memasuki gim (gimnasium) atau mengamalkan tabiat pemakanan seimbang.

Walau bagaimanapun, menurut pengurus kaunseling tingkah laku di syarikat bimbingan kesihatan OPTIVIA, Nick Frye, ia adalah bergantung kepada motivasi diri dan terdapat dua konsep motivasi.

Anda sama ada didorong oleh konsep motivasi intrinsik atau motivasi ekstrinsik. Bagi motivasi intrinsik, anda didorong untuk mencapai matlamat anda kerana ia mencerminkan nilai-nilai peribadi dan aspirasi diri. Manakala motivasi ekstrinsik pula bermakna anda menumpukan matlamat anda berdasarkan apa yang individu lain fikir patut untuk anda capai.

Jadi jika anda memasang azam baru untuk melakukan perubahan dalam diri anda kerana individu di sekeliling anda berasakan anda perlu melakukannya, percayalah, ia tidak akan bertahan sehingga ke akhir tahun.

Mentaliti memberi tekanan

Adakalanya wujud satu tabiat yang sudah dilakukan sedari kecil, di mana anda mempercayai keesokan harinya apabila bangun dari tidur pada tanggal 1 Januari, anda boleh mengubah segala-galanya.

Mencipta keazaman baru dengan harapan bermula Januari, anda boleh mengubah segalanya hanya akan memberikan lebih banyak tekanan yang tidak wajar pada diri anda. Ini kerana ada masanya anda mungkin tidak akan dapat memenuhi matlamat yang telah anda tetapkan. Ia sekali gus, cenderung menyebabkan anda berputus asa terhadap resolusi tahun baru anda.

Jadi cara yang terbaik, cipta matlamat yang boleh anda capai hari demi hari. Ia pastinya akan membuatkan anda lebih bersemangat untuk melakukannya setiap hari. Elakkan daripada memberikan diri tekanan yang tidak perlu.

Azam terlalu besar

‘Tahun baru, diri yang baru’, kedengaran biasa bukan? Tetapi jika tahun lepas anda langsung tidak bersenam dan tahun ini anda terus berazam untuk bersenam sejam sehari, untuk lima hari seminggu, percayalah ia terlalu mustahil untuk dilakukan.

Menurut jurulatih kesihatan di Nashville, Christine Kenney, meletakkan keazaman yang terlalu tinggi untuk dicapai menjadi antara punca mengapa kebanyakan individu akhirnya melupakan azam tahun baru yang ditetapkan.

Jurulatih kesihatan ini menyarankan agar anda menetapkan keazaman yang lebih kecil dan lebih mudah untuk dicapai. Malahan, Christine percaya perubahan yang kecil itu akan lebih memberikan kesan yang besar.

Segalanya pada Januari

Setiap kali tiba Januari, gim pastinya akan penuh dan padat seperti sardin. Itu merupakan pemandangan biasa apabila tiba tahun baru.

Bagi jurulatih dan pengajar kecergasan bertauliah di Los Angeles, Jeanette DePatie, jika anda hanya menunggu Januari untuk bersenam, ia mungkin akan menyebabkan anda berada pada tahap kecergasan yang terlalu berat atau cepat bagi badan anda.

Lebih memburukkan keadaan apabila anda disajikan dengan pelbagai jenis pil, ubat-ubatan atau sebarang ‘bahan magik’ yang kononnya dapat membantu memberikan tenaga yang diperlukan untuk mencapai matlamat kesihatan anda.

Jadi cara yang terbaik adalah untuk memulakannya secara perlahan-lahan tanpa perlu menunggu bulan tertentu atau tahun baru untuk melakukan perubahan berkaitan kesihatan anda.

Melengahkan matlamat

Menunggu tahun baru untuk mencapai matlamat anda adalah seperti anda sedang menipu diri anda sendiri.

Pakar psikiatri di Stanford Health Care, Keith Humphreys berkata, secara umumnya, masa terbaik untuk mencuba melakukan perubahan tingkah laku berkaitan kesihatan adalah sekarang.

Jelas Keith, jika anda berjaya, ini bermakna menjelang tahun baru, anda akan berada lebih ke hadapan berbanding individu lain. Sudah tentu, secara tidak langsung ia akan menjadikan anda lebih bersemangat untuk terus melakukan perubahan.

Jurulatih peribadi di FitnessTrainer.com dan RealFitnessMaven, Alysa Boan juga mempunyai pendapat yang sama. Menurut beliau, menunggu sehingga Januari untuk membuat perubahan berkaitan kesihatan mengambarkan bahawa tahap kesihatan dan kesejahteraan adalah perkara yang boleh ditunggu.

“Apabila kita menetapkan tarikh permulaan terlalu jauh, atau membenarkan terlalu banyak halangan berlaku sebelum kita memulakan, ia selalunya membuatkan keazaman itu gagal dicapai,” kata Alysa.

Hakikatnya, anda masih boleh meneruskan kehidupan anda seperti biasa cuma memerlukan sedikit perubahan gaya hidup yang lebih sihat tanpa perlu menunggu awal tahun baru. Mulakan sekarang dengan melakukan langkah atau perubahan kecil dan secara harian untuk membantu mempertingkatkan kesejahteraan anda. Perbanyakkan minum air, hindari tabiat yang tidak sihat seperti merokok atau pengambilan minuman beralkohol dan cuba untuk melakukan aktiviti fizikal setiap hari.

Akhir kata

Tidak salah untuk anda mempunyai sebarang azam tahun baru. Tetapi jika keazaman tersebut melibatkan aspek kesihatan, mungkin cara yang terbaik adalah untuk memulakannya sekarang tanpa perlu menetapkan sebarang tempoh masa tertentu. Lakukan secara perlahan-lahan tanpa memberikan tekanan yang berlebihan kepada diri anda sendiri.

Tidak kira apa juga impian, matlamat mahupun keazaman yang ingin anda capai, kami di Hello Doktor mengharapkan yang terbaik untuk anda semua! Selamat Tahun Baru!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

health-tool-icon

Kalkulator BMI

Guna kalkulator ini untuk mengira Indeks Jisim Badan (BMI) dan semak tahap kesihatan berat badan anda. Anda juga boleh menyemak BMI anak.

Lelaki

Wanita

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulis
Ditulis oleh Asyikin Md Isa pada 27/12/2019
Maklumat perubatan disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
x