backup og meta

Cuba Buat Teknik Ini Untuk Kurangkan Stres Di Tempat Kerja Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    Cuba Buat Teknik Ini Untuk Kurangkan Stres Di Tempat Kerja Anda

    Baru-baru ini, seorang lelaki berumur 32 tahun telah dilaporkan membunuh diri dengan cara terjun daripada unit pangsapurinya di Cheras setelah mengalami tekanan yang berkait rapat dengan pekerjaan dan tempat kerja di mana dia bekerja.

    Menurut laporan daripada China Press, lelaki terbabit telah tertekan dengan isu kewangan yang dimilikinya. Dia dikatakan menerima gaji kasar yang sedikit dengan jumlah sebanyak RM1,000 sebulan sebagai jurujual kad kredit.

    Selain itu, dia juga perlu memenuhi kuota jualan sasaran tetapi tidak mendapat komisen yang banyak daripada jualan tersebut. Akibat daripada faktor-faktor tersebut, dia nekad mengambil keputusan untuk membunuh diri.

    Tip-tip mengatasi stres di tempat kerja

    Isu tekanan dan stres bukanlah satu perkara baharu dalam dunia pekerjaan. Ia kerap kali disuarakan, namun hanya sedikit daripada majikan yang benar-benar mengambil berat mengenai hal ini.

    Manakala yang lain hanya menganggap ia sebagai urusan peribadi pekerja itu sendiri untuk melepaskan tanggungjawab mereka sebagai majikan yang berdedikasi.

    Bagi mereka yang berhadapan dengan stres di tempat kerja, jangan tunggu majikan anda melakukan sebarang perubahan yang entah datang, entahkan tidak. Cuba tip-tip ini bagi membantu anda mengatasi stres di tempat kerja.

    #1. Track stres anda

    tempat kerja

    Rekodkan mengenai apa yang menyebabkan anda menjadi stres. Kemudian, kenal pasti situasi mana yang paling memberikan tekanan kepada anda dan bagaimana anda memberikan respon terhadapnya.

    Rekodkan pendapat dan perasaan anda selain bagaimana anda memberikan reaksi. Rekodkan juga informasi mengenai persekitaran tempat kerja anda termasuklah staf lain dan keadaan yang terlibat.

    Ini membantu anda untuk mengenalpasti corak yang memberikan tekanan kepada anda dan reaksi anda terhadapnya.

    #2. Bangunkan respon yang sihat

    Daripada anda melawan stres melalui pemakanan yang tidak sihat, adalah lebih baik untuk anda membuat pilihan yang lebih baik dan lebih sihat untuk melawan stres yang anda alami.

    Lakukan senaman atau aktiviti relaksasi seperti yoga untuk melawan stres. Anda juga boleh melibatkan diri dengan melakukan hobi kegemaran anda seperti menonton wayang, melukis atau berjalan-jalan di pusat membeli belah. 

    #3. Wujudkan batas sempadan

    tempat kerja

    Wujudkan sempadan antara waktu kerja dan waktu anda di rumah. Jangan periksa email anda di rumah selagi mana anda tidak hadir ke pejabat kembali.

    Jangan sesekali menjawab panggilan telefon mengenai urusan pejabat di rumah.

    Kewujudan sempadan atau batas antara masa di pejabat dan masa di rumah boleh membantu anda mengurangkan tekanan yang sedang anda alami.

    #4. Ambil masa untuk recharge

    Untuk mengelakkan anda daripada mengalami simptom-simptom burnout, ambil sedikit masa untuk berhenti melakukan kerja buat seketika waktu.

    Jika anda rasa melancong adalah ubat terbaik bagi merawat stres anda, pergilah melancong bersama rakan atau ahli keluarga anda.

    Nikmati masa-masa anda ketika melancong tersebut kerana ia boleh membantu anda untuk recharge sebelum kembali pulang ke pejabat. 

    #5. Dapatkan sokongan daripada individu lain

    tempat kerja

    Cuba luahkan masalah anda dan dapatkan sokongan daripada rakan atau ahli keluarga yang dipercayai. Selain itu, anda juga boleh bercakap secara terbuka dengan penyelia anda di pejabat mengenai stres yang anda alami.

    Tujuannya bukanlah sebagai satu aduan, tetapi bagi mendapatkan pelan berkesan yang boleh membantu anda menguruskan stres yang dialami.

    Majikan anda mungkin mempunyai program bantuan pekerja termasuklah khidmat kaunseling bagi membantu anda. 

    Kesimpulan

    Adalah penting untuk anda kekal berkomunikasi dengan individu di sekeliling terutamanya ahli keluarga dan rakan rapat sekiranya anda mengalami sebarang masalah.

    Anda mungkin tidak sedar bahawa kadangkala anda tidak boleh lagi mengawal tekanan yang dialami.

    Oleh itu, untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, bercakaplah dengan individu lain mengenai masalah anda.

    Pasti ada yang masih prihatin dan sudi menghulurkan tangan bagi mengurangkan beban tersebut.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 23/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan