Wow! Mi Segera Malaysia Antara Yang Terenak Di Dunia?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

wMi segera dari Malaysia antara yang tersedap di dunia? Betul ke berita ni? Ya, baru-baru ini pada 5 November 2019, Los Angeles Times telah mengeluarkan L.A. Times Instant Ramen Power Rankings yang menyenaraikan beberapa jenis mi segera dengan rasa terbaik di seluruh dunia. 

Ranking kedua dan ketujuh mi segera terbaik 

Dua jenis mi segera dari jenama MyKuali dan satu dari jenama Ibumie telah disenaraikan masing-masing di tempat kedua, kelima dan ketujuh bagi mi segera dengan rasa terenak. MyKuali Penang White Curry diletakkan pada kedudukan kedua selepas Indomie Ayam Barbeku dari Indonesia. Menurut penerangan daripada ranking tersebut, MyKuali diketahui sebagai sebuah syarikat yang menghasilkan beberapa produk mi terbaik. Bagi perisa Penang White Curry ini, mereka berpendapat bahawa ia mempunyai perisa makanan laut yang mendalam, sedikit manis dan mempunyai rasa santan. Selain itu, satu lagi jenis mi segera MyKuali yang berada dalam ranking ialah MyKuali Penang Spicy Prawn yang diletakkan pada kedudukan ketujuh. Perisa ini juga dikatakan mempunyai rasa makanan laut yang mendalam dengan rempah yang kuat yang memberikan warna merah pada sup mi tersebut. Bagi Ibumie Mi Goreng Perisa Kari Kapitan, ia dianggap sebagai “mi kering yang sangat memuaskan”. Gabungan antara rasa manis dan pedas pada mi ini telah menyebabkannya diletakkan pada ranking yang agak tinggi iaitu ranking kelima. 

Keenakan yang terlarang

Walaupun umum mengetahui, mi segera seperti ini ternyata memiliki rasa yang sangat sedap, ia bukanlah sejenis makanan yang patut anda ambil dengan kerap walaupun rasanya seolah-olah sama dengan hidangan yang dimasak segar. Bahan perisa yang terdapat di dalam paket mi segera biasanya mengandungi garam, bahan perisa dan mosodium glutamate (MSG). Mi segera diketahui mengandungi banyak kandungan garam dan boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan seperti peningkatan risiko untuk mendapat kanser perut, penyakit jantung dan strok

Mi segera juga rendah kandungan serat dan protein. Protein telah terbukti meningkatkan rasa kenyang dan mengurangkan rasa lapar, sekaligus menjadikannya sebagai satu nutrien yang penting dalam pengurusan berat badan. Begitu juga dengan serat yang bergerak secara perlahan-lahan melalui saluran pencernaan, ia juga menggalakkan rasa kenyang pada tubuh anda. Selain itu, mi segera juga kurang mengandungi nutrien penting termasuklah vitamin A, vitamin C, vitamin B12, kalsium, magnesium dan kalium. Apa lagi yang kurang pada mi segera? Tidak seperti makanan segar yang lain, mi segera kurang kandungan antioksidan dan fitokimia yang memberikan kesan positif terhadap kesihatan tubuh. 

Kita mungkin berbangga dengan kedudukan mi segera dari Malaysia yang diiktiraf sebagai antara yang terenak di dunia. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh mengambilnya dengan kerap hanya semata-mata ia dikatakan sebagai antara yang tersedap. Masih banyak lagi makanan lain  yang lebih sihat dan enak yang juga dikenali ramai. Cukup-cukuplah dengan ranking obesiti penduduk Malaysia sebagai antara yang tertinggi di dunia. Mungkin selepas ini kita perlu mencipta rekod baharu yang lebih sihat dan membanggakan daripada sekadar rekod obesiti dan mi segera. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 18, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut