Bagaimana Diet Tinggi Gula Menyebabkan Obesiti?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Sejak daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional Tahun 2015 (NHMS 2015), Malaysia kekal sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk obes yang paling tinggi di Asia. Keadaan ini sangat merisaukan kerana keadaan berat badan berlebihan adalah salah satu daripada faktor risiko utama yang menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan juga penyakit jantung. Selain kurang melakukan aktiviti fizikal, faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah diet yang tidak sihat. Diet yang tinggi gula, garam, lemak dan juga jumlah kalori keseluruhan akan menyebabkan berlakunya masalah berat badan berlebihan. 

Realiti diet rakyat Malaysia

Gula atau glukosa, merupakan molekul tenaga asas yang terdapat dalam makanan ruji seperti nasi dan roti. Karbohidrat seperti nasi, terbentuk daripada ikatan rantaian glukosa yang panjang dan bercabang. Karbohidrat dipecahkan dalam badan dan diserap di usus kecil untuk membekalkan tenaga kepada badan. Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ianya digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional khususnya perenang dan pelari jarak jauh, mengambil karbohidrat yang banyak bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. 

Namun yang demikian, rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat yang tinggi dalam diet harian. Nasi diambil dalam hampir setiap hidangan dan tidak cukup dengan itu, sajian tinggi karbohidrat ini juga lazimnya dihidangkan dengan minuman yang tinggi gula dan kalori seperti air milo, kopi dan juga air teh. Dalam satu hidangan sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian. Secara puratanya, pengambilan gula tambahan yang disarankan untuk orang dewasa adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g). Walau bagaimanapun, berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan dalam Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, mereka akan menambah sekitar 7 sudu teh gula sehari, iaitu 4 sudu teh gula pasir dan 3 sudu teh susu pekat manis, ke dalam minuman mereka. Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan WHO dan Panduan Diet Malaysia.

Bagaimana diet tinggi gula menyebabkan obesiti

Apabila kandungan gula menjadi tinggi dalam darah, beberapa proses akan berlaku bagi mengawal paras gula tersebut. Antaranya adalah proses penyerapan gula ke dalam sel (untuk dimetabolismakan kepada tenaga) yang dicetuskan oleh hormon insulin. Insulin akan melekat pada reseptor yang berada di permukaan sel-sel badan dan membuka jalan untuk gula daripada dalam darah untuk masuk ke dalam sel-sel badan tersebut sekali gus membantu untuk menurunkan paras gula. Jika gula dalam darah masih tinggi, proses seterusnya yang berlaku adalah proses glikogenesis (penghasilan glikogen) yang dilakukan oleh hati. Dalam usaha untuk menurunkan paras gula, sebahagian daripada lebihan gula tersebut akan ditukarkan kepada glikogen (gula dalam bentuk simpanan). Glikogen akan dipecahkan kembali menjadi gula jika badan mengesan paras gula dalam darah menjadi rendah. 

Lebihan gula susulan dalam darah seterusnya akan mendorong kepada pembentukan lemak. Selain sel-sel badan yang lain, insulin juga akan melekat pada permukaan sel lemak (sel adipos). Ini bermakna sel adipos juga boleh mengambil gula lebihan untuk diproses menjadi satu struktur yang dikenali sebagai asetil coA. Asetil coA adalah bahan binaan asas yang digunakan untuk membina tisu lemak sekali gus menambah bilangan lemak pada badan seseorang. Inilah asas kepada bagaimana diet yang tinggi dalam kandungan gula menyebabkan obesiti.

Pembentukan penyakit kronik 

Paras gula dalam darah yang kekal tinggi untuk jangka masa yang lama akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil. Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan jantung akut dan juga kegagalan jantung. Selain itu, paras gula yang tinggi dalam darah secara kronik boleh menyebabkan badan menjadi rintang terhadap insulin. Kerintangan terhadap insulin adalah proses penting dalam keterjadian penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). 

Tuntasnya, diet yang tinggi gula perlu dielakkan khususnya untuk gula yang terdapat dalam minuman. Ini kerana majoriti daripada kita tidak menganggap suatu minuman itu sebagai punca kalori dan gula yang besar, dan cenderung untuk memandang enteng impak minuman tersebut terhadap perubahan metabolisma dalam tubuh badan. Anda boleh merujuk kepada panduan Pinggan Sihat Malaysia yang telah pun menggariskan penyediaan makanan yang sihat dan rendah kalori. Amalkan diet seimbang yang rendah gula, rendah kalori dan lakukan aktiviti fizikal secara berkala bagi memastikan anda kekal aktif, sihat dan tidak diperlahankan oleh berat daripada gula lebihan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: September 24, 2019 | Kali terakhir kemaskini: September 24, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut