backup og meta

Lihat, Ini Bagaimana Gula Boleh Menjadi Punca Obesiti & Penyakit Kronik, Menakutkan!

Apakah risiko gula tinggi dalam badan?

Lihat, Ini Bagaimana Gula Boleh Menjadi Punca Obesiti & Penyakit Kronik, Menakutkan!

Sejak daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional Tahun (NHMS 2011, 2015 dan 20219), Malaysia kekal sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk obes yang paling tinggi di Asia. 

Keadaan ini sangat merisaukan kerana keadaan berat badan berlebihan adalah salah satu daripada faktor risiko utama yang menyumbang kepada penyakit kronik yang lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan juga penyakit jantung.

Selain kurang melakukan aktiviti fizikal, faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah diet yang tidak sihat.

Diet yang tinggi gula, garam, lemak dan juga jumlah kalori keseluruhan akan menyebabkan berlakunya masalah berat badan berlebihan.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

Ini realiti diet rakyat Malaysia

Gula atau glukosa, merupakan molekul tenaga asas yang terdapat dalam makanan ruji seperti nasi dan roti.

Karbohidrat seperti nasi, terbentuk daripada ikatan rantaian glukosa yang panjang dan bercabang. Karbohidrat dipecahkan dalam badan dan diserap di usus kecil untuk membekalkan tenaga kepada badan.

Pengambilan karbohidrat yang banyak mampu membekalkan tenaga yang banyak, dengan syarat, ia digunakan. Oleh sebab itu, atlet profesional khususnya perenang dan pelari jarak jauh, mengambil karbohidrat yang banyak bagi memenuhi keperluan tenaga harian mereka. 

Namun yang demikian, rakyat Malaysia rata-ratanya mengamalkan gaya hidup sedentar walaupun mereka mengambil jumlah karbohidrat yang tinggi dalam diet harian.

gula tinggi
Bahaya makan dalam kuantiti yang banyak dan tidak berkhasiat.

Nasi diambil dalam hampir setiap hidangan dan tidak cukup dengan itu, sajian tinggi karbohidrat ini juga lazimnya dihidangkan dengan minuman yang gula tinggi dan kalori seperti air milo, kopi dan juga air teh. Dalam satu hidangan sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula tambahan tidak melebihi 10% daripada jumlah tenaga harian.

Secara puratanya, pengambilan gula tambahan yang disarankan untuk orang dewasa adalah tidak melebihi 10 sudu teh sehari (50g).

Walau bagaimanapun, berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan dalam Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, mereka akan menambah sekitar 7 sudu teh gula sehari, iaitu 4 sudu teh gula pasir dan 3 sudu teh susu pekat manis, ke dalam minuman mereka.

Jumlah gula yang ditambah ke dalam minuman ini sahaja telah melebihi saranan WHO dan Panduan Diet Malaysia.

Bila gula darah terlalu tinggi…

Apabila kandungan gula menjadi tinggi dalam darah, beberapa proses akan berlaku bagi mengawal paras gula tersebut. Antaranya adalah proses penyerapan gula ke dalam sel (untuk dimetabolismakan kepada tenaga) yang dicetuskan oleh hormon insulin.

Insulin akan melekat pada reseptor yang berada di permukaan sel-sel badan dan membuka jalan untuk gula daripada dalam darah untuk masuk ke dalam sel-sel badan tersebut sekali gus bantu untuk menurunkan paras gula.

Jika tanda gula tinggi dalam darah, proses seterusnya yang berlaku adalah proses glikogenesis (penghasilan glikogen) yang dilakukan oleh hati.

Dalam usaha untuk menurunkan paras gula, sebahagian daripada lebihan gula tersebut akan ditukarkan kepada glikogen (gula dalam bentuk simpanan).

Glikogen akan dipecahkan kembali menjadi gula jika badan mengesan paras gula dalam darah menjadi rendah. 

gula tinggi
Gunakan glukometer untuk ukur paras gula di dalam darah.

Lebihan gula susulan dalam darah seterusnya akan mendorong kepada pembentukan lemak. Selain sel-sel badan yang lain, insulin juga akan melekat pada permukaan sel lemak (sel adipos).

Ini bermakna sel adipos juga boleh mengambil gula lebihan untuk diproses menjadi satu struktur yang dikenali sebagai asetil coA.

Asetil coA adalah bahan binaan asas yang digunakan untuk membina tisu lemak sekali gus menambah bilangan lemak pada badan seseorang. Inilah asas kepada bagaimana diet yang tinggi dalam kandungan gula menyebabkan obesiti.

Kesan gula tinggi dalam darah 

Paras gula tinggi dalam darah untuk jangka masa yang lama akan menyebabkan kecederaan kepada salur darah di dalam saraf dan juga salur darah kecil.

Kecederaan salur darah akibat daripada produk akhir metabolisma gula berlebihan ini dapat menyebabkan penyakit salur darah koronari, yang akhirnya boleh membawa kepada penyakit jantung seperti serangan dan kegagalan jantung.

Selain itu, paras gula tinggi dalam darah secara kronik boleh menyebabkan badan menjadi rintang terhadap insulin.

Kerintangan terhadap insulin adalah proses penting dalam keterjadian penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus Type 2). 

Gula tinggi dalam badan boleh di kawal

Tuntasnya, diet gula tinggi perlu dielakkan khususnya untuk gula yang terdapat dalam minuman. Ini kerana majoriti daripada kita tidak mengganggap suatu minuman itu sebagai punca kalori dan gula yang besar dan cenderung untuk memandang enteng impak minuman tersebut terhadap perubahan metabolisma dalam tubuh badan.

Anda boleh merujuk kepada panduan Pinggan Sihat Malaysia yang telah pun menggariskan penyediaan makanan yang sihat dan rendah kalori.

Amalkan diet seimbang yang rendah gula, rendah kalori dan lakukan aktiviti fizikal secara berkala bagi memastikan anda kekal aktif, sihat dan tidak diperlahankan oleh berat daripada gula tinggi. 

gula tinggi
Antara cara berkesan untuk menurunkan bacaan gula darah.

Jika berat badan semakin sukar dikawal, segera dapatkan konsultasi dan rawatan daripada doktor di klinik atau hospital.

Klik di sini untuk memulakan konsultasi bersama doktor di klinik atau hospital berhampiran anda.

Jika anda tidak tergolong di dalam kategori ini dan ingin dapatkan nilai BMI, anda boleh mencuba Kalkulator Indeks Jisim Berat yang kami sediakan ini.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Visceral Fat (Active Fat) – Types of Fat, Insulin Resistance & Health Risks [Internet]. [cited 2019 Aug 27]. Available from: https://www.diabetes.co.uk/body/visceral-fat.html. Accessed Sep 19, 2019. 
  2. Chan YY, Sooryanarayana R, Mohamad Kasim N, Lim KK, Cheong SM, Kee CC, et al. Prevalence and correlates of physical inactivity among older adults in Malaysia: Findings from the National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2015. Arch Gerontol Geriatr. 2019 Apr;81:74–83.
  3. Muiz, M. Fakta Mengenai Gula. PORTAL MyHEALTH, 2011. Accessed Sep 19, 2019.
  4. The sweet danger of sugar. https://www.health.harvard.edu/heart-health/the-sweet-danger-of-sugar. Accessed Sep 19, 2019.
  5. How high blood sugar go before it is dangerous. https://diabetestalk.net/blood-sugar/how-high-can-blood-sugar-go-before-it-is-dangerous. Accessed Sep 19, 2019. 
  6. Obesity Among Malaysian Adults: Prevalence,  Trend, And Its Associated Factors Based On Body Mass Index Cut-Off Points For Malaysian. https://iku.nih.gov.my/images/poster2023/81.pdf . Accessed Jan 13, 2026. 

Versi Terbaru

13/01/2026

Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Norhanan Abdul Latip


Artikel Berkaitan

Jika Anda Alami Salah Satu Daripada 7 Tanda Ini, Anda Mungkin Ada Kencing Manis!

Ikut Panduan Waktu Makan Ini Jika Ada Ahli Keluarga Yang Hidap Kencing Manis Jenis 1


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 2 hari lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan