Lidah Buaya: Bernutrisi Sebagai Makanan dan Ubatan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Lidah buaya adalah sejenis tumbuhan yang sangat unik. Ia dinamakan sebegitu mungkin disebabkan oleh sifat fizikalnya tirus, tajam, tebal, panjang dan bergerigi seperti lidah haiwan itu. Di sebalik nama dan bentuknya yang mungkin kelihatan ‘menakutkan’, ia sebenarnya dikenali di seluruh dunia dengan pelbagai manfaat terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Sila ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Apa itu lidah buaya?

Lidah buaya atau aloe vera adalah sejenis tumbuhan yang berasal dari antara 250 spesies aloe di seluruh dunia. Ia adalah tumbuhan asli dan liar di wilayah timur, selatan serta utara Afrika dan Madagascar. Ia juga telah tersebar meluas sehingga ke Hindia Barat dan banyak lagi negara-negara tropika yang lain. Tumbuhan ini telah berjaya membiak dengan banyak di kawasan lembangan Mediterranean dengan merentasi Tunisia, Morocco, Algeria serta kepulauan Madeira dan Canary.

Untuk pengetahuan anda, ia adalah sejenis tumbuhan saka, sukulen separa-tropika dengan akar serabut yang kuat serta daun yang banyak. Selain itu, ia juga mempunyai isi yang sangat tebal dan permukaannya pula bergerigi. Lebarnya adalah sekitar 60 hingga 120 cm manakala panjangnya pula boleh mencecah sehingga 80 cm jika telah matang dan akan mengeluarkan bunga yang berwarna kuning. 

Tumbuhan ini perlu menerima cahaya matahari secara penuh atau separa penuh untuk terus hidup. Ia akan membebaskan oksigen dan menyerap karbon dioksida meskipun berada dalam persekitaran yang gelap, menjadikannya sangat sesuai untuk diletakkan di dalam bilik sebagai perhiasan. Jika ditanam secara komersial, tumbuhan ini perlu dituai setiap 6 hingga 8 minggu dengan mengambil 3 hingga 4 helai daun bagi setiap pokok.

Ia mempunyai sejarah penanaman yang sangat luas dan panjang di seluruh kawasan tropika dan subtropika yang lebih kering di serata dunia, baik sebagai pokok hiasan ataupun sebagai tanaman herba. Di Malaysia, Stesen MARDI di Kundang, Selangor telah menjalankan kajian penanaman tumbuhan ini di tanah bekas lombong yang diklafikasikan sebagai tanah yang bermasalah. Hasilnya, ia tumbuh dengan banyak kerana tumbuhan ini sebenarnya hanya memerlukan lembapan tanah yang sangat minumum untuk tumbuh dengan baik.

Kegunaan lidah buaya terhadap kesihatan dan kecantikan

Tumbuhan ini dikenali di serata dunia dengan magisnya terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Secara umumnya, ia boleh digunakan secara oral iaitu dijadikan sebagai makanan atau minuman seperti jus. Selain itu, ia juga boleh digunakan secara ubatan sapuan iaitu dijadikan sebagai gel, losen atau minyak. Pendek kata ia adalah tumbuhan semula jadi serbaguna yang boleh digunakan dalam pelbagai cara dan untuk pelbagai tujuan termasuklah untuk tujuan mengawet makanan segar.

Penyelidik di Universiti Miguel Hernandez di Alicante, Sepanyol telah memperkenalkan sejenis gel pengawet makanan berasaskan tumbuhan ini yang dapat memanjangkan pemeliharaan dan pemuliharaan makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan atau kekacang. Lebih menarik, gel ini adalah hambar, tidak berwarna dan tidak berbau, menjadikannya bahan pengawet semula jadi yang selamat untuk digunakan dan tidak menjejaskan persekitaran berbanding bahan pengawet tiruan yang mengandungi sulfur dioksida.

Menurut sebuah kajian, anggur yang disapu dengan gel ini dan disimpan di dalam peti sejuk bersuhu 1°C kekal segar dan tidak busuk selama 35 hari. Jika hendak dibandingkan, anggur yang tidak disapu dengan gel ini hanya akan tahan selama 7 hari sahaja. Menurut penyelidik, gel ini bertindak melalui satu gabungan mekanik dan membentuk satu lapisan pelindung terhadap oksigen dan kelembapan udara serta melalui pelbagai sebatian antibiotik dan antikulat yang akan menghalang segala mikroorganisma daripada merosakkan makanan dan menyebabkan penyakit bawaan makanan.

Fakta unik dan menarik mengenai lidah buaya

Di sebalik nama dan bentuknya, tumbuhan ini sendiri mempunyai beberapa fakta yang unik dan menarik untuk dikongsikan. Berikut adalah fakta-faktanya:

  • Kebanyakan jenis tumbuhan ini tidak mempunyai batang
  • Ia boleh membesar sehingga 24 ke 39 inci tinggi
  • Daunnya berwarna hijau dan dipenuhi dengan bintik-bintik berwarna putih
  • Daunnya panjang, tebal dan tirus pada hujungnya
  • Bunganya berwarna kuning dan akan mula tumbuh sekitar musim luruh atau musim panas
  • Bunganya mempunyai kedua-dua organ reproduktif sama ada jantan (stamen) atau betina (stigma)
  • Antara haiwan yang membantu pembiakan tumbuhan ini adalah burung berparuh panjang seperti hummingbird di Amerika dan sunbird di Afrika
  • Ia hidup secara simbiosis dengan kulat di mana kulat akan mengekstrak nutrien daripadanya dan ia akan menyediakan makanan kepada kulat
  • Ia boleh sangat lama sehingga 100 tahun
  • Ia turut dikenali sebagai ‘lili padang pasir’ kerana ia adalah habitatnya
  • Di Mesir, ia dikenali sebagai ‘tumbuhan abadi’ kerana ia digunakan sebagai salah satu ritual dalam pengebumian zaman purba mereka
  • Ia digunakan di dalam pelbagai industri pembuatan makanan dan minuman
  • Ia digunakan di dalam pelbagai industri pembuatan kosmetik seperti sabun, syampu dan alat solek
  • Biji tumbuhan ini boleh digunakan sebagai minyak pembakar
  • Daripada 240 jenis, 4 daripadanya digunakan untuk pembuatan gel, kapsul dan pelbagai lagi produk untuk kegunaan kesihatan dan kecantikan individu
  • Bahan seperti jeli yang terdapat di dalam daunnya mengandungi 75 jenis mineral, vitamin, enzim dan asid amino yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan individu
  • Tumbuhan ini sangat kaya dengan saponin, iaitu sejenis antimikrobia yang mampu melawan bakteria, virus dan kulat
  • Ia digunakan sebagai ubatan seperti laxative, untuk merawat selaran matahari dan sebagai ramuan diabetes, osteoartritis, epilepsy dan asma
  • Walaupun ia sangat popular di seluruh dunia sebagai tumbuhan yang paling sihat di planet ini, terdapat satu kajian baharu yang menyimpulkan bahawa pengambilannya secara oral boleh menyebabkan kekejangan perut, muntah-muntah, cirit-birit dan hepatitis

Manfaat lidah buaya sebagai makanan dan ubatan

Lidah buaya merupakan sebuah ‘pokok ubat’ semula jadi yang terkenal di serata dunia. Ia telah digunakan sejak beribu tahun yang lalu ekoran khasiat serta manfaatnya terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Terdapat banyak kompaun bioaktif yang ada di dalam daun pokok ini termasuk vitamin, mineral, asid amino dan antioksida dan antibakteria. 

Menurut Dr. Rupali Datta, tumbuhan ini adalah bahan penting untuk industri pembuatan makanan dan minuman serta farmaseutikal dan kosmetik. Kajian terbaru yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal saintifik telah menunjukkan bahawa penggunaan jus lidah buaya dapat mengawal gula darah dan menurunkan lipid dalam diabetes dan hiperklipemia pesakit.

Berikut adalah komponen aktif yang terdapat di dalam lidah buaya:

  • Vitamin A
  • Vitamin C
  • Vitamin E
  • Vitamin B12
  • Kalsium
  • Folat
  • Choline
  • Copper
  • Magnesium
  • Kalium
  • Natrium
  • Mangan
  • Zink

Merangkumi semua nutrisi di atas, tumbuhan ini mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Berikut adalah manfaat-manfaatnya:

#1. Ia mempunyai kuasa antioksida dan antibakteria

Terdapat pelbagai kompaun antioksida yang ditemui di dalam tumbuhan ini. Antioksida ini kebanyakannya ialah polyphenol yang membantu membuang radikal bebas yang merosakkan sel kulit badan anda. Ia adalah bahan yang sangat penting dalam produk kecantikan kerana manfaatnya dalam mengurangkan tanda-tanda penuaan.

Polyphenol ini bersama dengan bahan-bahan lain di dalam tumbuhan ini boleh membantu melawan bakteria berbahaya tertentu yang menyebabkan jangkitan. Jika digunakan secara topikal, ia membantu merangsang proses pemulihan luka. Jika diambil secara oral, tumbuhan ini boleh mencegah penyakit dan menyahtoksik sistem penghadaman.

#2. Ia mengandungi vitamin dan mineral

Tumbuhan ini adalah sangat sarat dengan vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh badan kita. Satu-satunya perkara yang tidak dapat dijumpai di dalam tumbuhan ini adalah Vitamin D. Selain itu, namakan sahaja vitamin atau mineral, pasti anda dapat menjumpainya di dalam tumbuhan ini. 

#3. Ia membantu melawan masalah penghadaman

Pengambilannya pada setiap hari dipercayai boleh melawan dan merawat pelbagai gangguan pencernaan termasuk pencernaan yang kurang baik, sembelit, keasidan dan gas. Ia juga bermanfaat untuk merangsang selera makan.

#4. Ia membantu membuang toksin daripada tubuh

Penggunaannya boleh menyingkirkan toksin daripada badan. Ambil ia secara oral pada awal pagi akan membantu anda dalam banyak cara, daripada mengubati masalah pencernaan untuk membersihkan sistem tubuh badan kita.

#5. Ia membantu mengimbangi masalah hormon

Tumbuhan ini sering digunakan dalam banyak tonik herba lain yang penting dalam mengubati masalah hormon, serta pankreas dan gangguan yang berkaitan dengan limpa.

#6. Ia membantu mempercepatkan pemulihan kulit

Tumbuhan ini mempunyai kemampuan untuk merangsang fibroblast, iaitu sejenis sel kulit yang menghasilkan kolagen. Kolagen ialah satu protein yang penting dalam mengekalkan struktur dan keanjalan kulit. Gel topikal lidah buaya telah terbukti melambatkan penuaan kulit. Produk kosmestik antipenuaan seperti pelembap dan krim mata yang mengandungi bahan dari tumbuhan ini boleh mengurangkan kedutan serta tanda-tanda penuaan yang lain.

Di samping kelebihannya merawat luka, ia juga merupakan rawatan yang berguna bagi kebakaran. Ia dibuktikan oleh kajian saintifik bahawa lidah buaya adalah rawatan yang efektif untuk kebakaran tahap pertama dan kedua. Kajian menemui bahawa tumbuhan ini mampu memendekkan proses pemulihan dari kebakaran kepada sekitar 9 hari berbanding ubat konvensional. Biasanya ia digunakan secara topikal dengan menyapu gelnya ke atas kulit.

#7. Ia membantu pertumbuhan rambut

Menyapunya di atas kepala boleh membantu pertumbuhan rambut yang lebih pantas dan kuat. Ramai menggunakan tumbuhan ini untuk rambut mereka mendakwa bahawa ia adalah berkesan. Cara yang paling biasa digunakan adalah dengan menyapu gel dari daunnya langsung ke rambut dan membilasnya selepas satu jam. Makanan, minuman dan produk rambut lidah buaya juga membantu pertumbuhan rambut yang sihat.

#8. Ia memantu merawat ulser mulut

Ulser mulut adalah masalah yang kerap dialami oleh ramai orang. Ulser ini  kebiasaannya dari dalam mulut atau di belakang bibir dan berkekalan sekitar 7 ke 10 hari. Menggunakan lidah buaya sebagai rawatan telah menunjukkan bukti yang meyakinkan dalam membantu dan menggalakkan proses pemulihan ulser tersebut. Bukan hanya saiz ulser dikurangkan, malah sakitnya juga dapat dikurangkan.

Demikianlah beberapa manfaat tumbuhan ini terhadap kesihatan dan kecantikan individu. Jadi, segera cari dan guna segala produk berasaskan tumbuhan ini kerana ia sememangnya mempunyai pelbagai manfaat buat kita.

Untuk pengetahuan anda, ia juga boleh dijadikan sebagai topeng muka. Persoalannya, apakah manfaatnya dan bagaimanakah untuk melakukannya?

Manfaat topeng muka lidah buaya

Kepelbagaian dan kepadatan nutrisi yang terdapat dalam tumbuhan ini menjadikannya sangat bermanfaat untuk dibuat sebagai topeng muka. Ini kerana ia sangat sesuai merawat dan mengubat pelbagai masalah kulit muka dan kulit kepala.

Topeng muka yang diperbuat daripada tumbuhan ini dapat membantu menjaga kelembapan dan kekenyalan kulit secara semula jadi. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ia dapat membantu merawat jerawat, ruam, gatal, iritasi, bekas luka, parut, gigitan serangga, reaksi alergi serta psoriasis. Selain itu, ia juga dipercayai dapat mengubati kesan luka kebakaran bahkan mampu mengatasi masalah kulit akibat selaran matahari.

Dalam pada itu, jika anda mengalami masalah rambut kusut dan rambut gugur, anda boleh cuba gunakan topeng muka ini pada kulit kepala. Kandungan enzim yang terdapat padanya mampu mengeluarkan sel kulit mati yang tertanam pada kulit kepala dan seterusnya memberi nutrisi yang secukupnya kepada akar rambut anda. Ini akan menyebabkan rambut anda lebih kuat, lembut dan mudah diatur dan dibentuk.

Pun begitu, masih penting untuk anda faham bahawa topeng muka ini memerlukan cara dan bahan dalam pembuatannya yang betul untuk mendapatkan manfaat penuh daripadanya. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai jenis kulit yang sensitif yang menyebabkan anda perlu mengubah cara membuat topeng muka tumbuhan ini.

Panduan cara membuat topeng muka lidah buaya

Jika anda sudah letih atau putus ada mencari topeng muka yang sesuai untuk anda, apa kata anda cuba membuatnya sendiri di rumah? Sudah pasti ia adalah lebih murah dan bahan-bahan yang digunakan pun lebih terjamin keaslian dan keberkesanannya. Berikut adalah panduan membuat topeng lidah buaya di rumah:

Cara #1: Topeng muka lidah buaya asli

 

  • Sediakan daun lidah buaya dan cuci sehingga ia benar-benar bersih
  • Kupaskan ia dan ambil intinya yang berwarna putih jernih
  • Sapukan isinya secara merata di seluruh permukaan kulit wajah
  • Tunggu beberapa minit agar isinya meresap ke kulit wajah
  • Cuci kulit wajah anda sampai bersih
  • Ulangi cara di atas sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu sebelum tidur atau pada waktu anda sedang bersantai

 

Anda juga boleh menggunakan cara ini untuk rawatan rambut. Kemudian, sapukan ia secara menyeluruh dan rata dari hujung akar hingga ke hujung rambut sambil mengurut kepala anda. Biarkan selama sekitar satu jam kemudian bilas rambut anda sehingga bersih.

Cara #2: Topeng muka lidah buaya campur lemon

 

  • Sediakan lidah buaya dan cuci sehingga ia benar-benar bersih
  • Potong daun dan tekan sehingga isinya keluar
  • Campur isinya dengan satu buah lemon atau jeruk nipis sehingga sebati
  • Simpan campuran lidah buaya dengan lemon ini dalam bekas sekurang-kurangnya satu jam
  • Sapukan pada kulit wajah anda seperti topeng muka setiap malam sebelum tidur
  • Biarkan selama beberapa minit dan bilas wajah anda sehingga ia bersih

Cara #3: Topeng muka lidah buaya campur madu dan kunyit

  • Sediakan lidah buaya dan tambahkan sedikit kunyit, madu, dan beberapa titis air mawar
  • Gaulkan semua bahan sehingga sebati dan kemudian sapukan pada seluruh permukaan kulit wajah
  • Biarkan selama 15 hingga 20 minit dan bilas wajah anda sehingga bersih
  • Lanjutkan proses ini secara teratur

Cuba lakukan cara-cara ini secara ‘try anda error’. Jika berlaku sebarang masalah pada kulit anda ketika menggunakan mana-mana cara, segera berhenti. Sekiranya masalah itu berlanjutan, dapatkan bantuan doktor.

Konklusi

Konklusinya, lidah buaya adalah ‘pokok ubat’ semula jadi yang mempunyai pelbagai manfaat buat kesihatan dan kecantikan kita. Biarpun dijadikan sebagai makanan atau ubatan, ia tetap kekal bernutrisi. Oleh itu, jangan sesekali memperkecilkan magis tumbuhan ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan