Aduh Keliru, Ini Tanda Hamil Atau Period? Jom Semak 8 Perbezaan Tanda Hamil Ini!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Tanda awal kehamilan seakan sama seperti datang bulan. Sebab itu ramai wanita keliru positif hamil tapi haid, ataupun hamil tapi haid banyak.

Bagaimana untuk membezakan sama ada anda positif hamil ataupun ia adalah simptom period?

Kenapa tanda-tandanya sama? Apa beza positif hamil tapi haid?

Kedua-duanya, sama ada kehamilan atau period merupakan perkara yang terhasil daripada proses yang sama, iaitu ovulasi. Ovulasi merupakan tempoh ovari melepaskan sel telur yang matang untuk disenyawakan dengan sperma.

Ovulasi atau turut dikenali sebagai waktu subur adalah fasa yang dialami oleh individu wanita sihat setiap bulan. Tetapi sekiranya tiada sperma yang menyuburkan telur yang dilepaskan itu, maka bermulalah tempoh kedatangan haid.

Adakah anda positif hamil atau ini simptom period?

hamil tapi haid banyak

Sebenarnya untuk membezakan antara tanda-tanda positif hamil atau simptom kedatangan haid (premenstrual syndrome (PMS)) tidaklah terlalu sukar.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh membantu anda mengenal pasti perbezaan antara kedua-duanya. 

1. Kesakitan payudara

Hamil atau haid, kedua-duanya akan membuatkan payudara anda terasa sakit dan mungkin bengkak. Anda mungkin menyedari payudara terasa lebih berat dan padat/keras apabila disentuh. 

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh peningkatan hormon progesteron dalam badan yang sedang mempersiapkan diri untuk proses persenyawaan (jika berlaku). 

Hamil: 

Berlangsung untuk tempoh satu hingga dua minggu selepas persenyawaan. Kesakitan ini mungkin akan dirasai sepanjang tempoh kehamilan dan akan berhenti selepas melahirkan bayi.

Period:

Hanya berlaku dalam tempoh yang sementara. Biasanya muncul satu atau dua hari sebelum haid. Rasa sakit ini akan berhenti pada hari pertama anda keluar haid.

2. Kekejangan abdomen

Kekejangan yang dirasai merupakan perkara paling biasa untuk berlaku. Hampir kebanyakan wanita merasai kekejangan ini setiap kali tiba waktu period. Namun, sebenarnya ia juga boleh menjadi tanda-tanda positif kehamilan.

Hamil: 

Kekejangan abdomen yang berlaku adalah kerana proses implantasi embrio. Biasanya kekejangan ini cenderung berpusat pada satu bahagian. Sebagai contoh, jika telur disenyawa dilekatkan pada sisi kanan rahim, kekejangan akan lebih ketara pada bahagian tersebut.

Rasa kejang ini biasanya berlaku untuk tempoh yang sementara dan kembali reda setelah beberapa jam.

Period:

Jika berpunca daripada PMS, ia disebabkan oleh kekejangan pada bahagian otot-otot rahim. Kesakitan yang dirasai akan lebih tertumpu pada bahagian bawah, ada kalanya rasa sakit ini akan merebak sehingga ke bahagian belakang badan. 

Jika kekejangan berlaku untuk tempoh lebih daripada satu hari, ia mungkin tanda kedatangan period. Ia biasanya akan berlaku sehingga hari terakhir period. 

3. Tompokan darah

period tapi mengandung

Tompokan darah juga boleh berlaku pada awal kehamilan yang dipanggil pendarahan implan. Tetapi, ada yang menganggap ia sebagai hari pertama period. 

Hamil:

Jika anda positif hamil, darah yang muncul biasa hanya satu atau dua titik. Warna darahnya juga cenderung berwarna merah jambu atau cerah kekuningan. Dipanggil sebagai implantasi dan berlaku dalam tempoh 10 hingga 14 hari selepas persenyawaan. Tempoh keluar darah ini biasanya antara satu hingga dua hari dan tidak akan berlanjutan sehingga lima atau tujuh hari.

Artikel berkaitan:

Panduan 13 Posisi Senggama TERBAIK Buat Wanita Hamil Ikut Trimester Kehamilan!

Period:

Jika ia merupakan simptom period, anda tidak akan mengalami sebarang tompokan atau bintik-bintik darah. Pendarahan hanya akan keluar pada hari pertama haid anda. Darah yang keluar ketika haid biasanya cenderung berwarna gelap dan pekat dan ada masanya disertai oleh gumpalan darah.

4. Mengidam 

Keinginan untuk memakan sesuatu juga boleh menyebabkan kekeliruan antara tanda positif hamil atau simptom period. Perubahan selera biasanya disebabkan oleh peningkatan hormon dalam badan.

Hamil:

Lazimnya, mengidam disebabkan kehamilan sangat spesifik dan luar biasa. Adakalanya ia melibatkan sesuatu yang mungkin anda tidak sukai atau tidak pernah makan sebelum ini. Selalunya keinginan ini perlu dipenuhi segera. Sesetengah individu menganggap rasa mengidam ini mungkin berlangsung sepanjang tempoh mengandung.

Period:

Biasanya jika ia adalah tanda kedatangan haid, anda akan cenderung mengidam makanan manis atau masin seperti coklat atau kerepek kentang mahupun makanan bergoreng. Selalunya keinginan ini hanyalah sementara dan hilang sebaik sahaja period.

5. Mual dan muntah

period tapi hamil

Sesetengah individu wanita akan mengalami mual dan muntah pada waktu pagi sebelum disahkan positif hamil. Ada juga individu wanita yang mengalami perkara yang sama kerana kedatangan haid. Jadi, ia sebab mengandung ataupun period?

Hamil:

Morning sickness adalah satu tanda awal kehamilan yang paling biasa untuk terjadi dan sukar dielakkan. Malahan terdapat sesetengah individu mengalaminya sehingga tempoh bulan keempat atau kelima kehamilan. 

Ada juga yang melaluinya sepanjang tempoh mengandung. Namun, terdapat juga wanita yang langsung tidak mengalami keadaan ini. Morning sickness ini tidak hanya berlaku pada waktu pagi, tetapi boleh juga berlaku pada waktu tengah hari, petang mahupun malam.

Period:

Biasanya jika anda akan mengalami haid, anda tidak akan mengalami mual mahupun muntah. Cuma anda mungkin akan berasa perut tidak selesa, seperti kembung dan mungkin cirit-birit.

6. Sakit belakang

Sama ada anda sememangnya mengandung atau period, anda akan mengalami rasa sakit pada bahagian belakang anda.

Hamil:

Jika anda hamil, rasa sakit belakang yang dialami biasanya berlaku dalam trimester kedua sehingga akhir tempoh kehamilan. Keadaan ini disebabkan oleh pertambahan berat badan dan juga tumbesaran bayi di dalam kandungan.

Period:

Sakit belakang adalah simptom biasa apabila anda haid. Ia tertumpu kepada bahagian belakang dan mungkin menjalar hingga ke betis. Sesetengah wanita akan berasa kesakitan yang agak teruk.

7. Perubahan mood

Kedua-dua keadaan sememangnya boleh membuatkan emosi anda mudah berubah. Anda mungkin lebih mudah marah atau secara tiba-tiba menangis. Segala perkara dirasakan tidak kena dengan diri anda.

Hamil:

Biasanya berlaku disebabkan hormon kehamilan yang naik dan turun bagi menyesuaikan dengan perubahan yang berlaku dalam badan. Perubahan mood swings mungkin akan berlaku sepanjang tempoh kehamilan dan hanya akan pulih selepas anda bersalin.

Period:

Selalunya jika emosi anda naik turun disebabkan simptom period, ia tidak akan bertahan lama dan akan segera hilang selepas period anda habis.

8. Lewat 

Tempoh kedatangan haid yang lewat boleh menjadi petanda hamil yang penting. Tetapi adakalanya ia mungkin cuma kerana period anda lambat muncul.

Hamil:

Ia biasanya lambat untuk tempoh seminggu hingga dua minggu dari tarikh anda sepatutnya period, lebih-lebih lagi jika jadual period anda teratur. Selain itu ia juga perlu disertai dengan beberapa tanda awal kehamilan yang lain.  

Period:

Anda dikategorikan sebagai lewat period jika haid anda tidak hadir selepas lima hari dari tarikh sepatutnya anda keluar period, khususnya jika tiada sebarang tanda-tanda yang disenaraikan di atas.

Haid anda mungkin lewat disebabkan tekanan atau pengambilan ubat-ubatan tertentu. Lewat haid juga tidak bermakna anda hamil sekiranya kitaran haid anda tidak teratur sebelum ini.

Akhir kata

Untuk memastikan bahawa anda benar-benar positif hamil, cara terbaik adalah untuk melakukan ujian kehamilan yang boleh dibeli di farmasi. Jangan sekadar melihat ciri-ciri di atas, ini kerana tindak balas setiap badan adalah berbeza. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Baca juga:

5 Langkah Tingkatkan Kualiti Sperma Subur, No #2 Confirm Bagi Senang ‘Melekat’!

Tarikh Reviu: Disember 10, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Mac 19, 2020

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut