Bertukar warna hijau, boleh makan ataupun tidak?

Jika kentang telah bertukar warna, buangkannya serta-merta.
Kentang yang terdedah kepada cahaya matahari akan berwarna hijau disebabkan pigmen klorofil.
Klorofil tidak berbahaya terhadap kesihatan, namun ia akan meningkatkan tahap sejenis toksin dalam kentang yang dikenali sebagai glikoalkaloid.
Kentang kaya dengan dua jenis glikoalkaloid – solanin dan cakonin (chaconine). Kedua-dua jenis kompaun ini dapat ditemui dalam pelbagai lagi makanan lain termasuklah terung dan tomato.
Dalam jumlah yang kecil, glikoalkaloid dapat membawa manfaat terhadap kesihatan. Ia mempunyai keupayaan untuk menurunkan kolesterol badan dan mengawal kadar gula dalam darah.
Namun, jika diambil secara berlebihan, ia boleh menjadi toksik untuk badan. Sebab itulah, cara penyimpanan kentang penting dan tidak boleh dipandang enteng!
Kentang yang sudah bertunas mengandungi glikoalkaloid yang tinggi. Dalam dos yang rendah, pengambilan glikoalkaloid boleh menyebabkan simptom seperti muntah-muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Jadi, elakkan makan kentang yang telah bertukar hijau ya! Di bawah, kami akan terangkan lebih lanjut mengenai cara simpan kentang agar ia kekal selamat untuk dimakan.
Cara simpan kentang agar tahan lama

Kali ini, kami akan terangkan cara simpan kentang agar tahan lama.
Kentang dapat bertahan selama 2 bulan sekiranya disimpan dengan cara yang betul. Antara tip atau cara menyimpan kentang agar tahan lama adalah:
- Pastikan kentang betul-betul kering sebelum simpan. Lap semua air dan pastikan tempat simpanan juga tidak basah.
- Simpan kentang di tempat yang gelap, sejuk dan kering untuk elakkannya bertunas. Selain itu, pastikan juga pengudaraannya baik. Anda boleh simpan di dalam kotak atau bekas pilihan anda.
- Elakkan simpan di bawah dapur gas. Suhu yang panas dan lembap boleh menggalakkan kentang bertunas.
- Jangan simpan dalam peti ais. Persekitaran yang terlalu sejuk akan menyebabkan kanji bertukar menjadi gula. Kentang yang sejuk akan juga bertukar warna menjadi coklat selepas dimasak. Kandungan gulanya juga lebih tinggi daripada kentang biasa.
- Jika ada kawasan kentang yang berwarna hijau, potong bahagian tersebut dan buang. Bahagian lain yang masih kuning selamat untuk dimakan.
- Jangan simpan kentang bersama epal, bawang atau buah pisang. Gas yang dihasilkan oleh kedua-dua makanan ini boleh mempercepatkan pertunasan kentang.
- Jika ada kentang yang sudah buruk, asing dan buangkannya secepat mungkin.
- Sekiranya anda tidak mempunyai tempat yang gelap, ada cara simpan kentang yang berbeza tapi mudah untuk dipraktikkan. Anda cuma perlu letak kentang dalam bakul dan tutup dengan kain yang berwarna gelap.
Tip: Tahukah anda, kulit kentang mengandungi nutrisi yang padat? Sekiranya anda kupas kulit kentang untuk dibuang, cuba goreng dan jadikan ia snek.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen