Bagi buasir luaran, wujud kemungkinan anda akan mengalami pembekuan darah.
Keadaan ini dikenali sebagai buasir trombosis. Ia keras, menyebabkan keradangan dan lebih menyakitkan.
Dalam kes tertentu, buasir dalaman mungkin akan tertolak keluar semasa membuang air besar. Jika ia terjadi, anda akan mengalami pendarahan dan ketidakselesaan.
Mengapa wanita mengandung mengalami buasir?
Semasa tempoh kehamilan, jumlah darah yang beredar di seluruh badan anda meningkat.
Pada masa yang sama, tahap hormon tinggi progesteron yang tinggi akan melonggarkan dinding saluran darah anda.
Urat yang berada pada bahagian bawah rahim cenderung membengkak dan meregang kerana berat bayi membesar memberikan tekanan.
Inilah sebabnya mengapa wanita mengandung lebih terdedah kepada buasir dan urat simpul sepanjang kehamilan.
Sehingga 50% wanita mengalami masalah buasir semasa mengandung.
Sembelit, antara penyakit kehamilan lain yang kerap berlaku, juga boleh menyebabkan buasir ketika hamil.
Anda mungkin lebih mudah dan cenderung terkena sembelit semasa kehamilan berbanding daripada masa-masa lain dalam kehidupan.
Dalam kajian yang pernah dilakukan, daripada 280 wanita berbadan dua, 45.7% mengalami sembelit.
Sembelit berisiko untuk terjadi disebabkan oleh tabiat duduk terlalu lama, perubahan hormon, atau pengambilan zat besi dan sebarang suplemen tambahan lain.

Risiko mengalami buasir ketika hamil
Buasir yang berlaku semasa kehamilan adalah perkara biasa, ia sama ada anda pernah mengalaminya sebelum mengandung atau mungkin ini pengalaman pertama semasa kehamilan.
Masalah buasir ketika hamil mungkin mempengaruhi kira-kira 1 daripada 10 wanita pada trimester ketiga mereka.
Bahkan, anda mungkin mengembangkan masalah ini semasa bersalin, iaitu ketika meneran untuk mengeluarkan si manja.
Atau mungkin buasir terjadi disebabkan oleh keadaan sembelit yang dialami pada minggu-minggu selepas melahirkan bayi.
Dianggarkan, 1 daripada 4 ibu selepas bersalin akan mengalami buasir, tetapi ia biasanya merupakan masalah kecil dan bukannya isu besar.
Selepas bersalin, buasir yang wujud semasa mengandung mungkin:
- Hilang sendiri
- Kekal sebagai masalah kecil untuk tempoh setahun (1 daripada 7 wanita)
- Menjadi masalah utama (1 daripada 40 wanita)
Walaupun buasir adalah penyebab biasa pendarahan daripada dubur, tetapi sebaiknya anda melakukan pemeriksaan doktor jika mengesan ada pengeluaran darah pada bahagian tersebut.
Peluang bersalin normal terjejas?
Jadi adakah wanita mengandung yang mengalami buasir ketika hamil perlu melalui prosedur kelahiran caesarean?
Pastinya ramai ingin mengetahui adakah keadaan tersebut menjejaskan peluang untuk bersalin secara normal atau tidak, kan?
Umumnya, jika masalah buasir itu dalam keadaan yang kecil, ia tidak akan menjejaskan peluang anda bersalin kaedah normal.

Pun begitu, jika bonjolan buasir luaran besar, mungkin akan berlaku pendarahan semasa kelahiran faraj.
Jadi, untuk menentukan kaedah terbaik semasa bersalin bagi wanita yang mengalami hemorrhoid, sama ada kelahiran C-Sec atau normal, berundinglah dengan pakar sakit puan anda.
Mencegah buasir ketika hamil
Mencegah adalah pilihan yang lebih baik daripada merawat, kan?
Anda boleh cuba mengurangkan buasir atau mencegahnya daripada berkembang dengan beberapa cara, seperti:
- Mengambil makanan kaya serat, seperti sayur-sayuran dan buah-buahan
- Minum banyak air untuk membantu mengekalkan konsistensi najis dan pergerakan usus
- Elakkan daripada memberi tekanan berlebihan semasa menggunakan tandas
- Hindari daripada duduk dalam tandas untuk tempoh masa lama
- Jangan menahan diri atau menangguhkan keinginan membuang air besar
- Lakukan senaman dan elakkan daripada duduk terlalu lama
- Berunding dengan doktor mengenai makanan tambahan yang sesuai untuk mengelakkan sembelit
Pemeriksaan doktor penting
Buasir ketika hamil adalah perkara biasa yang terjadi kepada wanita mengandung.
Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda merasai kewujudan buasir kerana ia boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.
Berbincang dengan doktor untuk mengetahui jika terdapat sebarang rawatan yang mungkin boleh menjejaskan kehamilan anda.