Bagi sesetengah wanita, faktor pertumbuhan plasenta dan hPL berpotensi menyekat insulin dan mengakibatkan berlakunya diabetes kehamilan.

- Progesteron
Pada minggu-minggu awal kehamilan, corpus luteum akan menghasilkan progesteron. Selepas 8 hingga 12 minggu, plasenta akan mengambil alih peranan itu.
Progesteron berfungsi merangsang pertumbuhan saluran darah yang dibekalkan kepada lapisan rahim. Ia juga merangsang lapisan untuk melepaskan nutrien bagi memberi khasiat kepada embrio pada peringkat awal.
Selain itu, progesteron turut berperanan menghalang pengecutan otot rahim agar ia mengembang seiring tumbesaran bayi.
Tahap progesteron terus meningkat seiring tempoh kehamilan. Bersama estrogen, ia mendorong pertumbuhan tisu payudara dan pengembangan saluran susu.
Progesteron mencegah penyusuan semasa kehamilan, hanya akan berlaku apabila tahap hormon itu menurun setelah kelahiran anak.
Hormon ini juga memainkan peranan penting dalam persiapan kelahiran – dengan menguatkan otot dinding pelvis yang diperlukan semasa proses bersalin.
Anda perasan tentang peningkatan pertumbuhan rambut semasa hamil? Ia juga kesan perubahan hormon progesteron!
- Estrogen
Seperti progesteron, corpus luteum menghasilkan estrogen pada peringkat awal kehamilan sebelum plasenta mengambil alih.
Estrogen membantu rahim membesar dan mengekalkan lapisannya. Ia menyokong perkembangan janin, termasuk tumbesaran organ dan sistem badan.
Estrogen juga mengaktifkan dan mengatur pengeluaran hormon kehamilan penting yang lain.
- Prolaktin
Merupakan hormon utama yang diperlukan bagi mencetuskan pengeluaran susu ibu. Ia membesarkan kelenjar susu untuk bersiap sedia (walaupun ia hanya berlaku selepas bayi dilahirkan).
Hormon ini juga mempunyai peranan lain yang tidak berkaitan dengan pengeluaran susu. Ia menyumbang kepada perkembangan paru-paru dan otak janin serta sistem imun ibu yang bertoleransi dengan janin.
- Relaksin
Tahap relaksin paling tinggi adalah pada trimester pertama kehamilan. Tetapi ia wujud sepanjang kehamilan.
Hormon ini memainkan beberapa peranan termasuklah menghalang pengecutan otot rahim bagi mencegah kelahiran pramatang.
Hormon relaksin ini juga penting dalam menenangkan saluran darah, meningkatkan aliran darah ke plasenta dan buah pinggang.
Selain itu, relaksin juga berperanan membantu badan ibu mengendalikan peningkatan permintaan oksigen dan nutrien daripada bayi yang sedang membesar.

Dalam masa yang sama, hormon ini turut membantu badan ibu bersiap sedia untuk bersalin. Ia akan melonggarkan sendi pada pelvis, melembutkan dan melebarkan serviks untuk memudahkan kelahiran bayi.
- Oksitosin
Kehadiran oksitosin hanya berlaku pada jumlah yang besar menjelang akhir kehamilan. Pun begitu, kewujudan hormon ini tetap ada pada tempoh sebelumnya cuma pada jumlah yang lebih rendah.
Tahapnya akan meningkat sebelum ibu mengandung berdepan tempoh kelahiran anak, yang mencetuskan kontraksi.
Jika proses kelahiran tidak bermula secara semula jadi, oksitosin boleh digunakan untuk mencetuskannya.
Kesan perubahan hormon
Agak tidak adil untuk menuding jari kepada hormon yang menyebabkan setiap perubahan emosi, rasa marah dan kesedihan semasa hamil.
Namun, sememangnya perubahan dalam hormon badan banyak mempengaruhi emosi ibu mengandung.